SEASON 2 ; 6

370 15 0
                                    

CIKGU Haiqal tidak faham apa yang menyebabkan Abang Zack kelihatan gugup begitu. Ada sesuatukah yang telah dilihatnya? Dia cuba menenangkan lelaki itu.

"Kenapa bang? Abang okey ke tak ni?"

Abang Zack menelan liur. Cikgu Haiqal dipandang sepintas lalu. Di hadapan mereka ada dua susuk tubuh dan dia percaya itu bukan Ikhwan dan Razif.

"Saya rasa mereka bukan budak berdua tu cikgu." Akhirnya dia membalas.

Cikgu Haiqal terdiam dan mengembalikan pandangannya ke seat paling belakang. Susuk-susuk tubuh itu masih ada di situ. Tidak berganjak walaupun seinci. Benarkah firasat Abang Zack yang itu bukanlah mereka? Jika bukan mereka.... Siapa?

TAP!

Bunyi ketukan di dinding bas mengejutkan Cikgu Haiqal dan Abang Zack. Bunyi ketukan datangnya dari dalam bas itu. Cikgu Haiqal bergegas ke tingkap dan melihat Cikgu Hani bersama para pelajar berdiri agak jauh dari bas kerana hujan rintik-rintik. Mereka semua berlindung di bawah kaunter yang berbumbung. Tidak mungkin mereka yang telah mengetuk dinding bas.

TAP!

Cikgu Haiqal perlahan-lahan menjauhi tingkap dan berdiri di sisi Abang Zack. Ketukan itu berlaku lagi. Kali ini lebih kuat dari yang pertama.

TAP TAP!

Abang Zack memegang lengan Cikgu Haiqal, "Kita kena keluar dari bas ni sekarang jugak cikgu!"

Tidak sempat Cikgu Haiqal mahu berkata apa-apa, dia ditarik sehingga ke pintu bas oleh Abang Zack. Malangnya pintu bas tertutup sendiri dan berkunci kemas. Kedua-duanya terperangkap di dalam seperti apa yang terjadi ke atas 3 sekawan itu sebelum ini.

"Cikgu! Tolong!" Abang Zack memanggil-manggil Cikgu Hani yang berada di luar. Cikgu wanita itu tidak perasan dengan apa yang berlaku.

Di mata mereka yang berada di luar, Cikgu Haiqal dan Abang Zack elok-elok sahaja di dalam bas. Mereka siap tersenyum lagi di tingkap bas dan memberi isyarat OK.

Cikgu Haiqal cuba merempuh pintu bas tetapi gagal. Beberapa kali mereka merempuhnya tetapi ia tetap berkunci kemas. Bahu dan lengan mereka sakit-sakit. Seperti Abang Zack, Cikgu Haiqal turut memanggil-manggil Cikgu Hani tetapi ternyata mereka bagaikan terperangkap di dimensi yang berlainan.

"Cikgu bawalah student balik ke khemah. Hujan ni..."

Cikgu Hani memandang Cikgu Haiqal, "Semua okey ke cikgu?"

Cikgu Haiqal menganggukkan kepala sambil mengukir senyuman manis. Dia memberi jaminan semuanya akan selesai kerana mereka telah menjumpai Ikhwan dan Razif. Cikgu Hani berasa lega.

"Kalau macam tu kami balik ke khemah dululah ye. Jumpa kat sana ye cikgu."

"Okey." Cikgu lelaki itu mengangguk. Kemudian matanya bertaut dengan mata Emma. Remaja itu sedang memandangnya penuh rasa curiga.

"Jom Emma..." Ajak Cikgu Hani.

Cikgu Haiqal dan Abang Zack panik apabila melihat Cikgu Hani beredar masuk ke dalam dengan yang lain. Mereka menepuk-nepuk pintu bas dengan kuat namun semuanya sia-sia.

"Dia orang macam tak dengar suara kita cikgu..." Kata Abang Zack.

Cikgu Haiqal bingung. Bingung sebingung-bingungnya. Adakah benar tempat ini berpuaka? Dia mula percaya.

*****

EMMA berdiri di hadapan khemah dengan mata yang memandang ke pintu pagar utama. Perlakuan anehnya disedari Cikgu Hani.

"Emma, masuk ke dalam. Hujan makin lebat tu."

"Emma?" Cikgu Hani mengintai ke luar khemah. Emma masih berdiri di luar dengan kening yang bergerak-gerak.

"Hujan makin lebat tu, mari masuk..."

