BAB 18

79.2K 4.2K 125
                                    

P/s : Saya up semula dari prolog hingga bab 20. Tetapi yang ni versi edit punya.
____________________________________________________

CINCIN emas putih bertakhta permata merah itu direnungnya.  Kini, dia sudah sah menjadi isteri kepada seorang mafia.  Sesuatu yang dia tidak sangka. Daripada tak kenal, lepastu jadi pengasuh, tiba-tiba dah jadi isteri. Nasya membelek-belek cincin yang tersarung elok pada jari manisnya itu.  Cantik.  Bibirnya tersenyum tipis. 

“Buat apa kat luar ni?”

Nasya tertoleh ke belakang apabila suara garau itu menyapanya.  Dia terus bangun dari tempat duduknya.  “Err, tak ada apa,” balasnya sedikit takut.  Wajah menunduk sedikit. 

Andi yang sedang bersandar pada pintu gelongsor itu menjongketkan keningnya.  Tangannya bersilang di dada.  Mata memerhati gadis di hadapannya itu.  Atas bawah ditiliknya. 

Nasya mengemam bibir.  Takut. Itu yang dia rasakan.  Aura lelaki itu terlalu dingin, sehingga kecut segala urat-urat sarafnya.  Liur ditelan.  Terasa kelat dan kesat.  “Err, Elsa mana?” soalnya, mengusir suasana sunyi ketika itu.  Terasa janggal pula apabila berduaan dengan Andi. 

“Dia dengan Andri,” balas Andi mendatar.  Keadaannya masih seperti tadi.  Matanya tidak berkalih daripada memandang Nasya.

“Err, encik memang nak berdiri kat pintu tu je ke?” soal Nasya.  Memberanikan sedikit dirinya.  Wajah diangkat sedikit.  Pandangannya bertembung dengan Andi.  Cepat-cepat Nasya menundukkan wajahnya semula. 

“Kalau ya, apa masalah?”

Nafas ditarik dalam sebelum dihela perlahan.  Kekuatan dikumpul.  “Saya masuk dulu.” Nasya menundukkan wajah ketika lalu di hadapan Andi.
 
Andi hampir tergelak melihat tingkah isterinya itu.  Pintu gelongsor dirapatkan.  Langsir ditarik menutup pintu gelongsor.  Kakinya bergerak ke arah katil. 

“Kita tidur sekatil ke?” soal Nasya, memandang tepat ke arah Andi. 

“Dah tu?  Kalau kau nak tidur kat sofa tu, dipersilakan,” balas Andi lalu merebahkan tubuhnya di atas tilam.  Hari yang begitu memenatkan.  Walaupun majlis perkahwinannya itu dilakukan secara sederhana dan tertutup, tetapi cukup memenatkan. 

Nasya hanya duduk di birai katil itu.  Dia segan hendak berbaring di sebelah lelaki itu.  Tudungnya pun masih lagi tersarung di kepala, malu mahu buka.

“Bukalah tudung tu.  Dengan suami sendiri pun nak kena bertutup bagai ke?” soal Andi.  Nasya dipandang dengan ekor mata.

Nasya mendiamkan diri.  Perlahan-lahan dia menanggalkan tudung yang tersarung di kepalanya itu.  Tudung sarung itu dibiarkan di atas meja sisi. 

“Tidur,” arah Andi ringkas.  Matanya sudah terpejam rapat.

Nasya menoleh sekilas ke arah suaminya.  Suami?  Terasa kekok pula hendak mengaku lelaki itu suaminya.  Nafas dihela perlahan.  Lambat-lambat dia merebahkan tubuhnya di atas tilam.  Nikmat terasa apabila tubuhnya yang letih itu dapat direhatkan di atas tilam empuk.  Nasya membetulkan sedikit kedudukan bantal di kepalanya.  Kelopak mata dirapatkan setelah dia membaca doa tidur. Tidak sampai seminit, dengkuran halusnya sudah kedengaran. 

Andi membuka kelopak mata apabila mendengar dengkuran halus Nasya.  Bebola mata yang memandang ke siling itu beralih memandang ke sebelah.  Nasya sudah terlena.  Perlahan-lahan Andi mengiringkan badannya menghadap gadis itu.  Tangan kiri digunakan untuk mengalas kepalanya.  Setiap inci wajah Nasya diperhati.  Cantik.  Tiada sebarang cacat cela.  Sempurna sungguh ciptaan Tuhan.

ANDI CEDRIC: Encik Mafia Duda (DIBUKUKAN)Where stories live. Discover now