Bab 21

1.2K 31 1
                                    

"Kahwin..." Amin mengulangi perkataan tersebut sambil tangannya yang masih menolak buaian Mia Sofea.

"Ha'ah. Kahwin. Kitalah..." kata Mia Sofea.

"Saya pun sebenarnya nak tanya soalan yang sama kat awak, Mia. Sebab tu saya ajak awak jumpa hari ni.."

"Maksud kau, kau nak tahu aku ni betul nak kahwin dengan kau ke tak?" tanya Mia Sofea.

"Macam tulah.. Kalau awak tanya saya, saya tak ada masalah..."

"Betul tak ada masalah ni?" Mia Sofea menghentikan hayunan buaian dengan kakinya. Dia kemudian memandang tepat ke arah Amin dan mengulangi soalan yang sama, "Betul tak ada masalah?"

Amin tidak segera menjawab. Sebaliknya dia pergi dan duduk di bangku buaian yang satu lagi bersebelahan dengan Mia Sofea.

"Saya tahu Mia. Kahwin dengan awak ni tak mudah sebab pekerjaan awak, populariti awak. Hidup saya pun lepas ni mesti berubah kalau saya kahwin dengan awak.." jawab Amin dengan tenang sekali.

Mia Sofea masih memandang tepat kepada Amin, tidak berkata apa-apa.

Amin menyambung,

"Tapi saya bersedia untuk itu. Jujurnya mula-mula pun saya teragak-agak jugak. Tapi belakang saya ada mama saya, ada mak awak yang bagi sokongan kat saya. Diorang percaya kat saya sebab tu sekarang saya bersedia untuk ini. Cumanya saya nak kepercayaan daripada seorang lagi..."

"Siapa?" tanya Mia Sofea.

"Awak lah. Sebab ini melibatkan kehidupan awak. Saya sedar kalau awak kahwin dengan lelaki biasa macam saya ni, mungkin kerjaya awak akan terkesan. Mungkin populariti awak merudum nanti. Dah tak sama macam dulu.." kata Amin.

Mia Sofea menundukkan kepalanya. Tidak lagi memandang ke arah Amin. Apa yang diperkatakan oleh Amin itu sama seperti apa yang Yayat beritahu dahulu.

"Sebab itu saya nak tanya kat awak. Awak betul ke ni nak kahwin dengan saya?" Amin bertanyakan Mia Sofea sekali lagi.

"Kalau aku tak nak?"

"Tak apa haha. Saya faham tu. Memang tak ada apa yang pelik kalau awak tolak perkahwinan ini. Memang dunia awak dan saya berbeza.." jawab Amin sambil tersenyum.

Pada ketika ini, Amin memikirkan mengenai Hamidah. Dia menyedari bahawa Hamidah telah mengamanahkan Mia Sofea kepadanya untuk dijaga. Akan tetapi, walau bagaimanapun cinta dan hubungan itu tidak boleh dipaksa. Kalau tak mudarat lebih besar akan berlaku di masa depan.

Amin sudah pun bersedia. Kalau benar Mia Sofea menolak perkahwinan ini, Amin akan bantu Hamidah dengan cara yang lain. Mungkin, akan menolongnya mencari calon suami yang lebih baik dan sesuai untuk Mia Sofea.

"Kalaulah aku ni pun orang biasa, mesti tak ada masalah kan? Contohnya sekarang aku kerja pejabat ke, jadi agen jual produk ke, menganggur ke..mesti tak payah pikir pasal semua ni..." kata Mia Sofea.

"Jangan cakap macam tu. Dah rezeki awak jadi pelakon. Awak buat kerja apa pun kalau dah rezeki awak jadi pelakon, jadi pelakon jugak. Bila Tuhan dah bagi rezeki macam tu maksudnya itulah rezeki yang terbaik untuk awak.." Amin menegur Mia Sofea.

Mia Sofea tersenyum.

Selama ini, Mia Sofea sering dilayan sebagai seorang selebriti. Penuh dengan penghormatan dan kemuliaan. Ada kalanya membuatkan Mia Sofea berasa sangat tidak selesa apabila sering dilayan sedemikian.

