Bab 4: Traitor

468 100 25
                                    

Jam analog yang tergantung pada dinding di atas pintu keluar perpustakaan sudah menunjukkan pukul sembilan pagi. Bilik perpustakaan yang luas itu sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi helaian muka surat dibelek sebelum buku itu kembali ditaruh di atas rak.

Xin dan Mikhail menyelongkar setiap rak buku untuk mencari sebuah kamus bahasa Greek. Xin yakin bahawa perkataan 'Antipalos' yang dimaksudkan dalam surat maklumat yang dijumpai oleh Mikhail itu ialah satu perkataan dalam bahasa Greek.

"Hey, Mikhail. Kau bukan Mafia kan?" tanya Xin dengan tiba-tiba setelah dia dan Mikhail tidak berbicara hampir sejam kerana sibuk mencari kamus.

Mikhail yang membelakangi Xin sambil meneliti tajuk pada tulang buku itu menjawab, "Ikut saja firasat kau. Kalau kau masih tak percayakan aku, suka hati kau. Aku ke sini untuk mencari maksud perkataan dalam surat maklumat tu, bukannya bunuh orang. Kalau aku Mafia sekalipun, aku tak terlalu bodoh untuk bertindak macam tu. Harisya dan Yuri dah tentu akan tahu sebab hanya mereka saja yang tahu aku bersama dengan kau. Lagipun, Mafia hanya membunuh pada waktu malam."

"Jadi, siapa yang kau rasa Mafia?"

"Mungkin ... kau?" balas Mikhail sambil menjeling ke arah Xin.

"Hahaha! Jadi, kau rasa aku ialah Mafia? Mungkin betul, mungkin salah. Mafia tak tahu identiti Mafia yang lain. Boleh jadi, kita berdua Mafia?"

"Lawak kau terlalu lapok. Budak zaman sekarang tak faham lawak kau."

"Tak apalah kalau kau anggap ianya lawak. Kita tak tahu identiti orang lain selain Yuri dan Harisya. Villager akan sokong mereka berdua manakala Mafia pula akan cuba cari jalan untuk bunuh mereka. Jadi ... berbalik kepada soalan aku tadi, kau rasa siapa Mafia?"

"Aku tak suka teka-teki. Tapi, kalau kau nak tahu aku curiga dengan Eden dan Fiqa."

"Aku tak terkejut dengan dua nama tu tapi kenapa?"

"Eden tiba-tiba sahaja mengaku sebagai Detektif. Kalau betullah Yuri bukan Detektif, kenapa Harisya bersungguh-sungguh sangat pertahankan Yuri? Tak logik kalau mereka berdua Mafia sebab Mafia tak tahu identiti rakan mereka."

"Boleh jadi betul apa yang kau cakap. Macam mana dengan Fiqa pula?"

"Fiqa nampak macam terdesak. Terlalu awal menekan dan membazirkan butang kecemasan. Tergesa-gesa membuat keputusan dan menuduh Yuri. Dia nampak terdesak untuk memberitahu semua pemain yang dia bukan Mafia. Tapi dia tak sedar yang tindakan dia menampakkan yang dia ialah Mafia."

"Oh ... kau anggap Fiqa dan Eden ialah Mafia?"

"Aku tak cakap macam tu. Aku hanya curiga. Macam mana dengan kau? Siapa yang kau anggap sebagai Mafia?"

"Kalau kau tanya ... aku sendiri tak tahu. Tapi, kalau kau minta satu nama, aku akan sebut ianya kau."

Mikhail terdiam seketika.

"Sejak awal permainan lagi aku rasa curiga dengan kau. Aku tak tahu kenapa. Mungkin hanya firasat aku."

"Orang yang ikut kata hati selalunya akan mati."

"Oh ... jadi kau nak bunuh aku?"

Mikhail berpaling ke arah Xin dengan pandangan yang tajam sebelum membalas, "Berhenti bergurau. Aku dah jumpa kamus bahasa Greek."

Mikhail menghulurkan kamus bahasa Greek yang dijumpainya. Xin pula tersenyum sinis. Dia mengambil buku itu dari tangan Mikhail lalu berjalan ke arah meja. Mikhail hanya mengikutinya dari belakang.

Lalu muka surat kamus itu dibelek. Cuba mencari maksud perkataan 'Antipalos' yang ditulis dalam surat maklumat. Liar mata Xin mencari seraya jari telunjuknya diheret dari atas sehingga bawah muka surat.

MAFIA GAMEWhere stories live. Discover now