Part 13

1.4K 17 1
                                    


Kekasihku..... tak mungkinku tahu, apa tersirat dalam hati kecilmu....

Lyn ralit memandang Johan yang baru masuk ke dalam bilik itu. Perasaan kasihnya kian menggebu sebaik sahaja Johan mendekatinya. Dia mengharapkan sesuatu yang indah berlaku kepada mereka setelah beberapa hari ini dia dihadiahkan dengan kedinginan lelaki itu. Dia terlalu merindui suaminya yang dahulu.

"Hai, sayang." Johan menyapa agak hambar. Dahi sang isteri dikucupnya lembut.

"Hai..." Lyn membalas dalam mata yang terpejam rapat. Terasa tubuh lelaki itu mahu dipautnya namun sayangnya Johan menjauh daripadanya dengan pantas. Tangan yang dihulur terasa tidak sampai.

"Lambatnya abang balik. Banyak kerja?" tanya Lyn perlahan. Matanya memandang Johan yang sedang mengosongkan kandungan poket seluarnya. Segala benda di dalam poketnya diletakkan di atas meja di sebelah tempat tidurnya.

"Hmm..." Hambar jawapan Johan saat itu. Agak lambat dia menjawab soalan isterinya.

"Abang tak sihat ke? Lemah aja?" Lyn bertanya lagi setelah dia mendekati lelaki itu. Tubuh Johan dibalikkan menghadapnya. Tampang sang lelaki ditatapnya tanpa putus. Kehambaran lelaki itu kian jelas dilihat. Semakin dirasakan dirinya dijauhi oleh lelaki itu dalam diam. Lyn tidak tahu kenapa perasaan ini yang dialaminya semenjak kebelakangan ini. Mereka berdua agak jauh. Dingin!

"Abang penat." Itu sahaja jawapan Johan. Dia masih menjauhkan diri daripada Lyn dengan duduk di birai katil.

Perlahan Johan meraup wajahnya. Memang dia keletihan. Tetapi bukan kerana kerja. Sebaliknya letih melayan Syiha yang merengek mahu itu dan ini daripadanya. Letih memandu membawa Syiha yang mahu ke sana dan ke sini. Johan mengeluh seketika cuba melepaskan setiap cebis tekanan yang membebani diri. Paling meletihkan apabila teringatkan desakan Syiha agar segera menemui kedua ibu dan bapanya.

Johan mula merebahkan tubuh ke atas katil itu untuk merehatkan diri.

Melihatkan itu, Lyn juga ikut duduk di sebelah suaminya. Perlahan jemarinya mencapai butang kemeja suaminya itu.

"Pergilah mandi. Kalau abang nak makan, Lyn boleh panaskan lauk." Lyn bersuara lembut setelah butang baju Johan sudah dilepaskan kesemuanya. Tidak sampai hati pula dia mahu meminta-minta daripada suaminya dalam keadaan Johan keletihan begitu.

"Abang dah kenyang. Tadi abang dah makan. Abang nak mandi sekejap. Abang belum solat lagi ni."

"Solatlah cepat. Dah nak pukul 12 ni," sambut Lyn biasa. Melihat Johan tiada mood, malas dia mahu bertanya banyak mengapa selewat ini Johan masih belum bersolat lagi. Bimbang jika dia banyak bertanya nanti Johan akan kebosanan melayan perangainya.

Johan terus bangun meninggalkan Lyn di situ. Selesai mencapai tuala miliknya, dia terus menghilang ke dalam bilik air. Lyn bangun semula dari katil setelah Johan berlalu. Dia menjenguk seketika anaknya di dalam katil bayi itu. Tangan Aril dibetulkan lalu diselimutkan anaknya itu. Suhu penghawa dingin dinaikkan sedikit. Kemudian katil itu digoyangkan agar lena anak itu tidak terganggu.

"Sayang, hari Jumaat ni abang kena pergi Hanoi lagi."

Suara Johan yang kedengaran tiba-tiba membuatkan pandangan Lyn kepada Aril tertuntas serta-merta. Dia menoleh memandang suaminya. Lyn segera duduk di tepi katil itu sambil terus memandang kelakuan Johan.

"Berapa lama abang nak ke sana?" tanyanya lembut.

"Seminggu agaknya. Tak tahu lagi. Kalau urusan di sana tiada masalah, abang balik cepat," ujar Johan sambil mengenakan baju tidur.

"Munirah pergi jugak ke?"

"Dia memang dah ada kat sana pun."

Lyn terdiam. Terbayang dia wajah wanita berusia sebaya Johan yang masih belum berkahwin itu. Kadangkala apabila Johan selalu sangat berdua sahaja dengan wanita itu, dia bimbang. Namun Johan selalu berkata yang dia langsung tidak berminat terhadap anak dara itu. Lagipun selama dia mengenali wanita itu, dia tidak melihat ada sifat-sifat 'terdesak' pada Munirah sehingga perlu merampas suami orang. Munirah terlalu profesional dan komited pada kerjayanya sebagai jurutera sivil.

Curangla Lagi Where stories live. Discover now