Bab 12: The Only Wish (Part 1)

132 32 0
                                    

Fiqa menjauhkan diri daripada yang lain. Sejak kematian Yuri lagi dia tidak bergaul dengan sesiapa, melakukan hal sendiri.  Di saat Lutfi dan Irene berada di Bilik Senaman, Harisya, Xin dan Mikhail berada di Bilik Teater yang bertentangan dengan Bilik Senaman, dia seorang diri berada di Bilik Studio, bersebelahan dengan Bilik Senaman.

Fiqa melangkah masuk ke dalam studio. Bilik yang luas berlantaikan karpet itu tampak kosong. Hanya terlihat beberapa pembesar suara dan komputer riba di sudut bilik. Dinding bilik itu pula bertampalkan cermin. Sudah seperti studio latihan tarian.

Tatkala melangkah seraya menatap pantulan sendiri di cermin, hujung mata Fiqa menangkap sepucuk surat yang tertampal pada cermin. Laju dia menanggalkan surat bersampul hitam itu.

“Ini ... Surat Petunjuk.”

Hujung sampul dikoyak. Sekeping kertas berwarna putih dikeluarkan. Beberapa kata yang tertulis pada kertas itu dibaca perlahan.

“Bilik Mayat di tingkat tiga adalah bilik rahsia?”

Fiqa bingung seketika.

“Bilik Mayat?”

Langkah kakinya membawa diri keluar dari studio. Tanpa mempedulikan sesiapa, dia berjalan ke hujung koridor. Yakin bahawa Bilik Mayat yang dimaksudkan itu berada di hujung koridor, sama seperti di tingkat lima.

Tatkala tiba di hujung koridor, yang dilihatnya hanyalah tangga turun ke tingkat dua. Di sebelah kiri tangga turun itu terbina sebuah bilik yang tertulis di pintunya; Bilik Pakaian. Di sebelah kanannya pula; Bilik Mesyuarat.

Matanya liar mencari Bilik Mayat yang dimaksudkan dalam Surat Petunjuk. Dia yakin, sepanjang koridor yang dilaluinya tadi, tidak ada pula pintu bilik yang ditampal tanda “Bilik Mayat”.

Tidak berfikir panjang, Fiqa membuka pintu Bilik Pakaian. Seperti yang disangka, bilik itu dipenuhi dengan almari serta rak-rak pakaian unisex. Sudah bagai butik pula.

“Sudah tentu petunjuk ni ada makna tersirat. Mustahil ada Bilik Mayat di tingkat ni. Tapi, apa maksud petunjuk ni? Aku tak faham,” monolog Fiqa seraya menatap lama Surat Petunjuk pada tangannya.

“Aku akan fikirkan petunjuk ni kemudian. Aku perlu cari Kad Peranan aku. Kalau orang lain yang jumpa dulu, peranan aku akan jadi sia-sia.”

Baju demi baju yang tergantung dibelek oleh Fiqa. Bahkan, lipatan demi lipatan pakaian dalam rak dikelebek. Dia mahu mencari “Kad Peranan” miliknya.

Namun, apa yang lebih menghairankan; Bukankah Kad Peranan telah diberi kepada semua pemain sebelum permainan dimulakan lagi? Kad Peranan apa pula yang dimaksudkan oleh Fiqa?

Setelah tidak menemui sesuatu yang dicari, Fiqa membuka pintu almari di sudut bilik. Beberapa pakaian yang tergantung diteliti sebelum dialihkan.

Namun, tatkala mengalih pakaian-pakaian itu, matanya terbuntang. Dia terlihat sesuatu di sebalik gantungan pakaian tadi.

“Aku dah faham. Jadi ... inilah yang dimaksudkan dengan “Bilik Mayat” tu?”

***

Lutfi berjalan keluar dari Bilik Senaman dengan senyuman licik. Surat Maklumat yang ditemui, sudah dimasukkan ke dalam poket. Dia perlu mencari “Bilik Rahsia” yang dimaksudkan dalam surat itu. Sungguhpun, dia ada rancangan tersendiri.

