Bab 37

872 20 0
                                    

Dato' Azman termenung seorang diri di beranda biliknya. Dia memerhatikan halaman rumahnya yang cantik dan luas seakan halaman di istana kayangan itu.

Mengeluh.

Dato' Azman mengeluh.

Sudah beberapa hari dia tidak memegang telefon. Dia tahu, ramai yang sedang mencarinya demi mendapatkan kepastian dan komen mengenai isu perkahwinannya dengan Mia Sofea. Namun atas arahan bapanya, dia diminta untuk tidak melayani sebarang pertanyaan mengenai hal tersebut. Menurut bapanya, dia akan menguruskan segala-galanya, termasuklah hal ehwal syarikat kosmetik D' Bayu miliknya. Dato' Azman hanya diminta untuk berdiam diri di rumah sahaja tanpa perlu berbuat apa-apa.

Dato' Azman hanya menuruti. Dia tidak berani melawan perintah ayahnya, Tan Sri Annuar Hussin yang merupakan salah seorang pemimpin parti politik kerajaan sekarang. Ini kerana kedudukannya sekarang adalah atas ihsan ayahnya juga. Jika ayahnya mahu, bila-bila masa dia boleh tarik keistimewaan dan kekayaan yang dimiliki oleh Dato' Azman sekarang.

Sejujurnya, Dato' Azman sendiri tidak faham apa yang berlaku.

Pada suatu hari, ayahnya datang menemuinya dan memberitahu bahawa dia akan menjodohkannya dengan Mia Sofea. Terkejutnya Dato' Azman bukan kepalang. Mia Sofea, artis paling fenomena dalam sejarah Malaysia bakal menjadi isterinya? Ayahnya tidak bercerita lanjut, hanya meminta dirinya untuk duduk di rumah sahaja buat sementara waktu.

Dato' Azman sedikit hairan. Bukankah ayahnya sekarang sedang sibuk dengan persiapan Pilihan raya Negeri Kedah? Macammana dalam masa sama dia tiba-tiba ada masa nak menguruskan hal perkahwinan anaknya dengan artis popular Mia Sofea pulak?

Setelah lama berfikir, Dato' Azman mendapat jawapan. Dia bukan bodoh. Dia sendiri datang dari keluarga berlatarkan bidang politik yang licik. Dato' Azman tahu bahawa ayahnya sedang mencatur suatu strategi politik yang ada kaitannya dengan Mia Sofea. Dia juga tahu bukan ayahnya sahaja, mesti ada ahli politik lain yang terlibat dalam perkara ini.

Jika dilihat pada isu semasa yang berlaku sekarang iaitu Pilihanraya Negeri Kedah, ada kemungkinannya bahawa Mia Sofea akan digunakan untuk menaikkan populariti parti ayahnya, dengan dirinya juga menjadi salah satu daripada buah catur tersebut.

Dato' Azman tak peduli hal ini. Kerana ada baiknya juga. Dia dapat dijodohkan dengan Mia Sofea. Bukankah itu adalah situasi yang terbaik untuk dirinya?

"Hahahahhaha!"

Dato' Azman ketawa seorang diri dengan begitu kuat sehingga mengejutkan tukang kebun yang sedang sibuk memotong daun di halaman.

Pergi mampus sama politik. Pergi mampus sama bapanya. Pergi mampus semuanya. Dia tidak pedulikan dan tak akan ambil tahu pasal hal itu. Yang penting bagi dirinya, dia dapat berkahwin dengan Mia Sofea!

*****

"Tak mungkin, tak mungkin Mia Sofea nak kahwin dengan anak Tan Sri Annuar Hussin tu!" Liyana Amin menggelengkan kepalanya dengan penuh yakin.

Liyana Amin memberitahu perkara tersebut kepada Dato' Seri Hamdan Kassim ketika mereka bertemu di sebuah restoran mewah di tingkat paling atas di menara Kuala Lumpur. Pertemuan mereka ini hanyalah sekadar untuk memberi perkembangan terkini tentang apa yang berlaku.

"Iya ke? Mana kamu tahu?" tanya Dato' Seri Hamdan Kassim sambil mulutnya mengunyah cebisan lobster yang dipotongnya tadi.

"Saya kenal si Mia tu. Dia tu workaholic. Gila nak berkerja. Dia langsung tak peduli dengan benda-benda macam ni punya..." jelas Liyana Amin.

"Eh, kalau macam tu macammana kita nak tumpang populariti dia untuk pilihanraya nanti? Kamu jangan main-main! Kita dah sampai tahap macam ni kalau gagal saya yang kena nanti!" Dato' Seri Hamdan Kassim sedikit membentak.

"Dato' janganlah risau. Tak semestinya diorang perlu berkahwin untuk kita tumpang populariti Mia Sofea..." balas Liyana Amin dengan selamba.

"Jelaskanlah sekarang!"

"Kalau betul Mia Sofea sanggup berkahwin dengan Dato' Azman, itu memang terbaik. Bagus untuk populariti ayah dia, Tan Sri Annuar Hussin sebagai calon Menteri Besar Kedah daripada parti kerajaan nanti. Ini membuktikan Mia Sofea percayakan keluarga Tan Sri Annuar Hussin. Peminatnya pun akan ikut sekali. Sekaligus membantu parti kerajaan menang pilihanraya Negeri Kedah..." Liyana Amin mula memberi penjelasan.

