Bab 10: One Night Long (Part 1)

149 49 8
                                    

Sudah hampir jam 12 tengah malam. Lena telah menyapa Mikhail, Lutfi, Fiqa dan Irene. Lain pula Xin. Sejak malam melabuhkan tirai, dia tanpa gentar masih mencari petunjuk. Petunjuk terakhir yang ditemuinya di dalam makmal komputer. Kini, dia berada di dalam perpustakaan. Cuba menggeledah setiap buku. Yakin bahawa masih ada petunjuk yang terlepas pandang.

Sudah bertingkat-tingkat buku yang disusun di atas meja. Buku-buku yang telah disemak, tiada petunjuk yang dimahukan.

Xin tidak peduli kalau bertemu dengan Mafia sekalipun. Apa yang dia mahukan hanya sepucuk surat yang mengandungi maklumat dan petunjuk. Namun, sejak dari tadi lagi, surat yang dicarinya tidak ditemui.

Dia sudah menemui surat maklumat di dalam bilik seni dan juga makmal komputer namun surat-surat maklumat itu sekadar memberi maklumat akan permainan maut yang dimainkannya. Bukan itu tujuan cariannya. Bahkan, bukan itu yang dicarinya. Dia mencari surat rahsia. Surat yang hanya dia sahaja yang tahu kewujudannya.

Pencarian itu terhenti apabila gegendang telinganya terdengar bunyi pintu perpustakaan dibuka. Laju pandangannya beralih ke arah pintu. Dilihatnya, Harisya dan Ivan berjalan masuk.

“Xin? Aku ingatkan kau dah tidur,” tegur Harisya.

“Apa yang kau orang berdua buat kat sini? Nak bunuh aku?” balas Xin, sinis.

“Kau ada nampak kami bawa senjata ke?” bidas Ivan pula. Dia bersandar pada meja, menghadap Xin yang masih membelek buku.

“Aku bergurau je. Aku dah tahu, kau orang bukan Mafia dan ... aku dah tahu Ivan ialah Mayor. Betul tak?”

“Oh, macam mana kau tahu?” soal Harisya. Dia tersenyum sinis saat bertanya.

“Aku dah syak antara Fiqa dan Ivan. Kau dan Mikhail pergi jumpa Mayor jadi, yang kau bawa ke sini dah tentulah Mayor.”

“Kau memang licik. Dari awal lagi aku dah boleh agak. Kau dan Mikhail, sama-sama licik. Tapi, sekarang aku datang ke sini bukan nak berbual pasal tu. Kau buat apa kat sini?”

“Tak nampak ke? Aku tengah cari petunjuk. Dari tadi lagi, aku tak jumpa apa-apa. Apa kata, kau orang pun tolong aku. Ada bilik seni dan makmal komputer kat hujung koridor. Kalau nak kerja lagi cepat, kau orang boleh berpecah. Itupun kalau kau orang berani,” cadang Xin. Dia menyelitkan penipuan.

“Aku akan cari dalam makmal,” balas Ivan tanpa bantah.

“Tunggu! Bahaya kalau kita berpecah. Aku takut, Mafia akan bunuh kita kalau kita berpecah,” risau Harisya.

“Kalau tu yang jadi, kita akan tahu siapa Mafia selain Eden. Jangan risau. Aku akan selamat.”

Ivan melangkah keluar. Harisya pula akur. Dia mengikuti langkah Ivan, berjalan di koridor yang sama menuju ke bilik yang berbeza.

“Mudah betul kena tipu. Aku dah kemas semua teka-teki dalam bilik seni dan dah hapuskan semua petunjuk dalam makmal komputer. Dia orang takkan syak apa-apa lagi. Lagi mudah kerja aku kat sini,” monolog Xin.

***

Harisya dan Ivan melangkah masuk ke dalam bilik seni. Semua papan lukisan masih ditabiri dengan kain. Langsung tidak berubah seperti ketika Xin pertama kali menjejakkan kaki ke dalam bilik itu. Lelaki itu bijak menghapus jejak.

“Bilik ni luas. Kau carilah sorang-sorang. Aku akan cari petunjuk kat dalam makmal. Kalau ada apa-apa, beritahu aku.”

