Bab 34: Night Walk

3.4K 247 28
                                    




Malam itu, selepas segala-galanya reda dan kebanyakan mereka yang terkena histeria berjaya dipulihkan, hanya Megat Azizan sahaja yang tidak dapat tidur. Wajah Izzat, Najirah, Adilla dan Sofea silih berganti memenuhi tubir mindanya. Kalau benar apa yang diungkapkan oleh Najirah, betapa serangan histeria dan langsuir yang berlaku beberapa jam tadi adalah permulaan untuk kehancuran yang bakal berlaku, yang selepas ini mungkin disasarkan kepasa keturunan 4 pengasas Menggunung yang kebetulan merupakan sahabatnya.

Dia hanya berbaring sambil merenung kosong siling putih yang kini sudah bertukar suram dek cahaya lampu yang sudah dimatikan. Bunyi dengkuran Ikmal silih berganti dengan kesunyian yang sedang melanda memandangkan malam sedang menginjak pagi. Sehinggalah suatu masa, dia merasakan tidak mungkin dia dapat tidur untuk malam itu, lantas dia mula bangkit. Dia melihat Kamarul sedang tidur terkangkang di atas katilnya dengan mulut yang terngaga. Dia menuruni tangga katil dua tingkat sebelum berhenti sejenak, memerhati hero untuk malam itu yang sedang tidur sambil menghisap ibu jari.

Lokasinya ialah tandas yang terletak diluar dorm. Kalau hari biasa, dia pasti berteman kerana ketakutan. Tetapi untuk hari itu, rasa risau yang bercambah untuk Sofea kini sudah mula menular kepada rakannya yang lain, lagi-lagi Najirah yang paling terkesan. Ketika dia sedang berjalan menuju ke tandas, dia berhenti sejenak sambil memandang belantara yang menghijau dalam kegelapan, yang sedang mengelilingi kawasan perkhemahan itu.

Keesokan malam nanti mereka semua bakal dilepaskan seorang demi seorang ke dalam hutan untuk aktiviti Night Walk. Tentunya, segala makhluk yang menghuni kawasan belantara itu akan menjadikan apabila mereka berseorangan pada waktu malam sebagai peluang keemasan untuk mengancam 4 keturunan pengasas Menggunung. Semoga abang Mufarwa Farid membatalkan aktiviti malam esok selepas apa yang berlaku hari ini.

Megat Azizan terus menapak sehingga dia berdiri dihadapan tandas yang kelihatan sunyi pada malam itu. Lantainya sedikit basah memandangkan tadi beberapa orang pelajar sempat mandi untuk membersihkan tubuh mereka yang bercalit peluh, dan ada yang percaya mereka perlu mandi untuk menghalau segala benda yang menjadikan pelajar perempuan kerasukan dan histeria tidak bertenggek pada diri mereka. Beberapa buah pintu tertutup rapat. Megat Azizan hanya menghampiri sinki, membuka pili air, membiarkan air turun perlahan-lahan sambil dia memandang refleksi wajahnya pada cermin dihadapannya.

"Apakah terlalu paranoid?" Megat Azizan sekadar bersuara sendirian.

"Apakah aku terlalu... membebankan diri aku memikirkan soal rakan-rakan aku?" soal Megat Azizan sebelum ketawa sendirian.

"Aku memang dah jadi gila dan bodoh, berharap pantulan aku mampu menjawab soalan aku!" tutur Megat Azizan lagi.

"Apakah selepas kau melihat aku sebegini..." tutur satu suara membuatkan Megat Azizan terus berpaling. Kelihatan salah satu daripada pintu tandas dibelakangnya terbuka dan kelihatan Najirah sedang berjalan dengan pedang perak sedang terbenam di dadanya. Darah meleleh keluar dari mulutnya, laksana banjir lumpur ketika hujan lebat.

"Apakah selepas melihat aku sebegini..." Sebuah pintu lagi terbuka dan kelihatan Sofea sedang tergantung pada sebuah tali gantung yang bersambung pada jeriji tingkap di atas ruang tandas itu, dengan lidah yang terjelir keluar dan kaki yang terkapai-kapai di udara.

"Atau selepas melihat sahabat kau begini?" Kepala Adilla bergolek keluar dari tandas dengan darah masih merembes keluar dari lehernya.

"Tidakkah hati kau akan hancur selepas melihat sahabat kau... mati? Ketika itu baru kau nak memikirkan betapa kau sebenarnya... tidak bodoh?" tutur Izzat yang keluar dari pintu tandas yang paling tengah, dengan beberapa pasak kayu sedang terbenam di perut dan dadanya.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now