"Jadi kalau Mia Sofea tolak, apa yang bagusnya?" kelihatan Dato' Seri Hamdan Kassim masih lagi keliru.

"Haa...kalau Mia Sofea tolak, kita boleh membuat satu propaganda yang mana perkahwinan Mia Sofea dan Dato' Azman telah dibatalkan kerana dihalang oleh parti pembangkang! Kononnya mereka takutkan populariti Mia Sofea yang boleh beri kesan pada pilihanraya Kedah ni. Lepas tu kita sulamlah cerita cinta sedih antara Mia Sofea dengan Dato' Azman, yang mana cinta mereka terhalang oleh parti pembangkang yang gilakan politik sampai mengganggu kehidupan Mia Sofea..." jelas Liyana Amin dengan penuh keyakinan.

"Lepas tu...semestinya peminat Mia Sofea marah, populariti parti pembangkang pun turut jatuh! Mereka pun boleh kalah pilihanraya! Betul tak?" kata Dato' Seri Hamdan Kassim dengan penuh teruja sekali.

"Itulah perancangannya Dato'! Selepas semua ni dah selesai Dato' rasa siapa yang dapat untung sebagai arkitek perancang?" tanya Liyana Amin.

"Sayalah!"

"Iyaaa! Lepas tu jalan untuk Dato' menjadi Timbalan Perdana Menteri turut terbuka luas. Dah tak ada siapa yang boleh halang Dato' lepas tu. Lepas Dato' dah jadi Timbalan Perdana Menteri, sikit masa lagi Dato' boleh jadi...?"

"Jadi Perdana Menteri?"

Liyana Amin mengangguk kepalanya sambil tersenyum. Manakala Dato' Seri Hamdan Kassim pula senyum terbuai hingga mencapai langit lebih tinggi dari menara KL yang diduduki mereka sekarang.

Namun seketika kemudian, senyuman Dato' Seri Hamdan Kassim mula kendur. Dia memandang wajah Liyana Amin dengan serius.

"Liyana, apa yang kamu dapat dari semua ni? Apa faedahnya untuk diri kamu? Tak mungkin kamu rancang semua ni semata-mata nak bantu saya je kan?" tanya Dato' Seri Hamdan Kassim.

"Saya tak ada sebab lain Dato'..." Liyana Amin yang tadinya sentiasa tersenyum turut menunjukkan riak wajah yang serius. "Saya cuma nak satu je. Saya nak jatuhkan Mia Sofea! Saya nak rampas balik kedudukan saya! Sekarang ni dia dah checkmate! Tak kira apa yang berlaku kalau dia dah terlibat dengan perkara politik, semestinya populariti dia sebagai artis yang bersih akan tercemar nanti!" sambung Liyana Amin lagi dengan penuh emosi.

"Tapi, kamu boleh jamin perancangan kita ni berhasil?" tanya Dato' Seri Hamdan Kassim.

"Dengan kuasa di bawah kementerian Dato', sekarang ni kita yang menguasai media. Sudah beratus ribu kita dah habiskan semata-mata nak sebarkan berita tentang perkahwinan Mia Sofea dengan Dato' Azman ini kat TV dan media sosial. Artis pun kita ada bayar untuk sebarkan berita ini sesama mereka. Agensi Mia Sofea pun kita dah ambil alih supaya mereka tak menganggu perancangan kita. Pengurus lama Mia Sofea pun kita dah buang supaya dia tak buat kacau. Segalanya dah dalam tangan kita Dato'!" Liyana Amin menggenggam tangannya dengan erat, memberi jaminan yang kelihatannya tidak akan goyah.

"Tapi sebenarnya saya pelik lah? Kat mana Mia Sofea sekarang? Diam je dia tak ada kata apa-apa?"

"Eh? Dato' dah lupa? Kan kita dah hantar dia dengan ibu dia sekali ke Turki? Kononnya ada penggambaran drama kat sana?"

"Kamu pasti dia masih tak tahu apa-apa pasal isu kahwin dia tu?"

"Pasti Dato'! Saya dengan orang-orang Dato' kat sana dah pastikan Mia Sofea dan ibunya tak pegang telefon sepanjang kat sana. Mereka memang dah isolate sepenuhnya. Bilamana diorang dah balik sini semuanya dah terlambat. Berita sudah tersebar dan tak terkawal. Mia Sofea pun tak mampu nak buat apa-apa!"

"Bagus...bagus! Hahaha! Bagus tuan penasihat! 20 percent! Kamu ni Liyana memang licik! Otak politik! Kalau kamu masuk politik agaknya boleh jadi Perdana Menteri wanita terus!" Dato' Seri Hamdan Kassim memuji Liyana Amin sambil bertepuk tangan.

Liyana Amin tersenyum. Dia sebegitu yakin bahawa perancangan miliknya ini tak mungkin gagal.

Kecuali, jika ada faktor luaran yang tidak diketahui yang boleh mengganggu...

Isteri Paling Popular!Where stories live. Discover now