Emma memandang Cikgu Hani beberapa saat dan menyusup masuk ke dalam khemah. Remaja itu hanya membisu sehingga menerbitkan rasa pelik dalam hati Cikgu Hani.

"Kenapa Emma? Ada apa-apa yang perlu cikgu tau ke?" Akhirnya Cikgu Hani bertanya. Beberapa kali dia membuat desakan barulah remaja perempuan itu mahu membuka mulut.

"Saya rasa tadi bukan Cikgu Haiqal yang suruh kita balik ke khemah."

"Maksud awak?"

"Cikgu tak perasan ke mata Cikgu Haiqal tadi merah sangat. Macam biji saga." Bagitahu Emma dengan muka yang terlukis riak takut. Masih jelas di ingatan bagaimana merahnya mata lelaki itu dan senyumannya juga sangat aneh.

"Tadi bukan Cikgu Haiqal?" Cikgu Hani berdebar-debar.

"Satu lagi...."

Cikgu Hani pantas memandang Emma.

"Saya nampak Ikhwan dengan Razif tengah renung kita dari tingkap belakang bas cikgu...." Cerita Emma dalam nada berbisik. Dia tidak mahu perbualannya dengan Cikgu Hani didengari oleh yang lain. Nanti tak pasal-pasal kecoh pula.

Cikgu Hani terdiam.

*****

PINTU bas ditendang-tendang namun hanya kaki mereka yang sakit. Kini satu tubuh terasa lebam-lebam. Seperti ada tangan ghaib yang menahan pintu dari terbuka.

"Psst!" Ada yang menegur dari belakang.

Abang Zack memandang Cikgu Haiqal. Mulut mereka terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci. Mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menoleh ke belakang kerana tidak tahu apa yang telah menegur mereka.

"Psst!"

Cikgu Haiqal berpaling secara perlahan-lahan dan memandang tepat ke dua susuk tubuh itu. Kini jarak di antara keduanya sudah jauh sedikit. Namun tetap tidak menunjukkan apa-apa pergerakan.

TAP! TAP! TAP! TAP!

Bunyi ketukan secara bertalu-tali di pintu bas memeranjatkan dua lelaki itu. Kedua-duanya terdorong ke belakang lalu terduduk ke lantai. Mereka dibasahi peluh.

"Allahuakbar!!" Abang Zack melaung kuat. Ketukan itu berhenti serta-merta.

"Cikgu........" Suara persis suara Ikhwan memanggil. Juga datangnya dari seat belakang. Ketika itu jarak di antara dua susuk tubuh itu semakin menjauh di antara satu sama lain.

"Ikhwan?" Cikgu Haiqal bangun. Ya, itu memang suara Ikhwan!

"Cikgu?" Ikhwan memanggil.

Cikgu Haiqal tersenyum. Mungkin tadi Ikhwan dan Razif pengsan sebab itu panggilannya tidak bersahut. Alhamdulillah.... Dia mulai melangkah untuk ke belakang.

"Cikgu, jangan!" Tegah Abang Zack.

"Saya Ikhwan lah cikgu...." Ikhwan meyakinkan.

"Jangan cikgu. Jangan percaya, tu bukan Ikhwan dengan Razif." Bisik Abang Zack. Dia yakin itu bukan mereka.

Cikgu Haiqal semakin bingung. Tidak tahu yang mana harus dia percaya. Akhirnya dia berdiri di tengah-tengah bas sahaja. Tidak tahu untuk membuat apa.

"Sayalah cikgu. Ikhwan dan ini Razif."

"Ya cikgu. Tadi kami kena serang dengan Aliff. Dia kena rasuk." Kali ini Razif pula yang bersuara. Suara mereka kedengaran normal. Cikgu Haiqal semakin yakin itu anak-anak muridnya.

Tatkala kakinya mahu melangkah semula, Abang Zack berbisik ke telinganya, "Takkan cikgu tak nampak muka mereka macam mana? Tu bukan Ikhwan dengan Razif."

Langkah Cikgu Haiqal terhenti sekali lagi. PENING.

Dia menyorot pandangannya ke belakang. Ke arah budak berdua itu dan tiada apa yang dapat dilihatnya selain kegelapan. Rupa paras mereka tidak jelas kerana suasana yang gelap.

"Saya tak nampak muka dia orang bang. Apa yang abang nampak?" Soalnya pada Abang Zack.

"Muka dia orang biru macam mayat....." Ujar Abang Zack.

Cikgu Haiqal berdebar-debar.

"Cikgu?" Ikhwan dan Razif terus memanggil-manggil.

FUNFAIR SEASON 1 DAN 2Where stories live. Discover now