Bab 10: Bomoh Menggunung

4K 258 6
                                    



Hari ini sudah genap sebulan dia menjadi sebahagian daripada Menggunung. Sebulan jugalah masa berlalu sejak dia hampir sahaja ditanam di dalam salah satu lubang kubur di jirat cina yang tidak sepatutnya tidak wujud, hanya menjadi realiti apabila ada manusia yang percaya padanya. Dan hari itu jugalah, genap sebulan Emmy menjauhkan diri daripadanya.


Meski mereka sentiasa bersama makan bersama ketika rehat bersama dengan Megat Azizan dan Najirah, yang juga kadang-kala disertai oleh Kamarul yang tidak selalu ada bersama dengan mereka, Izzat dapat mengesan betapa gadis itu seboleh-bolehnya tidak mahu menatap wajahnya, dan apabila secara tidak sengaja mata mereka saling bertembung, Emmy akan melarikan diri.


Hari itu, waktu rehat yang keberapa dalam hidupnya di SMK Adrujha.  Tapi kebetulan hari itu, Megat Azizan dan Najirah tidak hadir ke sekolah. Emmy pula keseorangan di salah satu sudut meja sambil menikmati nasi gorengnya sendirian. Gadis yang kononnya dinobatkan sebagai salah seorang daripada jelitawan sekolah itu, jarang sekali dilihat seorang diri. Kalau tidak bersama dengan Najirah atau Megat Azizan, Emmy akan bersama dengan kelompok biasa yang selalu bertemankan dia sebelum mereka menjadi sahabat, disatukan oleh Pontianak yang menghantui salah satu laluan masuk ke pekan yang menjadikan aktiviti pembalakan sebagai sumber ekonomi utamanya.


"Seorang?" soal Izzat ketika dia meletakkan dulang yang mengandungi Nasi Lemak Sotong dan air jus epal, yang kedua-duanya memang makanan asasi kegemarannya. Emmy yang sedang duduk dihadapannya tentu sudah mengenali makanan kegemaran pada perkiraannya.


"Saya tak lalu makan... saya nak buang..."


Prap! Pergelangan tangan Emmy disambar membuatkan Emmy yang berkira-kira mahu bangkit dari tempat duduknya tergamam sejenak, sambil merenung ke arah Izzat.


"Kenapa awak elak diri daripada saya?" soal Izzat.


"Lepaskan tangan saya. Tak manis kalau orang lain tengok!" Emmy bersuara.


"Saya ada buat salah ke?" soal Izzat lagi.


"Lepaskan saya!" Emmy berkeras.


"Awak duduk dulu di sini, dan jangan lari dari masalah lagi!" kata Izzat.


Untuk seketika, Emmy memandang mata-mata yang sedang memerhatikan mereka sebelum kembali melabuhkan punggungnya di atas kerusi panjang yang biasanya disandingkan juga dengan meja panjang yang dibalut oleh kain berwarna-warni. Pemandangan yang biasanya di mana-mana kantin sekolah di Malaysia.


"Apa yang awak nak tahu pasal saya?" soal Emmy.


"Boleh tak kalau saya dengan awak... jadi macam biasa? Kita jadi kawan macam dulu?" soal Izzat.


"Memang kita macam biasa balik. Saya dengan awak... mana pernah bercakap pun. Lagipun kita jadi ramah pun sebab Pontianak tu. 2 hari jer kita jadi ramah, dan itu tak membuktikan apa-apa pun," balas Emmy.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now