“Seseorang perlu mati, seseorang perlu mati. Hm, hm, hm!” nyanyi Lutfi dengan melodi sendiri. Sudah bagaikan kanak-kanak riang yang sedang bernyanyi. Meskipun, kelakuannya kini tidak ubah seperti seorang pembunuh psiko.

Tidak ada yang mendengar nyanyiannya. Nyanyian yang perlahan itu mampu didengari oleh sesiapa mahupun di hujung koridor. Namun, pemain-pemain lain berada di dalam bilik. Irene pula entah hilang ke mana.

Man! Aku tak sabar nak menang! Bercakap pasal menang ... sebelum aku sertai permainan ni pun, aku selalu menang! Hahaha!” monolog Lutfi.

Dia seakan tidak menyesal dengan keputusannya menyertai permainan maut. Fikirannya kembali mengimbas detik-detik sebelum dia menyertai Mafia Game.

***

Ya...
Aku masih ingat dengan jelas. Aku tidak pernah kalah dalam semua perkara. Aku sentiasa menang.

Dalam semua permainan kasino, aku juaranya.
Blackjack? Baccarat? Craps? Roulette? Poker? Big Six Wheel? Semua aku sapu bersih.

Orang cakap, permainan kasino bergantung kepada nasib. Tapi, mereka tak tahu yang semua permainan itu boleh dirancang. Hanya dengan sedikit wang, aku boleh upah orang untuk aduk daun terup mengikut kemahuan dan rancangan aku. Mesin? Aku boleh ubah sistem pengaturnya.

Dunia ini tidak akan bergerak sendiri. Kehidupan ini akan sia-sia tanpa hala tuju dan rancangan. Sudah seperti buah catur yang berada di papan. Pawn, Rook, Knight, Bishop dan Queen ada matlamat yang sama; mengepung King.

Apa yang aku cuba maksudkan, setiap perkara yang aku buat mempunyai matlamat untuk menang. Aku akan merancang apa sahaja demi mencapai kemenangan.

Walaupun dengan membunuh sekalipun.

Aku mempunyai pengikut tersendiri. Bahkan, sebuah rumah agam yang aku beli hasil daripada kasino pula dijadikan sebagai 'istana'. Sesiapa yang mempunyai urusan yang berkaitan dengan wang, akan mencariku.

Boleh saja anggap aku sebagai "Ahlong" tapi aku bukanlah Ahlong yang memberi pinjam wang. Aku mempunyai cara yang tersendiri untuk mendapatkan wang.

Lutfi, ada tetamu nak jumpa dengan kau,” ujar rakan di sebelahku, Roger. Aku yang duduk di dalam pejabat, memberikan isyarat tangan tanda pelawa.

Pintu bilik pejabat dibuka. Melangkah masuk seorang gadis cantik berambut ikal mayang. Tidak pernah pula aku menerima tetamu perempuan sepertinya. Sebelum ini, hanya lelaki dan beberapa orang samseng.

“What we got here? A beautiful girl?” soal Lutfi.

“Aku pun terkejut tadi,” tambah Roger.

Gadis itu duduk di atas kerusi tetamu, menghadap mejaku.

Jadi, boleh kau perkenalkan diri?” pintaku. Kedua-dua tangan disilang ke dada. Wajah gadis tadi ditatap. Raut wajah gadis itu datar. Seperti sedang diselubungi masalah besar.

Panggil saja aku, Azalea dan aku ... hanya ada satu permintaan.”

Gadis itu diam seketika. Dia tidak bertentang mata denganku ketika bercakap.

“Okey ... jadi ... apa permintaan tu?” soalku lagi dengan janggal.

Azalea menghembuskan nafas berat. Wajahnya yang tertunduk kini diangkat. Dia menatap mata aku. Matanya yang bagai hilang cahaya itu membuatkan aku bingung.

“My only wish ... please kill me.”




MAFIA GAMEWhere stories live. Discover now