Bab 21

2.7K 415 164
                                    

Laungan azan subuh membuatkan aku terjaga. Entah mengapa, hati ini meronta untuk menyahut seruan itu. Air mata aku gugur tanpa aku sendiri tahu sebabnya. Sudah seminggu aku di sini. Seminggu itu juga, aku langsung tidak berhubung dengan Hawk.

Aku yakin, rasa ini tidak hadir kerana Hawk. Ia memang sudah bersarang lama tetapu aku tepis dan tidakkan mahunya jiwa. Aku biarkan ia terus dahagakan kasih Ilahi.

Satu nombor telefon aku tekan. Harapnya diangkat.

"Selamat pagi, Ustazah Darina. Ustazah ingat saya lagi? Senja Zilvania. Kita sama-sama pergi ke Mogadishu." Aku menyeka air mata.

Leftenan Darina. Dia seorang ustazah yang berkhidmat dalam Kor Agama Tentera atau KAGAT ringkasnya. Sepanjang di Mogadishu dulu, banyak kali aku 'mengganggu' dia untuk bertanya mengenai Islam. Pada setiap kali aku bertanya, Ustazah Darina akan tersenyum dan menerangkan dengan penuh hikmah.

"Selamat pagi, Senja. Kenapa ya telefon?" Pastinya dia terkejut.

"Ustazah, macam mana nak jadi muslim?" Keputusan ini keputusan yang aku buat dengan akal yang waras. Akal yang berfikir dan menyaksikan kebesaran Allah sepanjang aku berjalan atas muka bumi ini.

"Subhanallah Alhamdulillah Lailaha ilallah allahu akbar. Senja ada dekat mana sekarang? Saya datang selepas subuh." Suara Ustazah Darina bercampur antara gembira dan terharu.

"Saya dekat RMC. Wad 11B katil 2." Aku terus memberi lokasi aku.

"Senja warded ke? Kenapa?" Terkejut dia mendengarnya.

"Kemalangan waktu latihan." Memang itu yang tertulis dalam rekod kerana misi yang aku dan Hawk lakukan itu misi sulit.

"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun... Saya bersiap dulu. Nanti kita jumpa, insya-Allah."

Panggilan dimatikan.

Jam 6:20 pagi, Ustazah Darina tiba. Dia dapat naik ke wad kerana dia menggunakan pas kebenaran atas urusan tugas.

"Senja?" Dia menegur aku terlebih dahulu.

"Ustazah..." Tiba-tiba lidah aku jadi kelu dan dada aku terasa begitu sesak. Sebak dengan usahanya yang terus mendapatkan aku saat aku memerlukannya.

Ustazah Darina menarik aku dalam pelukan hangatnya.

"How do I become a Muslim, ustazah?" Aku bertanya sambil mengesat air mata.

"Senja percaya kewujudan Allah?" Dia bertanya.

"Saya percaya." Aku mengangguk.

"Senja percaya Nabi Muhammad SAW itu pesuruh yang diutus Allah?" Ustazah Darina bertanya lagi.

"Saya percaya."

"Alhamdulillah, subhanallah. Senja, you are already a Muslim by heart. Syarat menjadi seorang muslim itu cuma perlu mengucap dua kalimah syahadah. Ini ada tudung untuk senja. Maaflah tudung sarung sahaja. Senja sarungkanlah dulu. Saya nak panggil dua orang lelaki Muslim untuk jadi saksi. Hal-hal borang tu boleh kita selesaikan nanti." Ustazah Darina meletakkan beg kertas di sisi katil aku.

Di dalamnya terkandung anak tudung, tudung sarung, handsock longgar dan stokin. Aku pakai anak tudung kemudian tudung itu aku sarung ke kepala. Tiba-tiba muncul bayangan Hawk menyerahkan selimut untuk menutup kepala aku ketika dia hendak memperdengarkan bacaan Surah Al-Fajr dan ketika dia menutup kepala aku dengan tuala tatkala mahu memperdengarkan Surah Ar-Rahman.

Ini bukan kali pertama aku menutup kepala tetapi kali ini, lain rasanya.

Ustazah Darina datang kembali menjenguk aku. Apabila aku memberitahu bahawa aku sudah bersedia, dia bawakan dua orang lelaki Muslim untuk menjadi saksi.

UndercoverWhere stories live. Discover now