Bab 6

258 54 44
                                    

"KAPTEN! Api!" teriak Ermina lantang. Jarinya menunding lurus ke arah api yang sedang marak menyala di dalam rumah dengan terketar-ketar.

Secara tiba-tiba, muncul tiupan angin kuat di atas mereka. Bunyi deruan angin terlalu bingit sehingga sekeliling mereka kedengaran begitu samar-samar. Arash dan Ermina serentak mendongak ke arah langit.

"Yes! Helikopter aku dah sampai," sorak Adriana seraya mencapai tali yang dicampak daripada helikopter tersebut. Tangannya berpaut pada tali itu. Sepet matanya tatkala dia tersenyum sinis memandang Ermina dan Arash yang terkebil-kebil tidak tahu untuk bertindak.

"Semoga kau dapat selamatkan mereka semua. Ini baru permulaan, aku akan datang semula dengan serangan yang lebih dahsyat. Kau orang hanya perlu tunggu," ketawa Adriana sinis. Sempat Adriana memberi amaran keras sebelum helikopter itu memecut laju meninggalkan mereka. Kelibat Adriana terus hilang daripada pandangan.

"Apa tindakan kita sekarang?" soal Ermina risau. Dahinya mula mengeluarkan keringat. Tangannya mengigil tatkala retina mata menangkap imej api yang marak menyala di dalam rumah. Hatinya mula tidak tenang memandang Arash dan rumah itu bersilih ganti.

Arash mengetap bibir. Hatinya masih menggelegak dengan pelbagai emosi. Semua ini berlaku terlalu pantas sehingga Arash tidak dapat mengejar realiti yang sebenar. Terlalu banyak beban dan kerisauan yang terbuku dalam dada. Kalau boleh, mahu saja dia melutut ke tanah dan menangis sepuas-puasnya.

Namun, dia lelaki. Dia juga seorang ketua. Dia juga seorang abang kepada seorang adik perempuan. Tiada masa untuk dia melayan mutiara-mutiara jernih itu memainkan babaknya. Memikirkan rakan-rakan di dalam, dia tekad untuk kuatkan diri dan menyelamatkan mereka.

"Kita masuk," balas Arash dengan tegas. Anak matanya mengekor Ermina di sebelah. Semangat dalam jiwa dibetulkan terlebih dahulu.

Ermina mengangguk faham. Tiada apa-apa untuk dia hujah lagi.

Dengan pantas, Ermina dan Arash berlari laju ke dalam rumah namun, larian mereka terhenti apabila mereka dihalang oleh api marak di tengah jalan.

"Uhuk... uhuk..." Mereka terbatuk-batuk menghidu asap tebal yang memenuhi rumah. Rasa bahang api mula terasa pada kulit mereka. Nafas mereka semakin pendek tatkala oksigen di dalam ruang itu semakin menghilang.

"Mereka ada di ruang tengah rumah. Macam mana kita nak selamatkan mereka kalau api terlalu marak? Asap pun sudah semakin tebal." Ermina mengibas jaketnya untuk menghalang debu asap yang berterbangan daripada singgah ke muka. Tapak tangan kanan menekup mulut dan hidung.

Arash turut berbuat demikian seraya anak mata diliarkan sekeliling mencari idea. Dalam hati, dia tidak putus-putus berdoa agar rakannya di seberang berada dalam keadaan selamat. Di saat itu, matanya menangkap imej fire sprinkler yang terpasang pada siling rumah itu.

Arash menghela nafas lega. Tuhan mendengar doa orang yang sedang buntu seperti dia. Dalam hati dia mengucapkan rasa syukur kepada Ilahi.

Akan tetapi, ada sesuatu yang membuatkan Arash menjadi geram. Api marahnya itu mampu membakar lalang kering biarpun jauh di sebelah lautan.

"Cis, patutlah fire sprinkler itu tak berfungsi rupanya si Adriana sudah tutup dengan sfera sheild!" Arash merengus geram. Rasa marahnya makin menjadi-jadi. Sfera sheild yang mengelilingi fire sprinkler itu ditatap dengan wajah serius.

Lantas, Arash mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluarnya.

"Apa yang Kapten nak buat dengan pen tu?" soal Ermina kehairanan apabila melihat Arash memegang sebatang pen di tangannya. Pipi kanannya digaru walaupun tidak gatal.

JUSTICE : Projek 046 Where stories live. Discover now