BAB 31 - Kacau

4.6K 290 8
                                    


Dari surau bersama-sama beberapa orang pelajar lelaki, pelajar perempuan dan juga beberapa orang guru, cikgu Jamal terus menuju ke dewan. Jarak antara surau dan dewan yang sepatutnya dekat sahaja itu terasa sungguh jauh. Apatah lagi seringkali juga dia terlihat beberapa susuk tubuh yang kelihatan berbalam-balam sahaja di dalam gelap seperti memerhatikan saja ke arah mereka. Atas sebab itu cikgu Jamal meminta mereka mempercepatkan langkah. Bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini pula.

‘’Alhamdulillah…’’ ucap cikgu Jamal apabila kakinya mula melangkah masuk ke dalam dewan.  Sekurng –kurangnya mereka selamat daripada makhluk yang sedang memerhatikan mereka di luar tadi.

‘’ Terima kasih bantu cikgu.’’ Ucap cikgu Jamal kepada beberapa orang pelajar lelaki yang menemaninya tadi. Mereka kembali semula ke arah  kelompok rakan-rakannya yang kebanyakkan sudah lena tidur beralaskan lantai dewan. Ada yang tidur bersaandar dan ada juga yang tidur berbantalkan paha rakan-rakan mereka yang lain.

‘’Pelajar-pelajar perempuan ini nak duduk kat mana cikgu?’’ tanya seorang guru perempuan merujuk kepada beberapa orang pelajar perempuan yang baru tiba dari surau.

‘’ Mereka ni cikgu bawa pergi duduk bersama dengan pelajar perempuan yang lain. Cikgu pun duduk situ sekali la sambil memantau mereka. Suruh mereka tidur kalau mengantuk. Cikgu pun kalau mengantuk tidur la dahulu. Tapi bergilir-gilir lah berjaga dengan cikgu-cikgu yang lain.’’

‘’Kalau macam tu tak apa lah cikgu.’’ Ujar guru wanita tersebut seraya meminta diri. Dia pergi bersama beberapa orang pelajar dan guru perempuan.

Cikgu Jamal memerhatikan seketika suasana di dalam dewan sebelum berjalan ke arah pentas. Apa yang dilihatnya tidak ubah seperti pusat penempatan mangsa bencana alam. Sungguh dia kesian dan sedih dengan apa yang dilihatnya kini. Namun atas faktor keselamatan, keselesaan terpaksa diabaikan. Yang penting mereka semua selamat sementara menanti kedatangan pengetua untuk tindakan selajutnya.

Peliknya, sehingga sekarang pengetua masih belum muncul lagi. Sama ada pengetua terlupa atau ada sesuatu yang menghalangnya untuk kesini. Mungkin saja keretanya rosak di pertengahan perjalanan. Siapa tahu bukan. Apa-apa sahaja mungkin terjadi.

Langkahnya terbejat seketika apabila terpandang seorang lelaki tua sedang duduk bersila di atas pentas berhadapan dengan cikgu Nazir, dan empat orang pelajar perempuan yang hampir membentuk satu bulatan. Kemudiannya dia terus melangkah apabila menerima isyarat bukan lisan daripada lelaki tua itu. Cikgu Jamal mengambil tempat di sebelah cikgu Nazir.

Walaupun pelbagai persoalan yang menujah benaknya ketika ini, namun dirasakan sewajarnya untuk dia menyimpan dahulu segala persoalan itu. Apatah lagi cikgu Nazir sendiri seperti tidak menggalakkan dia untuk bersuara. Masing-asing merenung ke arah kotak yang terdapat di atas lantai di tengah-tengah antara mereka.

Seperti mereka yang lain, cikgu Jamal jugak tidak melihat atau sebenarnya tidak dapat melihat susuk tubuh  makhluk yang sedang berdiri di belakang Syazrin, Jiha dan Huda.  Kedatangan cikgu Jamal nyata menarik perhatian makhluk tersebut. Mana tidaknya, makhluk itu mula berpaling dan mahu bergerak ke arah cikgu Jamal, namun hasratnya itu terhalang apabila lelaki tua tersebut meniup sesuatu ke arahnya.

Tiba-tiba sahaja mahluk itu merintih, menjerit dan mengilai. Kuat hingga membingitkan telinga. Anehnya, mereka yang lain seperti tidak mendengar pula. Cuma reaksi terkejut ditunjukkan mereka apabila melihat lelaki tua itu tiba-tiba sahaja meniup ke arah Syazrin, Jiha dan Huda. Terpinga-pinga mereka. Tidak pula lelaki tua itu menceritakan apa-apa.

Cikgu Nazir menyengetkan sedikit badannya ke arah Sabrina. Lalu kepalanya ditundukkan sedikit.

‘’Sabrina…. Apa yang berlaku?’’ tanya cikgu Nazir separuh berbisik. Sabrina mengangguk perlahan.

BLOK E : Mulanya Di Sini [Complete]Where stories live. Discover now