Bab 4

2.7K 351 64
                                    

Laungan azan menyapa telingaku. Hawk terus memberi signal ke kanan kemudian masuk ke kawasan masjid. Kereta dihentikan di kawasan tengah panas sedangkan banyak lagi tempat kosong yang redup.

Hawk cabut kunci kereta kemudian mengunci aku di dalam kereta itu. Ini satu percubaan membunuh!

Aku tak mengharap Hawk pujuk aku. Aku tahu dia tak akan buat begitu. Tapi sekurang-kurangnya bersifatlah seperti manusia. Tanpa memandang belakang, Hawk terus masuk ke masjid.

Jaket kulit hitam itu aku tanggalkan. Peluh mula mengalir. Solekan yang bersisa lagi di wajah terus cair. Aku kesat dengan tisu basah. Ketiak aku sudah mula berkicap. Aku bukan tidak biasa dilatih untuk beradaptasi dalam keadaan panas begini. Ada beberapa siri latihan serupa telah aku lalui. Setakat 15 minit menunggu Hawk, apalah sangat.

Aku perhatikan, kawasan-kawasan tempat letak kereta yang redup mula dipenuhi jemaah warga emas. Mungkin sebab itu Hawk tidak meletak kenderaan di situ. Dia mahu memberi keselesaan kepada orang lain. Pemuda tidak ramai tetapi ada. Hawk salah seorang daripada mereka.

Melihat seorang demi seorang menapak masuk ke masjid, jiwa aku bagai dirobek. Tua, muda, sihat, sakit, bermotosikal cabuk, berkereta mewah masing-masing menuju ke tempat yang sama.

Sepi.

Kosong.

Tidak berpunya.

Aku tidak pernah memikirkan atau kisah langsung tentang kehidupan beragama. Dalam kad pengenalan, aku beragama Kristian tetapi aku menjalani kehidupan sebagai seorang atheist.

Sakit dalam dada ini terlalu mencengkam pedih. Aku mahu nangis. Aku mahu meletus. Aku mahu  menjerit sepuasnya. Meledakkan rasa yang tersimpan lama. Tetapi setitis air matapun tidak keluar. Aku sudah lupa cara untuk menangis. Aku hanya memandang masjid itu dengan pandangan kosong.

Kelihatan sebuah kereta MPV masuk ke masjid. Satu keluarga keluar. Si ibu membawa dua orang puterinya ke bahagian masjid yang tersorok. Mungkin itu kawasan wanita. Setahu aku, kawasan wanita dan lelaki dipisahkan. Ada ruang privasi untuk wanita. Tiga orang putera keluarga itu mengikut bapa mereka naik ke tangga masjid.

Sekali lagi dada aku rasa bagai terhimpit. Dihenyak rasa pilu.

Mungkin, aku cemburu. Cemburu kepada muslim yang sentiasa mempunyai banyak persinggahan terutama di Malaysia. Bagaikan ada rumah singgah untuk mereka di mana sahaja. Dipanggil menghadap Tuhan lima kali sehari untuk tunduk sujud kepadaNya. Bermakna mereka mempunyai 5 kali waktu dalam sehari untuk berehat daripada kalutnya dunia.

Akrabnya hubungan antara muslim dengan Allah, tiada perlu sebarang pengantara untuk berdoa dan bertaubat.

Hawk sendiri sangat menjaga hubungan dengan Tuhan walaupun perangainya selalu bagai menempah neraka paling dalam. Walaupun Hawk kering kontang jiwanya tetapi dia tidak pernah nampak sunyi. Tidak pernah matanya kelihatan kosong. Tidak pernah pula dia hanyut dalam kabut kehidupan. Hawk sentiasa bertujuan. Hidupnya sentiasa ada sasaran. Dia tahu apa yang dia mahu.

Aku?

Entahlah. Aku hanya melayan arus kehidupan. Bagai berpaut di sebatang kayu hanyut. Begitulah aku hidup selama ini.

Tangga masjid mula dipenuhi jemaah yang sudah selesai menunaikan solat. Aku nampak Hawk turun melenggang kangkung. Sempat pula dia berbual dengan pakcik-pakcik di situ sedang aku sudah berendam peluh sendiri.

Hawk menuju ke kereta. Aku terus menyarung semula jaket kulit miliknya. Tidak rela hendak berkemban depan Hawk. Terbuntang sekejap matanya apabila melihat aku di tempat duduk belakang.

"Weh, sorry. Aku lupa kau wujud. Nasib baik tak mati kalau tak dah menyusahkan aku pula kena gali kubur. Kau nak air ke? Aku beli sekejap dekat mesin gedegang." Melalui air mukanya, aku tahu dia betul-betul serius terlupa wujud aku dalam kereta itu.

UndercoverWhere stories live. Discover now