Part 10

1.9K 20 0
                                    


Malam itu....

Selesai mendapat bahagian masing-masing, dua anak kembarnya itu dipaksa tidur. Selepas ini sudah tentulah 'bahagian' sang suami pula yang bakal menyusul. Setelah Aril ditidurkan, Lyn segera mendekati suaminya yang sudah bersiap sedia di katil. Dia tersenyum memandang Johan berseksi di atas katil dengan hanya memakai seluar pendek seolah-olah menunggu haknya diberikan oleh sang isteri.

"Patrick, Mr Jocker dengan semua Pak Arab kat sana mahu Lyn terus renew kontrak dengan Emirates, bang." Lyn memulakan kata sambil dia mendekati Johan di katil. Tubuh lelaki itu yang sedang terlentang diusap mesra.

"Baguslah." Itulah jawapan spontan Johan sambil matanya memandang ke atas.

Namun jawapan itu tidak menaikkan semangat Lyn langsung. Tadi dia menjangkakan bukan itu jawapan yang akan diberikan oleh Johan. Lama dia memandang paras suaminya itu untuk meneliti reaksi sebenar lelaki itu. Namun Johan hanya tegak sahaja memandang siling di atas. Malahan sentuhannya juga tidak mendapat sebarang reaksi.

"Lyn ingat abang tak suka...." duga Lyn perlahan. Berbisik manja di telinga suaminya itu. Perlahan jarinya menguis-nguis dada lelaki itu mahu menggoda.

Johan mengeluh melepaskan perasaannya.

"Gelilah," desisnya sambil tangan isterinya itu dialihkan. Seolah-olah tidak suka dengan sentuhan itu, sedangkan selalunya matanya terpejam seronok dengan godaan sang isteri. Tetapi kali ini tubuhnya mengeras bagaikan enggan dimesrai.

"Selalunya tak geli pun? Hari ni geli pulak ke?" desis sang wanita mula terbaukan sikap aneh suaminya itu.

Lyn mencuba lagi. Masakan 3 minggu tidak bertemu Johan mampu menolak dirinya?

"Apa keputusan yang Lyn dah buat untuk semua Pak Arab tu? Nak renew kontrak jugak dengan Emirates? Kalau Lyn nak terus kerja dengan Emirates, abang tak kisah," kata Johan enggan melayan rungutan Lyn sebentar tadi. Matanya terus memandang siling.

Lyn memandang suaminya itu agak lama. Banyak yang memelikkan dirinya semenjak kebelakangan ini.

"Hari tu abang memetir-metir marah bila Lyn nak kerja terus dengan Emirates. Abang kompelin Lyn tidak banyak masa di rumah. Lyn selalu kena travel tinggalkan abang dengan anak-anak. Kali ni lain pulak. Mimpi apa semalam? Rasanya Lyn takde buat solat istikharah tentang itu. Abang ada buat ke?" terselit sedikit gurauan dalam dia meluahkan kata-kata.

Johan tersenyum. Lyn perasan, senyuman itulah senyuman pertama semenjak dia tiba di sisi suaminya di katil ini. Perasaan tidak enak tadi segera meligas pergi. Perlahan dia tunduk mengucup leher lelaki itu. Soal kerjanya tidak ingin dibincangkan sekarang. Kerinduannya kepada Johan diluahkan melalui sentuhannya.

Usahkan membalasnya, lelaki itu hanya tegak sahaja dengan mata buntang memandang siling. Tubuh lelaki itu keras bagaikan menahan sesuatu.

"Kenapa ni? Abang macam tak suka aja?" soal Lyn hairan. Mula kecil hati dengan reaksi acuh tidak acuh suaminya itu. "Kita dah lama tak jumpa. Abang pulak macam tak minat aja," tambahnya lagi. Malu sendiri dia apabila Johan seolah-olah tidak tertarik kepadanya. Hanya dia sahaja yang terhegeh-hegeh.

"Abang penatlah. Esoklah ya?" pujuk sang lelaki lembut.

Lyn terdiam. Matanya meneliti sikap sang lelaki yang 360 darjah berubah. Selalunya dialah yang tak menyempat.

"Kenapa dengan dia? Baru 3 minggu aku tinggalkan dia, dia dah berubah?' desis hati kecil Lyn.

Sebagai orang yang paling hampir dengan lelaki itu, segala sikap Johan umpama makanan kepadanya. Kemesraan Johan sudah mengurang. Selalunya dialah yang melebihi anak-anak mahu dimanjakan apabila Lyn pulang dari jauh. Dialah yang paling cepat menyuruh anak-anak tidur agar dapat meluangkan masa bersama.

"Banyak kerja ke di office tadi?" Lyn bertanya pula. Cuba juga memujuk hatinya kerana dia tahu Johan memang seorang yang kuat bekerja. Mungkin kedinginan Johan berpunca daripada itu.

"Hmm.... kerja. Bila masanya yang tak banyak, sayang..." ucap Johan sambil menggeliat perlahan. Kemudian dia mengambil bantal guling di tepi katil itu lalu dibawa ke dalam pelukannya. Tubuhnya dipalingkan membelakangi si isteri.

Lyn semakin terpaku memandang reaksi suaminya itu. Dirinya terasa dibiarkan terkulat-kulat sendirian. Semakin itu dia merasa aneh. Selalunya Johan tidak tidur dengan memeluk bantal itu. Malah sebelum ini dia sering dimarahi lelaki itu kerana membiarkan bantal itu berada di antara mereka. Bantal itu seolah-olah membataskan mereka berdua. Hari ini bantal itu yang dipeluk Johan seolah-olah bantal itulah isterinya.

"Abang ada masalah ke?" soal Lyn tidak tahan dengan kelakuan lelaki itu. Belakang lelaki itu dipandang lama.

Johan menoleh seketika. Kemudian dia menggeleng sahaja.

"Habis tu kenapa abang macam ni?" tanya Lyn lagi. "Abang masih marahkan Lyn sebab Lyn ke Dubai ke? sambung Lyn dengan pertanyaan itu. Teringat dia sebelum ini mereka ada bertengkar apabila dia mengatakan yang dia akan ke Dubai lagi buat kesekian kalinya. Tetapi rasanya selepas itu hubungan mereka pulih semula setelah dia memujuk suaminya itu. Masakan masih ada yang terbuku dalam hati lelaki itu?

"Takde apa, sayang. Abang tak marahkan Lyn. Abang cuma penat aja. Tidurlah." Sedikit lembut Johan memujuk akhirnya. Cuba juga untuk tersenyum mesra biarpun dia sendiri merasakan dirinya amat canggung. Lakonannya bagaikan tidak menjadi. Perasaannya tidak aman saat ini. Inilah yang dikatakan berdosa. Dia sendiri yang tertekan dihambat perasaan.

Akhirnya dek kerana malas mahu memikirkan lagi, Lyn membaringkan juga tubuhnya ke tilam itu. Tetapi tidak mampu rasanya untuk dia menghalau pergi rasa terkilannya dengan kelakuan aneh Johan yang kian mencucuk-cucuk sekeping hati yang terlalu menyayangi lelaki itu.

Demi cinta..... cuba juga dia menelan alasan suaminya yang sedang keletihan. Walaupun dia mula terasa ditinggalkan sendiri bersama sebuah ketakutan yang tidak pernah dirasainya selama ini.

Curangla Lagi Where stories live. Discover now