Bab 15

228 47 86
                                    

"SAKIT!"

Prak!

"Biar aku hancurkan semua tulang badan kau Arash!" jerkah Farhan. Sekuat hati dia menyepak tulang kaki Arash bertubi-tubi tanpa henti.

Arash sudah tidak mampu untuk melawan. Kepalanya mula berpinar-pinar. Pandangan mula berbalam-balam. Udara terasa tersekat di kerongkong tatkala dia tercungap-cungap menyuruh oksigen masuk ke dalam peparu. Dia sudah tiada kudrat untuk melawan semula.

"Kau nak tahu kenapa aku benci kau, Arash?" gertak Farhan. Tak cukup dengan memijak, dia menghayunkan penumbuk ke pipi kanan Arash sekuat hati. Dia menyentak leher baju Arash. Pipi Arash dicengkam kuat supaya lelaki itu memandang wajahnya yang bengis.

Di sebalik renungan mata Farhan, ada api marah yang sedang menyala. Ada dendam kesumat yang bersalut dalam hati menunggu masa untuk dibuktikan dengan kekerasan, mengetahui siapa yang bakal menang.

"Sebab kau sudah gila," balas Arash sinis. Walaupun sakit sehingga ke tulang sumsum, dia masih mampu melontarkan sepenggal senyuman saat menjawab soalan maut itu.

"Ya, aku gila. Aku gila sebab kau sudah bunuh papa aku! Argh!" teriak Farhan. Wajahnya memerah, menahan geram. Pipinya dicakar dengan kuku sendiri bagai si fulan hilang waras. Sekejap dia meraung kesedihan sekejap lagi dia meraung kemarahan. Emosinya bercampur-baur tatkala detik-detik papanya dibunuh dimainkan dalam layar minda.

Farhan bangkit sambil menjambak kasar rambut Arash untuk berdiri sama. Dia mengukir senyum sinis.

"Ingat... Allah... Farhan..." Arash memegang lengan Farhan yang mencengkam lehernya. Kakinya meronta-ronta di udara meminta dilepaskan. Darah mengalir deras daripada bibir lebam yang pecah, menitik membasahi tanah.

Farhan ketawa. "Kau jangan berani sangat nak nasihatkan aku tentang agama. Kau itu pun bukannya baik sangat. Kau juga manusia yang penuh dengan dosa."

"Ya, aku... memang banyak do... dosa... tapi... satu... saja... perbe... zaan kau... dan aku..." Mata Arash kuyu melihat wajah Farhan. Pandangannya berganda melihat wajah bengis itu. Dia sendiri tidak pasti sama ada lelaki itu di sebelah kiri atau di sebelah kanan.

Semuanya berganda. Nafas semakin lama semakin perlahan dan berat.

"Apa dia?"

"Aku buat dosa, aku terus bertaubat. Kau buat dosa, sampai mati pun aku rasa kau tak akan bertaubat." Entah dari mana kudrat dan keberanian dia dapat, dia menengking Farhan sekuat hati. Lagi sekali dia menguntum senyum sinis.

Muka Farhan menjadi merah padam. Marahnya sudah sampai ke puncak. Tak semena-mena, Farhan mencampak jauh tubuh Arash ke arah sebatang pokok.

"Argh!" raung Arash kesakitan. Belakang badan Arash tersentak kuat pada batang pokok. Mata dan jantung mahu saja mengalah tetapi semangatnya masih ada. Biar dia lawan sampai ke titisan darah terakhir. Walaupun dia sudah kehilangan banyak darah, selagi satu titik darahnya yang terakhir belum keluar, selagi itu dia akan berjuang.

"Mati sajalah kau tak guna!" Farhan mengeluarkan pistol yang tersangkut pada pinggang. Tanpa membuang masa, dia menarik picu dan melepaskan tembakan.

Bang! Bang!

Agak lama detik berlalu, namun badannya tidak menerima apa-apa impak yang memeritkan. Dahi Arash mula berkerut.

"A... Arash..."

Arash membuka mata perlahan-lahan dan mendongak memandang tubuh yang berdiri di hadapannya sambil mendepakan tangan, menghalang butir-butir peluru itu daripada menghentam tubuhnya.

Arash tergamam.

"Walaupun saya jahat, saya masih kisahkan tentang awak." Air mata jatuh daripada tubir mata serentak tubuhnya jatuh ke tanah. Tiga butir peluru itu tembus ke jantung. Dia sudah tiada harapan untuk diselamatkan. Darah keluar membuak-buak daripada mulut. Matanya terbeliak saat sakaratul maut datang menjemput.

JUSTICE : Projek 046 Kde žijí příběhy. Začni objevovat