Bab 11: Kill Or Be Killed

140 37 3
                                    

Setelah satu demi satu kunci dimasukkan, akhirnya kunci sebenar pada mangga yang menutup pintu gril itu terbuka. Terbentang luas tangga turun ke tingkat tiga.

Harisya, Xin, Mikhail, Lutfi, Fiqa dan Irene. Hanya mereka yang tersisa. Kini, halangan seterusnya menanti. Mereka perlu menyingkirkan Mafia yang masih bersembunyi.

Namun, Harisya dan Xin mempunyai rancangan lain. Mereka yakin, hanya mereka sahaja yang mengetahui kewujudan identiti Executioner. Mereka perlu mencari pemain sebenar yang memegang identiti tersebut sebelum Sesi Perbincangan bermula. Hanya tersisa 12 jam sebelum waktu malam menyinggah.

Sudah tentu nama Mikhail bermain dalam minda. Lelaki itu yang paling dicurigai oleh Xin. Biarpun, pada mulanya Harisya tidak menyangka, namun setelah segala bukti diperjelaskan oleh Xin, dia turut curiga dengan identiti sebenar Mikhail.

Sama ada Mikhail meluahkan kata-kata penipuan tentang identiti sebenarnya sebagai Detektif ataupun dia sekadar membuat ‘pertunjukkan sarkas’ kerana Xin yakin, ada pemain yang memegang identiti Jester.

Xin juga turut menjelaskan identiti Jester kepada Harisya pada malam semalam. Kini, identiti Mikhail masih sangsi bagi mereka. Sama ada lelaki itu adalah Executioner ataupun Jester yang sengaja membuatkan dirinya dicurigai agar dia disingkirkan, kerana jika Jester disingkirkan, Jester akan menang.

Hadirnya pelbagai peranan membuatkan otak Harisya dan Xin berkecamuk. Kini, mereka perlu berhati-hati dalam membuat keputusan, kerana musuh Villager bukan sahaja Mafia malah peranan ketiga; Executioner dan Jester.

Meskipun, Harisya masih tidak mengetahui identiti sebenar Xin, dia mempercayai lelaki itu. Kalaupun identiti sebenar Xin ialah Mafia, sekalipun dia tidak terkejut jika Xin ingin bekerjasama dengannya untuk menyingkirkan peranan ketiga.

The enemy of my enemy is my friend.

Kini, mereka menjejakkan kaki ke lantai tingkat tiga. Hanya satu koridor yang terbentang luas sehingga ke tangga turun di hujung kaki lima. Reka bentuknya tidak ubah seperti tingkat lima dan tingkat empat. Apa yang berbeza hanyalah bilik.

Langkah kaki Lutfi terhenti di hadapan pintu masuk Bilik Senaman. “Kat sini pun ada gym? Seriuslah?”

Hanya Irene yang mendengar kata-kata Lutfi sementara Harisya, Xin, Mikhail dan Fiqa terus melangkah, meneliti bilik-bilik yang lain.

Lutfi membuka pintu Bilik Senaman tanpa memperdulikan yang lain. Matanya terpukau dengan pelbagai jenis alat senaman. Dia mengukir senyuman puas. Lantas dia melangkah masuk ke dalam bilik itu. Sebuah dumbel seberat 10 kilogram diangkat.

“Kau memang minat gym ke sebelum ni?” soal Irene. Dia menyandarkan tubuh pada daun pintu, menyilangkan tangan ke dada.

“Nak cakap aku selalu ke gym pun tak. Dah lama aku tak nampak semua benda-benda,” balas Lutfi tanpa berpaling.

“Kau tak nampak takut. Kenapa? Kenapa kau tenang je lepas apa yang jadi? Yuri, Ivan dan Eden dah mati. Boleh jadi kau lepas ni.”

“Buat apa aku takut? Kita sendiri yang dah pilih jalan ni. Tak ubah macam gali kubur sendiri. Aku tak kisah sangat. Kalau menang, aku hidup. Kalau kalah, aku mati.”

“Kau dah pasrah?”

“Hahah! Entahlah. Aku tak nak bazirkan tenaga aku nak cari semua surat-surat maklumat dan petunjuk. Kau boleh gelar aku ... free rider. Aku hanya ikut arus semasa,” jawab Lutfi seraya meletakkan dumbel. Dia berjalan ke arah basikal udara.

