Bab 12

263 52 77
                                    

Dua bulan yang lalu...

HARIS membuka kelopak mata apabila terasa pipinya disentuh dengan sesuatu yang sejuk. Pandangannya silau diterangi cahaya putih. Dia segera menutup semula kelopak mata. Wajahnya ditekup dengan kedua belah tapak tangan.

"Marsyal Haris sudah sedar?" tegur satu suara. Suara asing itu kedengaran sungguh dekat sekali seolah-olah suara itu sedang berada di sebelahnya.

Lagi sekali, Haris membuka matanya perlahan-lahan. Matanya terkelip-kelip, cuba menyesuaikan pupil mata dengan cahaya terang di sekeliling.

"Maaf... terlalu terang ya Marsyal? Sekejap saya rendahkan sedikit kecerahannya," pinta suara itu lembut. Cuping telinga Haris sekali lagi menangkap bunyi suis ditekan berhampirannya.

Suasana di situ bertukar malap. Akhirnya, Haris dapat membuka matanya dengan tenang. Lantas retina matanya tertancap pada susuk tubuh lelaki muda yang sedang tersenyum memerhatikan gerak-gerinya.

Lelaki itu kelihatan sungguh tenang. Badan disandarkan pada kerusi sambil tangan disilang rapat dada. Tiada senjata yang diacukan ke kepala. Tiada tanda-tanda bahawa dia adalah seorang musuh.

Haris membalas renungan lelaki itu dengan dahi berkerut. Dia bangkit daripada baring namun, sakit daripada luka dalam pada perut membataskan pergerakkan. Dia mengerang sakit apabila perutnya berdenyut-denyut kuat. Terasa seperti urat di sana sudah putus tahap sakitnya.

Lelaki itu menolak tubuh Haris untuk baring semula di atas katil."Jangan bergerak Marsyal Haris. Awak kena rehat dulu. Jangan risau, saya orang baik. Saya akan bantu Marsyal," ujarnya perlahan sambil menarik selimut menutup hingga ke paras dada Haris. Sepenggal senyuman janggal meniti di hujung bibir.

Haris masih lagi dengan hati yang penuh tanda tanya. Anak mata diliarkan ke sekeliling menelusuri ruang asing itu. Berkerut dahi dibuatnya apabila dia sedar mereka kini berada di dalam sebuah objek sfera yang bergerak laju merentasi lautan biru.

"Sa... saya... di... di... mana?" Wajahnya cemas memandang lelaki itu. Jantungnya mula mengepam darah laju. Tiba-tiba dia berasa tidak sedap hati. Badannya mula menggeletar kesejukan. Hujung selimut itu digenggam erat, menunggu jawapan daripada lelaki muda itu.

"Apa... apa tempat ini?" Dahi Haris semakin berkerut. Lelaki itu masih belum berikan jawapan. Sudahlah ingatannya masih kabur kerana baru sedar daripada pengsan.

Haris merenung wajah lelaki Inggeris itu. Anak matanya berwarna emarald dan rambut berwarna perang. Ada sesuatu yang menyelak langsir ingatan. Wajah lelaki itu seperti biasa dilihat namun, dia tidak pasti di mana mahupun siapa. Matanya sepet tatkala dia cuba menjejak semula memori lama.

"Awak siapa?" tanya Haris. Dia gagal untuk mengingati semula. Daripada dia membuang masa berfikir, apa salahnya terus bertanya.

"Tony Stark."

"Hah?"

"Haha.... bukanlah. Saya bergurau. Nama saya Harry, agent SCAR," jawab lelaki itu lalu mengulum senyum mesra. Jari-jemari kedua belah tapak tangan disulam bersama.

"Kita pernah bertemu ke sebelum ni? Muka awak seperti biasa dilihat," soal Haris inginkan kepastian.

Harry mengangguk sekali. "Banyak kali kita bertemu Marsyal. Marsyal sudah tidak ingat saya ke?" Wajah lelaki itu berubah sunggul. Senyum tawar terukir paksa di wajah. Hatinya tersentap apabila mengetahui Haris tidak mengenalinya sedangkan dia mengenali lelaki itu cukup lama.

Haris menggeleng perlahan. Dia benar-benar tiada idea tentang identiti pemuda di sebelahnya itu.

"Saya anak kawan Marsyal. Ayah saya namanya James Hudson," jawab lelaki itu.

JUSTICE : Projek 046 Where stories live. Discover now