Bab 8

271 56 79
                                    

ADIRA membuka kelopak matanya luas apabila terasa ada tangan yang membelai lembut helaian rambutnya.

"Haura?"

"Hmm..." balas Haura yang kepalanya tersenguk-senguk akibat terlalu mengantuk itu. Dia menongkat dagunya dengan tangan yang lagi satu.

Adira tersenyum segaris. Badan Haura yang sedang duduk bersila dibaringkan di atas tikar span khemah itu. Selimut yang terlipat kemas di sisi kanan dicapai lalu ditebar sebelum menyelimuti tubuh Haura.

"Terima kasih Haura," bisik Adira perlahan sambil mengusap lembut kepala rakan baiknya yang berlapik tudung itu. Teringat pula kenangan lama semasa Adira ditimpa demam denggi. Haura dan Ermina pasti akan berada di sisinya 24 jam, tidak membenarkan dia membuat itu ini.

Bersungguh-sungguh mereka jaga Adira bagai anak permaisuri. Kalau beginilah kasih sayang seorang rakan yang sebenar... tak perlu dia susah susah mencari teman lelaki yang belum pasti jodohnya sehinggalah terlafaznya akad. Kasih seorang sahabat sudah memadai.

Adira terpandang Ermina dan Armel yang lena terbaring di sebelah Haura dan disebelahnya ada seorang gadis sungguh asing wajahnya.

'Mungkin dia orang baru,' fikir Adira.

Adira lantas menyarungkan tudung di kepala sebelum melangkah keluar daripada khemah. Dia menarik nafas dalam lalu menghembuskannya perlahan-lahan, menikmati udara segar pada jam empat pagi itu. Sedikit sebanyak, hatinya berdetak tenang apabila angin malam sejuk menerjah lembut kulitnya.

Terus hilang segala rasa sengsara dikurung dalam bilik bawah tanah. Di situ, dia hanya dapat menghirup udara yang berbau hanyir dengan darah. Kulitnya pula pasti diterpa oleh angin panas daripada bahang besi-besi yang digari pada tangan dan kaki.

Adira melilaukan pandangan ke sekeliling. Bunyi dengkuran daripada dua buah khemah itu jugalah yang memecahkan kesepian pada pagi itu.

Tiba-tiba mata Adira tertumpu pada satu susuk tubuh yang duduk termenung di atas rumput sedikit jauh daripada kawasan perkhemahan mereka. Dengan senyap, Adira melangkah menghampiri individu itu.

"Kapten?"

Arash tersentak. Tangannya memegang dada yang rasanya sudah gugur dari tempat yang sepatutnya akibat terlalu terkejut disergah secara tiba-tiba. Dadanya diurut perlahan. Kepalanya meneleng ke arah Adira yang sedang berdiri sambil menahan ketawa di sebelah.

Buat beberapa detik, Arash merenung lama wajah gadis itu. Ruang redup dan damai basah itu membuatkan hati Arash berdebar-debar tatkala pupil mata mereka bertaut. Senyum nipis gadis itu makin membuatkan dia tak keruan dalam karung emosi. Debaran sukma dan emosi yang bercampur-baur ketika ini sering kali mengetuk pintu hati untuk memberi ruang kepada cinta tatkala dia bersama gadis itu.

'Andai inilah yang dinamakan cinta...' Arash tersenyum nipis. 'Aku tak nak lupa perasaan ini sampai bila-bila,' gumam gembira hati Arash.

"Leftenan... Leftenan sudah sedar? Eh, kenapa tak rehat saja? Leftenan lapar? Kejap, saya ambilkan makanan. Orang cedera mana boleh gerak sangat nanti sakit. Leftenan duduk kat sini diam-diam nanti saya datang balik," ujar Arash sebaik saja tersedar daripada lamunan. Dia bangkit dengan begitu pantas tetapi sempat ditahan oleh Adira.

"Saya okay, tak lapar dan Kapten jangan risau. Kapten boleh panggil saya Adira. Tak perlu nak berleftenan sana sini. Lagipun, sekarang kita tak bertugas bukan?" ujar Adira seraya melabuhkan punggung di sebelah Arash.

"Okay Lefte... maksud saya Adira. Adira sepatutnya berehat bukannya duduk di sini, esok perjalanan kita masih panjang. Tengok muka itu, bertampal sana sini belum lagi tengok badan, tangan dan kaki. Entah berapa tebal balutan kainnya ya?" ujar Arash dengan nada risau. Dahinya berkerut. Bibirnya diketap.

JUSTICE : Projek 046 Where stories live. Discover now