Bab 33: Histeria

3.2K 263 16
                                    



Mereka berempat saling berkongsi pandangan. Lontaran kata-kata daripada Megat Azizan itu membuatkan masing-masing tergamam untuk seketika. Sungguh, untuk mencerna bahawa rakan mereka yang bernama Najirah adalah vampira yang berusia lebih 500 tahun. Untuk seketika, suasana sunyi yang menjengkelkan berjangkit antara mereka sebelum Ikmal ketawa sendirian.

"Megat... tak akan nampak hantu tadi sampai jadi gila," tutur Ikmal lalu menepuk pipi Megat Azizan beberapa kali.

"Maksud kau apa Ikmal?"

"Twilight... Vampire Diaries... apa semua ni?" ucap Ikmal dalam nada yang mengejek.

"Dengar sini, demi ALLAH tadi tok batin orang asli tu sentuh aku, dan aku tiba-tiba berada kat 500 tahun yang lalu. Aku lihat sendiri dengan mata kepala aku apa yang terjadi masa tu, dan perempuan yang mati tu, nama dia Najirah!"

"Sekejap... sekejap... tadi Vampira, sekarang mati pulak. Kau nak sampaikan apa ni?" soal Ikmal.

"Kamarul... legenda vampira dalam dunia, dia harus mati dulu sebelum jadi vampira bukan?" soal Megat Azizan.

"Dengan syarat, dia kena ada darah vampira dalam badan dia," kata Kamarul.

"Sekejap... vampira wujud?" soal Ikmal menoleh tidak percaya ke arah Kamarul.

"Kitab Alam Mistik tu cakap macam tu, jadi aku percayalah," jawab Kamarul lagi. Untuk seketika, Ikmal menoleh tidak percaya ke arah Megat Azizan dan Kamarul, silih berganti seolah-olah mengharapkan salah seorang daripada mereka menjerit "April Fool". Namun, melihatkan betapa seriusnya wajah Megat Azizan dan Kamarul, barulah Ikmal terpaksa mengangguk, menerima khabar berita yang baru sahaja dihadapakannya.

"Aku harap vampira yang kau cakapkan ni tak bersinar berkeliP-kelip kat bawah matahari. Itu bukan vampira yang aku percaya, itu pari-pari," kata Ikmal.

"Awak serius yang... Najirah... vampira?" soal Emmy.

"500 tahun yang lalu... gadis yang sama rupa dengan dia, yang sama nama dengan dia juga, bahkan ibu dan ayah Najirah masa tu adalah orang yang sama wajahnya dengan Datuk Nasir dan jugak Datin Azizah. Aku tak tahu... tapi bukti semua menjurus ke arah dia!"

"Kau sahabat dia kan Jiji?" soal Emmy. Megat Azizan mengangguk.

"Najirah... dia tak pernah sesekali hilang kepercayaan pada aku masa seluruh sekolah mengata aku. Ya, aku tahu kehidupan silam aku terlalu jijik, terlalu hitam, tapi Najirah kawan perempuan pertama aku yang sentiasa ada kat sisi aku, walau apa pun yang terjadi. Aku percayakan sahabat-sahabat aku," tutur Emmy membuatkan wajah Megat Azizan terus berubah.

"Kau pun kena percayakan dia. Jiji... kau tu sahabat dunia akhirat dia. Kalau kau tak percayakan dia, kau macam bunuh dia Jiji," pesan Emmy lagi.

"Najirah..." Megat Azizan hanya mampu menuturkan nama gadis itu. Namun, pertemuan mereka berempat pada malam itu terganggu apabila dari dalam dorm dibelakang mereka, kedengaran jeritan seseorang. Serentak itu juga, wajah mereka berempat bertukar kepucatan.

"Kita.... kantoi?" soal Ikmal sambil memejamkan kedua-dua matanya, membayangkan ditubir mindanya yang Mufarwa Farid bersama kumpulan fasililator sedang berada di belakang mereka. Namun, jeritan yang datang dari wanita yang berlainan pula berkumandang membuatkan dia terus membuka matanya. Kalau tadi mereka sedang bercangkung, betapa kali ini Megat Azizan, Emmy dan Kamarul sedang berdiri tegak.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now