Bab 17

2.5K 345 118
                                    

Untuk operasi malam ini, hanya aku dan Hawk sahaja yang akan membuat penyusupan masuk ke kawasan tempat berhentinya kenderaan yang kami kesan menggunakan cip pengesan untuk melihat persekitaran lokasi sebelum operasi sebenar dijalankan.

"Raven, balik ni kau nak makan apa? Aku macam lapar Char Kuey Teow la. Jom lepak kedai Char Kuey Teow." Hawk memecah sunyi dalam kereta Cikgu Wahid.

"Eh, orang keluar penjara makan tahu kosong je tak makan Char Kuey Teow." Sengaja aku memerli Hawk.

"Cis, menyampah!"

"Aku tujuh kali menyampah la dengan kau."

Cikgu Wahid hanya mampu menggeleng kepala. Memang tidak pernah aman damai bila kami bersama.

Cikgu Wahid menurunkan kami pada jarak 10 kilometer dari lokasi kereta tersebut berhenti. Aku berdiri di belakang Hawk yang memegang kompas untuk mencari arah markas musuh. Bukan aku tak reti baca kompas, dia yang tak pernah mahu untuk duduk di belakang aku. Mencalarkan maruah kejantanan katanya. Bruno dan Eva setia bertenggek di bahu kami. Belum masanya lagi untuk melepaskan mereka.

Wajah Hawk bertukar serius setelah memakai sarung tangan hitam. Begitu juga dengan aku. Masa main, kita main. Masa kerja, kita kerja. Balik kerja kita tidur.

Keadaan malam di hutan agak meriah dengan bunyi unggas. Itu satu petanda baik bahawa hutan lipur ini dalam keadaan aman damai tanpa pemangsa yang sedang memburu mangsanya.

10 Kilometer mara lasak di dalam hutan pada waktu malam sudah menjadi satu rutin dalam latihan ketenteraan. Sepatah perkataanpun tidak keluar daripada mulut aku atau Hawk. Hanya langkah yang cermat diatur. Sesekali Hawk memberi isyarat supaya aku mematikan langkah supaya dia boleh mengamati situasi terlebih dahulu. Aku patuh dengan arahannya. Kami tidak mahu suara kami mengganggu ritma alam. Cukuplah kaki sahaja yang kadang berbunyi sedikit dek terpijak ranting dan dedaun kering.

Kami tiba di sebatang anak sungai. Kelihatan tidak jauh dari situ, kereta yang kami kesan dengan cip pengesan. Di seberang sungai itu ada sebuah binaan seperti pondok yang aku yakin memang berpenghuni kerana ada cahaya.

Hawk berpaling ke arah aku kemudian menghidupkan lampu suluh kecil. Dia bersiul dan membuat tanda bulatan dengan jari telunjuknya sebagai isyarat kepada Bruno dan Eva untuk membuat penerbangan bagi mendapatkan pandangan dari udara di kawasan itu.

Tujuan kami di sini hanya untuk membuat risikan kawasan. Bukan untuk menyerang atau menahan sesiapa.

"Aku nak buat laporan. Kau pergi tinjau keadaan dulu." Hawk memberi kebenaran untuk aku ke hadapan sementara dia cuba berhubung dengan pihak atasan bagi memberi situasi semasa.

Aku terus melangkah dengan berhati-hati menuju ke tebing anak sungai untuk mendapatkan pandangan yang lebih dekat. Beberapa orang anggota sindiket dadah kelihatan keluar masuk. Binocular aku gunakan untuk melihat lebih jelas. Nampaknya tiada sebarang senjata api yang mereka pegang tetapi itu tidak boleh dijadikan satu pegangan kerana mungkin sahaja mereka menyembunyikan senjata api di dalam kawasan itu.

Aku mahu dekat lagi untuk memerhati lebih lanjut.

Clack! Boom!

Satu bunyi yang aku kenal yang datang dari arah kaki aku terus diselangi dengan bunyi letupan kuat. Aku terpelanting disebabkan impaknya lalu terhentak pada pokok. Otak aku masih memproses apa yang sedang berlaku tapi semuanya berlaku terlalu pantas.

"Astaghfirullahalazim, Raven!" Hawk berlari mendapatkan aku.

Aku tak dapat menjawab atau memberi sebarang reaksi dek terlalu terkejut dengan perkara yang terjadi.

UndercoverWhere stories live. Discover now