Bab 26: Orang Tua Puaka

4.8K 259 25
                                    


Sebelum hadirnya Adilla, Emmy Natashia adalah satu-satunya rakan perempuan yang sudi berkawan dengannya. Selebihnya, Najirah banyak menghabiskan waktu dengan budak-budak lelaki, terutama Megat Azizan. Sejak kecil lagi, bergelar sebagai seorang anak orang paling kaya di Menggunung dan anak dara orang ketujuh terkaya di Malaysia, Datuk Nasir Jalaini yang merupakan tauke balak terkenal Malaysia itu, rupa-rupanya mendatangkan cemburu daripada kebanyakan rakan perempuannya sebaik sahaja mereka cukup matang dan berusia untuk mengenali nilai harta pada kehidupan.

Seorang demi seorang mula menjauhinya, yang datang dengan alasan yang tidak munasabah. Akhirnya, dia ditinggalkan keseorangan, terpingga-pingga sebab-musabab dia mula dipinggirkan. Namun, semakin menginjak dewasa, Najirah mula mengenali siapakah peribadi yang bertakhta di rumah agam yang terletak di pinggir Menggunung itu. Patutlah seluruh Menggunung turut membencinya. Dia lahir dari sisa sperma seorang sekejam itu. Atau kata Menggunung, dia lahir dari air mani seorang syaitan yang menjadi raja di Menggunung. Ibunya juga tidak kurang jahat dengan si ayah. Permaisuri yang setia disisi. Sentiasa menjadi tulang belakang dan penghasut yang melonggokan lagi arang pada api yang sememangnya sudah lama membakar segala yang bernama kemanusian.

Salah seorang yang menjadi mangsa kekejaman Datuk Nasri ialah tentunya ayah kepada sahabat baiknya Megat Azizan. Betapa sebenarnya syarikat yang dimiliki Datuk Nasir pada awalnya ialah milik bersama ayah Megat Azizan. Tetapi ketika mereka sedang memanjat tangga kejayaan, ayah Megat Azizan ditolak dari puncak kejayaan, membiarkan Datuk Nasri memeluk trofi kekayaan yang diidamkan seluruh hayatnya, manakala ayahnya Megat Azizan dibiarkan terpuruk di lubuk kemiskinan selepas segala harta dirampas dari tangannya dengan cara terkotor dan menjijikkan.

Namun, sekurang-kurangnya Megat Azizan tidak pernah menghukum Najirah. Meski ayahnya kemudian dipenjarakan kerana menceroboh masuk ke dalam rumah agam mereka, naik amuk mahu menebas setiap yang bernasab dengan Datuk Nasri. Meski selepas itu, pada setiap tutur kata Megat Azizan, ayahnya sudah lama mati walau masih bernafas di Penjara Rajawali. Tetapi Megat Azizan, dia tidak pernah mengetahui betapa ayah dan ibu untuk Najirah tidak pernah wujud. Tetapi kalian juga harus tahu, betapa sebelum hadirnya rakan-rakan yang lain, Megat Azizan tetap setia bersahabat dengannya, meski terkadang lancang mulut si lelaki yang tidak pernah mengerti bagaimana hati seorang wanita berfungsi.

Kemudian datang Emmy yang seperti mengembalikan erti persahabatan sesama hawa. Emmy mengorek kembali sisi wanita yang sudah lama terbenam kerana kesunyian yang melanda. Selama sebulan itu, barulah memori berkawan dengan mereka yang sejantina kembali menjadi realiti, menghidupkan setiap sisi feminism seorang Najirah. Berkawan dengan mereka yang memahami setiap yang dikata, tidak sama seperti berpura-pura kental di hadapan jejaka. Akhirnya, dia tetap sedar bahawa dia tetap seorang wanita, tidak sekental hati lelaki yang memang ditakdirkan untuk menjadi raja di bumi tuhan semesta. Semoga, Kamarul tidak salah! Semoga, Emmy akhirnya bebas! Semoga apa-apa sahaja yang menanti di rumah Tok Anjang, mampu dihadapi oleh mereka bertiga.

"Kau dah bawa baju lebihan untuk Emmy?" tutur Kamarul yang turut berkayuh basikal dengannya, seiring meredah petang yang sedang disapa oleh senja yang sedang mengulangi rutin seharian di ufuk alam. Di sebelah kiri Najirah pula si Ikmal dengan wajah mencebik masam kerana tidak puas hati apabila diheret sekali untuk ke misi menyelamat.

"Sepatutnya aku yang jaga Adilla." Gerutu Ikmal adalah lagu yang menemani mereka ketika meredah jalan lama Menggunung dengan basikal petang itu.

"Emmy tu bukan sesiapa untuk aku. Kenapa kau orang heret aku sekali?" soal Ikmal. Namun tiada siapa di situ yang membalas bertubi-tubi bebelan dan rungutan yang keluar dari mulut laksana peluru yang termuntah dari mata senapang itu.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now