SEASON 2 ; 7

404 16 0
                                    

TANGISAN halus yang bergema dari dalam rumah hantu mengejutkan Cikgu Hani. Ia turut mengejutkan beberapa orang pelajar lain yang sedang tidur. Mereka ketakutan dan duduk berhimpit-himpit di dalam khemah.

"Tu bunyi sundel bolong cikgu..." Emma berterus-terang. Ini kerana dia amat mengenali bunyi tangisan itu. Itulah cabaran yang harus dia lalui kerana deria keenamnya.

Cikgu Hani mendengarnya sayup-sayup sahaja.

"Dia ada dekat belakang khemah kita cikgu..." Ujar Emma dengan peluh di dahi.

Ya ALLAH, Cikgu Hani benar-benar terkejut dengan apa yang dikatakan Emma. Tapi bunyinya sayup-sayup sahaja bagaikan berada jauh dari kawasan khemah.

"Jauh maknanya dekat cikgu..." Emma berbisik. Dia tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran cikgunya itu.

"Kita nak buat apa ni cikgu?" Tanya seorang pelajar perempuan dengan badan yang menggigil. Takkan nak biarkan diri mereka disergah iblis itu. Dia tidak sanggup! Lengan Cikgu Hani digenggam erat-erat.

"Kita keluar dari sini. Kejutkan yang lain sekali." Cikgu Hani memberi arahan. Mereka bergegas keluar.

"Cikgu, tunggu!"

Langkah semuanya berhenti dengan serta-merta. Emma berada beberapa langkah di belakang dengan mata yang tertancap pada apa yang berdiri di hadapan mereka. Mata Cikgu Hani dan yang lain terbuka luas dan mulut mereka terketar-ketar. Yang menangis sedang berada di hadapan mata dan ia bukanlah suatu perkara yang menyeronokkan.

Apa yang mereka lihat ialah seorang wanita yang berpakaian serba putih dengan rambut panjang yang mengurai hingga ke tanah. Ada lubang besar di tengah-tengah badannya dan ia sangat menjijikkan.

"Cikgu, ada ulat....." Salah seorang pelajar perempuan berkata penuh ketakutan. Ulat-ulat putih bergerak-gerak dalam tubuh sundel bolong lalu jatuh ke tanah.

Meloyakan.

Dan dia terus menangis dengan penuh hiba sambil membelakangkan manusia-manusia itu. Dengan kakinya tidak cecah ke bumi dia melayang-layang dan terbuai-terbuai bagaikan kain yang ditiup angin.

Emma berjalan mendekati Cikgu Hani, "Cikgu, saya nampak 4 orang lelaki dekat unggun api..."

Dahi Cikgu Hani berkerut-kerut. Apa maksud Emma?

"Cikgu....." Lengan cikgu muda itu digoyang-goyang oleh seorang pelajar yang lain. Dia sedang memandang ke belakang. Ke unggun api di hadapan khemah mereka.

Memang benar, ada 4 orang pemuda yang tidak dikenali sedang duduk mengelilingi unggun api. Manusiakah atau?

"Jeff, ada orang tengok kitalah..." Tegur salah seorang pemuda sambil bibirnya tersenyum sinis.

Cikgu Hani cepat-cepat menyuruh para pelajarnya melarikan pandangan dari situ. Jeff? Siapa Jeff? Dan senyuman di bibir mereka juga sungguh mencurigakan. Pasti bukan manusia!

Tangisan juga masih berlangsung. Mendayu-dayu memecah kesunyian pagi itu. Jantung mereka berdegup laju. Bagaimanakah caranya untuk bebas dari situ? Cikgu Hani memaksa otaknya untuk berfikir.

*****

ABANG ZACK mencuit lengan Cikgu Haiqal dan menghalakan jari telunjuknya ke tingkap bas tengah sebelah kiri. Ada sesuatu di luar yang sedang merenung ke arah mereka yang berada di dalam bas. Berdiri habis bulu roma dua lelaki itu. Makhluk serba putih itu sedang memandang mereka dengan penuh minat.

"Cikgu, mari duduk dengan kami." Ikhwan mempelawa.

Cikgu Haiqal tidak bergerak. Pegun di posisi yang sama.

"Marilah cikgu. Abang Zack pun. Kita lepak sama-sama." Razif pula yang mempelawa. Kemudian dia tergelak kecil.

Memang Cikgu Haiqal dan Abang Zack tidak nampak dengan jelas wajah mereka di belakang. Kini keduanya sudah duduk berjauhan dan membiarkan tempat duduk di antara mereka kosong. Mereka mahu Cikgu Haiqal dan Abang Zack duduk di situ.

Cikgu Haiqal menggelengkan kepala, "Kamu duduklah. Cikgu nak keluar."

"Nak pergi mana cikgu? Ke neraka?" Soal Razif lalu ketawa berdekah-dekah. Kemudian diikuti oleh hilai tawa Ikhwan pula.

Abang Zack perlahan-lahan mendekati pintu dan masih berusaha untuk membukanya. Kemudian dia beralih ke tempat pemandu pula. Dia menekan-nekan butang untuk membuka pintu tetapi gagal.

"Bismillah...." Cikgu Haiqal mula terkumat-kamit membaca ayat suci al-Quran namun bacaannya tidak sempat habis kerana dijerkah oleh mereka.

"&$@:;/"-#%>€*^¥+]{?,!"

Bahasanya tidak difahami namun dia tahu mereka sedang marah dengan bacaan ayat sucinya sebentar tadi.

Dari berempat kini berlima. Yang berbungkus serba putih di luar sudah berada di dalam bas. Duduk di antara Ikhwan dan Razif.

Cikgu Haiqal kembali membaca ayat-ayat suci walaupun bacaannya seringkali terganggu dengan suara-suara mereka di belakang.

FUNFAIR SEASON 1 DAN 2Where stories live. Discover now