Bab 11

273 56 85
                                    

SETELAH hampir 1 jam perjalanan, akhirnya enjin kereta kancil itu dimatikan. Maka, pemandu dan semua penumpang segera keluar daripada perut kereta dengan kadar tergesa-gesa. Ada yang sampai memeluk batang pokok tanda bersyukur kerana berjaya keluar daripada penyeksaan sebentar tadi.

Mereka semua sibuk mengelap peluh yang menitik daripada dahi. Ada juga yang bajunya basah lecun dengan keringat. Sudahlah lengkap berpakaian hitam, kemudian dipaksa pula masuk ke dalam 'sauna' kecil.

"Hampir 1 jam kita dalam kereta. Kata dekat saja dari pangkalan." Haura menjeling Aryan di sebelah. Dia mengibas tangan supaya angin bertiup ke muka. Walaupun anginnya tak berapa kuat, asalkan dapat sedikit udara sejuk pun jadilah untuk hilangkan rasa sesak.

"Dekat betul ya," perli Arash, turut menjeling ke arah Aryan. Akhirnya, dia berhenti memeluk batang pokok tersebut. Katanya, pokok ada banyak oksigen sebab itu dia memeluk pokok untuk hilangkan rasa panas.

"Dekat la. 15 km saja dari pangkalan. 50 minit bukannya lama mana," seloroh Aryan lalu tersenyum sumbing sendirian. Belakang tengkuk digosok kekok.

"Hah ya la. Sudahlah bawa kereta 15 kilometer sejam. Tak ada air cond pula tu. Saya rasa macam duduk dalam oven," rungut Haura sambil bercekak pinggang. Bibirnya muncung seinci ke hadapan tanda dia kurang berpuas hati.

"Tapi, bukan salah saya kereta ni sudah cabuk. Kereta kancil ni sajalah yang kita boleh guna. Yang lain sedang digunakan dan ada yang disimpan untuk kecemasan saja," balas Aryan, cuba menenangkan hati rakan-rakan yang sedang menggelegak dengan kegeraman.

Sudahnya, masing-masing reda. Sekurang-kurangnya, mereka bersyukur kerana masih dapat sampai ke destinasi yang dituju.

Semua retina mata kini tertumpu pada Laut Selat Melaka yang terbentang luas di hadapan. Angin sejuk bayu laut meniup kuat menyapa ke muka. Terasa sungguh nyaman. Habis terpadam segala niat untuk menyerang Aryan sebentar tadi.

Haura mendepakan tangan ala-ala filem Titanic, membiarkan udara sejuk itu menerpa ke seluruh badannya pula.

"Nasib baik Sarjan Ermina tidak melayang dek kerana ditiup angin. Maklumlah, tak cukup makan. Kurus sangat. Makan banyak pun masih kurus," gurau Haura namun, tiada siapa ketawa. Dia hanya ketawa seorang diri.

"Bebas daripada Rayyan," ujar Haura lagi. Gadis berpangkat Sarjan itu masih leka dengan dunianya. Suasana tenang di situ membuatkan dia seperti mahu terbang tinggi melawat awan di atas sana.

"Sudah suka si Ejen Rayyan itu, mengaku sajalah," sakat Adira seraya menyiku-yiku pinggang Haura.

"Oi, mana ada! Dia bukan jenis saya, saya suka yang alim seperti Ejen Zakwan," ujar Haura. Sengaja dia mahu Ermina cemburu memandangkan dia sudah tahu yang Ermina ada menaruh perasaan terhadap mentee sendiri, Ejen Zakwan.

Namun, apabila dia menoleh ke kanan untuk melihat Ermina, Ermina sudah tiada di sebelahnya.

"Mana Sarjan Ermina?" Dahi Haura berkerut. Kelam-kabut mereka semua mencari kelibat Ermina namun, Ermina tiada di mana-mana.

"Itu... disana!" teriak Aryan lantang. Jari telunjuk dihalakan lurus ke arah laut.

"Sarjan Ermina?"

Jeritan mereka memanggil namanya, dihiraukan begitu sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Ermina terus berjalan mengharungi laut tersebut dan sedikit pun Ermina tidak menoleh ke belakang memandang mereka.

"Sarjan Ermina! Awak nak pergi mana?" teriak Aryan namun tiada respon daripada Ermina.

"Kerja gila apa yang awak nak buat Sarjan Ermina?"

JUSTICE : Projek 046 Where stories live. Discover now