Bab 12

2.5K 356 49
                                    

Aku tak tipu. Tiba-tiba aku jadi orang paling sibuk di rumah ini. Semuanya bermula dengan satu soalan sahaja.

"Cik Rozy, saya boleh tolong apa?" Aku mahu buat kerja sebelum Hawk pulang supaya dia tidak boleh mengarah aku.

Banyak buruk muka dia nak aku peganh kamera sepanjang masa. Kerja pegang senapang, cuti pegang kamera. Kesian la tangan aku. Nak juga merasa buat kerja lain.

"Senja buat kerja senang je. Tolong letak tisu dekat setiap meja. Tisu tu ada dekat tempat kerepek. Kerepek tu nak kena susun juga tapi tak apa, buat satu-satu dulu. Sarapan sekejap lagi siap. Nak tunggu sarapan dulupun tak apa. Acik nak tengok dapur sekejap. Tinggal tak apa ya?"

"Boleh cik, tak ada hal."

Tisu dalam plastik besar yang berwarna merah jambu aku bawa keluar. Satu demi satu meja sudah bertisu. Kemudian aku patah balik untuk mengambil kerepek yang sudah siap dimasukkan ke dalam balang kecil. Satu meja akan ada dua jenis kerepek berbeza.

Beberapa orang anak sepupu Hawk datang membantu aku. Ringan tulang betul budak-budak ni. Mungkin sebab masing-masing teruja dapat balik kampung. Seronoklah bila ada sesuatu yang mereka boleh tolong.

Tuala good morning aku ambil bersama mangkuk berisi sedikit air. Meja untuk meletak makanan aku lap terlebih dahulu kerana nanti sarapan akan diletak di meja ini. Mereka tidak mengambil pakej katering sebaliknya orang kampung yang datang membantu. Selendang yang aku selempang kiri kanan terlucut. Aku selempangkan semula.

Selesai mengelap meja, aku pergi ke bahagian belakang rumah untuk mencuci tuala yang aku gunakan.

"Ni nak bawa ke depan ke?" Aku bertanya sambil menunjuk ke arah dulang yang berisi bihun goreng.

"Berat tu nak angkat." Seorang makcik di situ menjawab.

"Boleh ni." Aku terus mengangkat dulang itu namun sekali lagi selendang yang aku pakai mencari fasal. Terlepas lagi selempangnya.

Dulang itu terus aku angkat ke hadapan. Kemudian aku tolong mengangkat pinggan pula kerana makanan lain sudah diangkat orang lain.

Eh selendang ni kau jangan sampai aku bakar kau. Asyik lucut sahaja!

"Raven, sini sekejap." Hawk memanggil aku.

"Tak nampak ke orang tengah sibuk ni?" Pinggan aku letak di atas meja. Menggunakan tuala good morning yang kering, aku mula mengelap pinggan yang sedikit basah itu.

"Sarah, Damia tolong lap pinggan. Nanti Cik Fajar bagi pinjam novel." Dipanggilnya dua orang remaja yang sedang duduk tak buat apa.

Mereka terus berdiri. Wah wah, senang betul nak dirasuah.

"Come." Hawk mahu aku mengikutinya.

Kami ke bahagian tepi rumah yang tiada orang lalu lalang di situ.

"Jangan bergerak. Aku nak pinkan selendang kau. Serabut aku tengok sekejap-sekejap jatuh." Hawk mengambil sebiji pin dari poket baju Melayunya.

"Aku boleh buat sendiri la. Bagi pin. Oh, kau perhatikan aku bukan kau nak tolong pun?"

"Shhh, kalau tak mahu kena cucuk baik kau berdiri diam-diam."

Hawk meminta aku mendongak sedikit. Dengan berhati-hati dia memasang pin untuk membentuk muka tudung. Sebelah kanan dipanjangkan sedikit sahaja daripada sebelah kiri. Bahagian sebelah kiri ditarik ke bahu kanan. Bahagian sebelah kanan dililit ke atas kepala lalu dipenitikan dengan dua jarum.

"Ha, kan dah cantik. Kira boleh la ni. Kalau kau rimas, tanggalkan aje. Okaylah, jom sarapan dulu."

Aku buka kamera pandang hadapan. Boleh tahan juga Hawk pakaikan aku tudung. Elok terbentuk.

UndercoverWhere stories live. Discover now