Ivan mengatur langkah ke makmal komputer, bertentangan dengan bilik seni. Makmal yang gelap itu mula diterangi cahaya lampu setelah suisnya ditekan.

Lelaki itu terkelu. Tidak menyangka dapat melihat kembali komputer. Kali terakhir dia melihat alat canggih itu ketika masih berada di universiti, tatkala belajar bersama-sama Risa.

Memori akan gadis itu kembali menerobos ruang benak seketika. Namun, dia kembali fokus. Dia tidak mahu ingatan akan gadis itu menjadi igauan yang menghanyutkannya dalam sebuah fatamorgana.

Ivan melangkah mendekati sebuah meja tanpa komputer, jauh di sudut makmal. Meja itu telah menarik perhatiannya. Laci meja itu dibuka. Ia kosong.

Setiap monitor diperhati pula. Akalnya pantas menangkap idea. Satu demi satu kotak komputer diaktifkan. Tindakan yang sama yang pernah dilakukan oleh Xin sebelum ini.

Tetapi, tatkala semua monitor diaktifkan, hanya satu monitor tidak berfungsi. Ivan mula bingung. Semua paparan pada skrin monitor ditunjuk putih tanpa isi. Dia yakin, komputer yang tidak berfungsi itu mengandungi sebuah petunjuk.

Butang aktif pada kotak komputer dinyahaktif sebelum ditekan semua. Namun, monitor tetap tidak bernyala.

Ivan menundukkan badan, duduk memerhati kotak komputer di bawah meja. Dia menjenguk wayar pada kotak komputer. Ditelitinya semua wayar sehinggalah dia sedar, ada satu wayar yang bersambung ke monitor telah terputus.

Tajam wayar itu diperhati.

“Nampak macam dipotong dengan benda tajam. Ada orang gunting wayar ni ke sebelum aku masuk ke sini atau wayar ni dah lama terpotong? Kalau aku tengok betul-betul, nampak baru lagi. Takkanlah ... Xin?”

Pistol didekatkan pada kepala Ivan seraya suara dari belakangnya kedengaran. “Jangan bergerak dan duduk diam-diam atau kau akan mati. Angkat tangan kau cepat.”

Ivan hanya mengikut arahan. Kedua-dua belah tangan diangkat ke udara. Perlahan-lahan dia berdiri. Kulit kepalanya terasa menyentuh mucung pistol yang diacu di belakang kepala. Dia menelan air liur sendiri. Suara itu dikenalinya.

“Eden. Kau kan? Aku dah agak kau Mafia,” ucap Ivan. Ingin sahaja dia menoleh ke belakang namun mucung pistol itu ditenyeh ke kulit kepalanya.

“Aku suruh kau diam. Ya, aku Mafia. Dari awal lagi kau orang dah tahu identiti aku tapi kau korang tetap undi Yuri.”

“Kau dah hasut kami dengan surat-surat yang kau jumpa.”

“Itu semua surat palsu. Ada orang dah letak surat tu dalam bilik aku. Aku hanya ikut arah dia. Tak sangka, aku masih hidup sampai sekarang. Aku rasa, orang yang sama juga yang bagi surat kepada aku tadi. Surat untuk bunuh kau, Mayor.”

“Macam mana kau tahu?”

“Kan aku dah cakap, ada orang yang dah tolong aku. Aku tak tahu siapa. Tapi, aku patut berterima kasih. Dia dah banyak tolong aku. Kalau aku bunuh kau, peluang untuk Mafia menang lagi cerah.”

“Jadi, tekaan aku dan Fiqa sebelum ni betul. Ada pengkhianat. Mikhail atau Xin?”

“Aku tak kisah siapa orangnya. Sekarang, aku hanya perlu tarik picu ni dah kau akan mati dengan senyap. Ada apa-apa lagi nak cakap?”

Ivan diam seketika. Raut wajahnya berubah duka seperti sudah akur dengan ketentuan takdir. Dia menghela nafas panjang seraya mata dipejam seketika. Entah mengapa memori tentang Risa terlintas dalam fikirannya.

“Aku rasa ... aku takkan sempat tengok muka dia lagi. Dia akan lupakan aku selama-lamanya. Selamat tinggal, Risa.”



















-Part 2 in the next chapter-

MAFIA GAMEWhere stories live. Discover now