“Jadi, kau ni apa? Mafia, Villager atau ... peranan ketiga?”

“Peranan ketiga?”

“Executioner dan Jester.”

Lutfi duduk di atas pelana basikal udara. Kedua-dua belah kaki memijak pedal sebelum dia mula menggatih. “Macam mana kau tahu semua maklumat ni?”

“Macam mana aku tahu, tu tak penting. Aku cuma tertanya-tanya, apa peranan kau sampai kau boleh tenang macam ni. Aku tak rasa kau pasrah. Kau pun nak hidup kan?”

“Kalau aku beritahu, kau nak buat apa?”

“Aku takkan beritahu sesiapa.”

“Hahah! Lawak! Kalau kau curiga dengan aku, kenapa tak terus undi aku? Pergilah tekan butang kecemasan dan yakinkan semua orang.”

Irene tersenyum sinis. “Kau betul-betul mencabar aku?”

Lutfi berhenti mengayuh. Roman wajahnya berubah serius.

“Kalau kau nak sangat aku mati, kau buat saja apa yang aku suruh. Itupun, kalau kau berani.”

Tajam jelingan dituju ke arah Irene membuatkan gadis itu gugup seketika. Tidak pernah dia melihat Lutfi berkelakuan sebegitu. Selalunya, lelaki itu seorang yang bersahaja.

“Tapi, kalau kau tak berani, kau boleh je buat apa yang kau nak. Cari saja Surat Maklumat. Tapi, jangan lupa beritahu aku, hahaha!”

Roman wajah Lutfi berubah riang. Nada percakapannya juga lain. Sudah seperti menekan suiz lampu. Sekejap tadi, Irene berasa cuak mendengar kata-kata lelaki itu dengan roman wajah yang serius. Tidak pernah gadis itu berasa diancam sebegitu. Tetapi sekarang, lelaki itu tersenyum seraya kembali mengayuh basikal udara.

“Kau tetap dalam pemerhatian aku, Lutfi," ucap Irene sebelum melangkah keluar.

“Buat je apa yang kau nak. Aku tak kisah," balas Lutfi.

Namun, setelah langkah Irene hilang dari pandangan, kayuhannya terhenti. Dia menghembuskan nafas berat sebelum menggetap gigi. Jelas, wajahnya berubah tegas.

Dia berdecit lalu turun dari basikal udara. Tanggannya diseluk ke dalam poket seluar. Telefon pintar dikeluarkan. Lama kiraan turun sebelum jam tujuh malam pada skrin telefon itu ditatap. Masih berbaki kurang dari 12 jam.

“Seseorang perlu mati sebelum pukul 7 malam. Nak harapkan Mafia untuk bunuh orang waktu macam ni, memang tak la. Haish! Siapa yang patut mati? Irene atau ... Mikhail?” monolog Lutfi seraya melangkah ke hujung bilik.

Ketika itu juga, hujung matanya menangkap sepucuk surat berwarna hitam yang terselit di bawah rak dumbel.

“Surat ... Petunjuk kan? Setahu aku, ada perbezaan antara Surat Maklumat dan Surat Petunjuk. Surat Maklumat bersampul putih tapi isinya kertas hitam. Surat Petunjuk pula sebaliknya. Haha! Tak sangka, aku jumpa surat kat sini,” omel Lutfi seraya mengambil surat itu. Sampulnya dikoyak. Sekeping kertas putih dikeluarkan.

Dia membaca setiap kata yang tertulis pada surat itu. Tampang romannya tampak sinis. Bibirnya mengukir senyuman licik. Sebelah keningnya diangkat tatkala membaca petunjuk itu.

“Aku tak tahu pula ada bilik rahsia yang tersimpan Surat Maklumat penting di tingkat ni. Surat ni ... akan beritahu aku di mana kunci bilik tu disorokkan. Haha! Aku kena dapatkan surat tu sebelum orang lain yang jumpa!”






























----------
jangan lupa untuk vote dan komen!
follow Ken on Instagram:
ken.hendrii


kill or be killed: the only wish

MAFIA GAMEWhere stories live. Discover now