Part 70

1.6K 28 0
                                    

"Alah kenapa Dani dengan Dina tak boleh ikut mummy dengan daddy pergi jalan?" rungut sang anak setelah mengetahui ibu dan bapanya akan berjalan jauh sampai ke Itali.

"Mummy dengan daddy bawa lain kali ya? Kalau semua pergi, siapa nak jaga kucing kita?" pujuk Johan.

Lyn hanya mendengar sambil mengemas pakaian.

"Lain kali tu bila?"

"Nantilah... tunggu cuti sekolah hujung tahun ya? Daddy bawa pergi Port Dickson."

"No! No! No! Tak mahu Port Dickson. Dina nak pergi Milan jugak! Takkanlah daddy bawa mummy pergi Milan tapi Dani dengan Dina pergi Port Dickson aja. Tak adil! Port Dickson tu kan dekat. Mummy dapat naik kapal terbang, kita naik kereta aja. Jadi, Dina nak pergi jugak!" tegas Dina bersungguh-sungguh.

Lyn ketawa serta-merta. Menggaru kepala Johan dibuatnya. Anak-anaknya kalau pasal berjalan memang tidak mahu ketinggalan. Selera pun boleh tahan.

"Ada ke daddy janji nak bawa pergi PD? Kasi uplah sikit kut ya pun. Paling kurang Singapore ke.... Korea ke? Ingat budak berdua tu naif sangat ke sampai nak dirasuah dengan janji ke PD?" Lyn menjawab sambil ketawa.

Johan tergelak juga akhirnya.

"Okeylah. Hujung tahun ni daddy bawa ke Korea nak? Time winter," ujar Johan.

"Janji?"

"Insya-Allah, panjang umur daddy ni, daddy akan bawa jugak," balas Johan sambil mengusap rambut anaknya.

"Okey. Tapi tahun depan daddy kena bawa Dani dengan Dina ke Milan jugak tau. Tapi nanti... mummy pulak kena tinggal. Jaga kucing kat rumah."

"Amboi, sedapnya bercakap! Mummy tarik balik cadangan pergi Korea tadi. Pergi PD aja sudah!" bebel Lyn.

Johan ketawa lembut. Dina segera memeluk bapanya, tanda janji yang sudah terpateri tadi tidak boleh lagi dimungkiri.

"Jadi, kali ni biar daddy bawa mummy dulu. Next time giliran Dani, Dina dengan adik. Boleh ya?"

"Okey. Tapi kalau daddy tak tunaikan janji, Dina tak nak cakap dengan daddy sampai bila-bila."

"Takutnya daddy. Tak berani daddy nak mungkin janji." Johan ketawa spontan.

Lyn tersenyum senang. Senang pula anak-anak itu dipujuk suaminya.

Curangla Lagi Where stories live. Discover now