Prolog

1K 105 162
                                    

Author note (30 Julai 2021)
Hi... pada tarikh di atas ni, saya decide untuk menukar nama beberapa watak atas ketiadaan makna dan sebagai penghormatan atas dasar persahabatan. Maklumlah saya tulis cerita ni masa zaman noob.

Berikut adalah nama watak yang saya telah tukar :
1. Murafiq kepada Malik
2. Amanda kepada Haura
3. Zulfa kepada Armel
4. Laila kepada Ermina
5. Fred kepada Farhan
6. Adzreen kepada Adriana
7. Adlina kepada Adira
8. Adam kepada Aryan
9. Aqilah kepada Ayra
10. Danish kepada Zakwan

Jika anda terjumpa mana mana nama lama (yang terlepas pandang untuk diubah) anda boleh reply pada bahagian itu. Kerjasama dan bantuan anda amat saya hargai ♥

🌹 🌹 🌹

NAFAS Haris tercungap-cungap mengambil oksigen namun, di saluran trakeanya seolah-olah ada sesuatu yang menghalang gas oksigen daripada mengalir masuk ke dalam peparu. Tubuhnya terbaring lemah di atas tanah.

Cecair merah pekat mengalir daripada dahi jatuh ke atas tanah. Pandangannya berbalam-balam, sekejap gelap sekejap cerah. Suaranya tersekat di kerongkong tetapi mulut tergerak-gerak melontarkan makian kepada si musuh.

Haris cuba berkata sesuatu kepada lelaki yang sedang tersenyum sumbing memandangnya. Malang sungguh, tiada suara yang keluar.

"Kenapa Haris? Malaikat maut dah datang nak jemput kau pergi?" Lelaki itu menyeringai bagai si fulan hilang waras. Leher Haris disentak kuat kemudian badannya diangkat terapung di udara.

Trakea terasa semakin sempit. Badannya sudah terlalu lemah untuk melawan. Kudrat yang dia ada sekarang hanyalah untuk kekal terjaga. Belum tiba masanya untuk dia pengsan ataupun mati.

"Malik... kau... takkan... menang. Argh!" Jeritan Haris bergema kuat serentak tubuhnya dihentakkan bertubi-tubi ke tanah tanpa belas kasihan. Timbul urat hijau pada lengan kekar itu mengangkat dan menghentak tubuh Haris. Satu senyuman puas dikulum lebar.

Nikmat puas yang menjalar dalam tubuhnya menyulam semula kepuasan hati yang sudah lama bersalut api dendam. Tangan menggumpal ketat penumbuk lalu dihayunkan dengan padu ke muka Haris buat kali terakhir.

"Aku akan menang Haris dan kau akan mati. Maafkan aku sahabat tapi ini semua salah kau. Kalau kau beri kerjasama dengan aku, semua ini takkan terjadi." Mata merah Malik menjegil wajah Haris yang sudah seperti mayat hidup. Bahunya naik turun seiring dengan nafasnya yang termengah-mengah.

Suku sahaja kelopak mata Haris terbuka. Darah dalam mulut tidak berhenti tersembur keluar. Semua sistem di dalam badannya seolah-olah sudah tidak mampu untuk berfungsi lagi.

Jika tadi jantungnya berdetak begitu laju dengan hormon adrenalina yang dirangsang hebat, kini dengupan jantungnya semakin lama semakin lemah. Dia tahu ajalnya semakin hampir. Tak semena-mena air mata mengalir jatuh daripada tubir mata.

Segala kekhilafan diri mula berlayar dalam minda saat matanya dipejam rapat. Rasa malu yang bergunung terhadap Tuhan Yang Maha Esa semakin menusuk tajam qalbunya yang sudah luluh dengan rasa bersalah. Jari telunjuk diangkat dengan terketar-ketar.

"Ya Allah... maafkanlah aku."

Cuping telinga Malik menangkap jelas suara Haris mengucapkan dua kalimah syahadah. Hatinya menjadi sebak tanpa tahu punca sebenar. Dia menatap wajah Haris lama dengan perasaan asing yang sukar digambarkan. Dia rasa... sungguh bersalah.

"Selamat tinggal Haris. Semoga kau tenang di alam sana. Terima kasih kerana pernah jadi kawan terbaik yang pernah aku ada. Aku akan biarkan kau mati dengan perlahan-lahan dan tenang di sini. Aku bagi kau peluang untuk bertaubat sebelum Dia jemput kau kembali kepada-Nya," lirih Malik sayu. Bibirnya dikemam rapat.

JUSTICE : Projek 046 Where stories live. Discover now