𝟐𝟒 | 𝐓𝐡𝐞 𝐀𝐛𝐧𝐨𝐫𝐦𝐚𝐥 𝐎𝐜𝐜𝐮𝐫𝐫𝐞𝐧𝐜𝐞𝐬

138 17 27
                                    

⊰𖤍⊱┈─────╌╌═══╌╌─────┈⊰𖤍⊱

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

⊰𖤍⊱┈─────╌╌═══╌╌─────┈⊰𖤍⊱

𝗗𝗜 hadapan pintu gerbang Kediaman Grandeurre, kelihatan seluruh penduduk Kota Hadesville sedang berkumpul. Ada yang beriak sinis, ada yang bergosip, dan ada juga yang menayang raut simpati. Umumnya, pelbagai reaksi diterima oleh Freda yang ketika ini berdiri pada suatu tempat berupa pentas, tepat di hadapan pintu kediaman itu.

Kedua-dua tangan dan kakinya digari yang mana rantai garinya pula disambungkan pada empat buah tiang di atas pentas tersebut. Jika dilihat, posisinya lebih kurang sahaja seperti orang-orang yang diletakkan di kawasan sawah padi bagi menghalau burung itu. Bezanya, dia bukanlah orang-orang yang bertugas menghalau burung sebaliknya seorang hamba yang sedang menghitung waktu sebelum dijatuhi hukuman gilotin.

'Kakak Thea, tolong jangan datang ke sini. Freda tak nak kakak ditangkap semula,' ucapnya di dalam hati.

Sejujurnya, Freda berasa menyesal kerana telah menggunakan Display Telepathy untuk berkomunikasi dengan Althea sebentar tadi. Dia tidak sempat mengungkapkan hasratnya agar gadis itu tidak pergi menyelamatkannya disebabkan dia jatuh pengsan lebih awal sebelum hasrat tersebut dapat dia sampaikan. Dan kini, hatinya bimbang kalau-kalau Althea kembali ke Kediaman Grandeurre ini demi dia. Tidak! Althea mesti selamat. Dia tidak akan dapat menerimanya andai gadis itu terluka akibat dirinya.

Freda mendongak ke atas, ingin mencari ketenangan dengan menikmati panorama langit yang cerah. Walau bagaimanapun, dia terus tergamam apabila menyaksikan fenomena tidak normal yang tengah berlaku pada dada langit. Tidak mungkin! Bagaimana fenomena ini boleh berlaku sekarang?

Langit bertukar kelam dalam satu kerdipan mata, membuatkan keadaan menjadi sedikit huru-hara. Mana tidaknya, ini merupakan kali pertama mereka semua yang ada di situ menyaksikan fenomena Hades Moon berlaku pada waktu pagi!

Hari ini, sejarah telah ternukil. Bukan sahaja kerana fenomena Hades Moon terjadi pada pagi hari, tetapi juga disebabkan oleh kenyataan yang fenomena ini berlaku dua hari lebih awal daripada tarikh Hades Moon Day yang sah.

Freda yang merasakan ada sesuatu yang ganjil soal fenomena tersebut mula tidak sedap hati. Dia mengetap gigi. Mungkinkah ada orang yang sudah mengusik ketetapan fasa bulan?

Mendengar satu bunyi loceng, perhatian Freda teralih daripada memikirkan fenomena itu. Dia mula tercari-cari dari mana datangnya bunyi tersebut. Cuma buat seketika sebelum dia mendapati ada sesuatu yang sedang menggesel-gesel kakinya. "Linnie..."

"Shhh... Keep your voice low," ujar Linnie lalu bertindak menggunakan kuku tajamnya untuk memutuskan rantai gari yang menahan Freda.

Idvana datang tidak berapa lama selepas itu bagi memapah Freda yang begitu lemah keadaannya. "Nanti saya cerita," katanya, memahami alasan di sebalik kerutan pada wajah Freda. Dia yakin, pasti gadis itu bingung dengan kehadirannya di sini.

𝐓𝐡𝐞 𝐅𝐨𝐫𝐠𝐨𝐭𝐭𝐞𝐧 𝐆𝐮𝐚𝐫𝐝𝐢𝐚𝐧 ⦅ 𝗜𝗨 ⦆Where stories live. Discover now