Namun hari ini, buat pertama kalinya Mia Sofea telah dilayani seperti orang biasa. Seperti gadis yang biasa. Dia berasa sangat gembira dengan situasi ini.

Bagi Mia Sofea, lelaki seperti Amin yang tidak memandangnya sebagai selebriti popular sememangnya satu dalam sejuta.

Punca Amin tidak begitu memandang Mia Sofea sebagai seorang selebriti popular adalah kerana kehidupannya yang tidak begitu terdedah dengan dunia hiburan tanah air. Dia lebih gemar berhibur dengan membaca komik dari Jepun atau Korea sahaja. Kalau menonton drama, Amin lebih gemar menonton drama barat yang berkisar tentang penyiasatan yang mana sebuah genre yang jarang dibuat oleh produksi drama tempatan.

Selain itu juga, Amin tidak mempunyai sebarang media sosial sama ada facebook, twitter atau instagram. Kerana itu dia jauh dari pengaruh populariti artis dan selebriti seperti Mia Sofea ini.

Mia Sofea bertanya lagi, meminta kepastian,

"Tapi, betul kau ke tak ada masalah ni? Kalau kau kahwin dengan aku, dah lain hidup kau nanti. Nanti kau pergi mana-mana pun semua orang akan cam. Dah hilang privasi. Dah tak bebas macam dulu..."

Amin tersenyum.

"Mia, saya dah cakap. Saya bersedia untuk itu. Ya, mula-mula tu mestilah susah sikit tapi nanti lama-lama OK lah. Kalau dah namanya kahwin, memang hidup kita akan berubah walau macammana pun, kan?"

Mia Sofea menoleh dan memandang ke arah Amin. Mata mereka saling bertentangan. Secara perlahan, senyuman mula terukir di wajah Mia Sofea. Dia kemudian memandang ke arah hadapan dan mula menghayun-hayun buaiannya dalam keadaan senyuman yang masih melekat di wajahnya.

"Haha. Awak senyum-senyum ni kenapa?" tanya Amin.

"Takde ah. Ini senyuman sebab rasa bersalah."

"Rasa bersalah? Kenapa pulak?"

"Kau sanggup korbankan kehidupan normal kau kalau kau kahwin dengan aku. Sebaliknya aku sendiri, masih sayangkan kerja aku. Sepatutnya kalau kau sanggup berkorban, aku pun kena berkorban sama lah..." kata Mia Sofea.

Mia Sofea kemudian mengayun buaiannya dengan kuat. Semakin kuat, dan kuat. Dia betul-betul menikmati ayunan buaian tersebut.

"Yeayy!" Mia Sofea menjerit keterujaan.

"Hati-hati Mia!" Amin sedikit bimbang melihat aksi Mia Sofea tersebut.

Sebaik sahaja buaian bergerak sehingga penghujung, Mia Sofea terus melompat dari bangku buaian tersebut dan mendarat di atas tanah umpama seorang ahli gimnastik.

Terkejut Amin dibuatnya. Nasib baik tiada apa-apa berlaku pada Mia Sofea.

"Awak ni..terkejut saya.." Amin turut bangun dari bangku buaiannya.

Mia Sofea kemudian berpaling badannya sambil mengadap Amin. Dia tersenyum dan berkata sesuatu,

"Baik. Aku dah.. sedia!"

"Sedia? Awak dah nak balik ke?"

"Aish. Bukan tu! Aku dah sedia, nak kahwin dengan kau lah!"

"Eh?"

"Yelah. Kalau kau sanggup korbankan kehidupan normal kau lepas ni, tak ada salahnya kalau aku pun berkorban jugak kan? Ya, mungkin populariti aku jatuh, dah tak sama macam sekarang ni lepas kita kahwin nanti. Tapi tak apa...jadi pelakon extra pun aku tak kisah. Yang penting aku dapat teruskan kerja aku sebagai seorang pelakon," kata Mia Sofea sambil tersenyum, dengan senyuman yang penuh dengan kepuasan.

Amin terpaku seketika mendengar kata-kata Mia Sofea.

Namun sedetik kemudian, giliran Amin pula yang tersenyum.

Isteri Paling Popular!Where stories live. Discover now