Part 20

1.6K 28 0
                                    

Johan menghempas tubuhnya di sofa di dalam bilik itu. Peristiwa yang berlaku di dalam bilik mesyuarat sekejap tadi masih segar dalam ingatannya. Pandangan mata isterinya yang begitu tenang ke arahnya benar-benar menghukum dirinya.

Johan meraup wajah. Cuba menenangkan diri yang ketakutan. Akhirnya dia mengerti, beginilah perasaan yang dialami oleh suami-suami yang tertangkap membuat hubungan cinta di luar pengetahuan isteri. Kini apa yang paling ditakuti sudah terbentang luas di hadapan mata. Sekarang dia tidak tahu bagaimana dia harus berhadapan dengan Lyn. Dia sungguh-sungguh tidak tahu.

"Tidak! Aku tak boleh biarkan dia kontrol aku macam dulu. Aku suami dia. Aku tak boleh kalah lagi!' Kata-kata itu bergaung hebat dalam hatinya. Egonya menghalang dia daripada terus kalah kepada isterinya itu. Dia tahu, pasti ada yang sudah terangka dalam benak Lyn. Kalau sampai mengambil alih jawatan GM itu tanpa pengetahuannya, Jihan yakin Lyn melakukannya kerana mahu mengenakan dia di syarikat ini.

'Ah! Aku suami dia. Kalau aku nak kahwin lain pun, itu hak aku! Aku mampu beristeri lebih daripada satu!' Kata-kata itu terus meniupkan keegoan Johan agar terus tegak berdiri meniti di atas kecurangannya selama ini.

'Kali ni aku takkan benarkan dia menang lagi! Aku akan ikut rentak permainan dia. Aku takkan kalah lagi. Dia kena dengar cakap aku, bukannya aku yang harus tunduk kepada dia. Kenapa aku harus takut pada dia?' Keegoan Johan terus bertiup kencang. Dia enggan membiarkan pengalaman lalu berulang lagi. Dia masih ingat akan semua itu. Betapa waktu itu dia separuh gila dikerjakan oleh isterinya sehingga mereka terpisah 11 bulan lamanya.

"Arghh!! Aku lelaki! Aku akan tunjukkan pada dia. Aku takkan kalah lagi!" Akhirnya Johan bertekad sendiri.

Johan bingkas bangun daripada kerusinya apabila interkom di mejanya menuntut agar dia segera memberi perhatian kepada pesanan yang mahu disampaikan.

"Ya, Ida..." Johan menjawab.

"Dato' nak jumpa you sekarang," ucap Zahida melalui alat komunikasi itu.

"Okey," balas Johan akur dengan arahan itu.

Johan melepaskan keluhan perlahan. Dia tahu pasti ada yang bakal didapati daripada kakaknya itu pula. Dia yakin benar segala yang dirancang oleh Lyn ada sangkut pautnya dengan kakak dan adiknya itu.

'Tahulah satu kaum. Kak long ni pun satu! Dalam pejabat pun nak berpolitik. Tak cukup nak membantu ibu-ibu tunggal kat luar tu agaknya. Bini aku pun nak dibawanya sekali!' cemuh hatinya marah.

Johan masuk juga ke bilik Adrean setelah puas dia mengumpul kekuatan untuk berdepan dengan kakaknya itu. Dengan muka toya dia duduk di hadapan Adrean.

"How are you?" tanya Adrean selamba.

"Good for now. Sekejap lagi tak tahulah. Entah-entah mati kena parang," balas Johan memerli.

Adrean tersenyum sedikit. Dikawal riak wajahnya agar tidak terkesan oleh Johan kemenangan yang baru sahaja diraikan setelah berjaya membawa masuk Lyn semula ke dalam Neraca Holdings.

"Kalau dah tahu parang tu tajam, jangan main dengan parang. Kalau dah kena parang, kan susah?" Adrean turut membalas dengan sindiran.

Johan mendengus tidak senang dengan perlian kakaknya itu. Namun dia hanya buat pekak sahaja. Sakit hatinya dengan sandiwara kakaknya itu. Bukannya mahu menolong, makin menambah susahnya lagi adalah!

"Kak long percaya keadaan lepas ni takkan mudah untuk Johan. Tapi Johan kena ingat, ini tempat orang cari makan dan bukannya tempat krisis rumah tangga dan suami curang. Apa-apa masalah, selesaikan dalam keadaan senyap. Rasanya masih ada waktu untuk kau berfikir semula segala kelakuan sumbang kau selama ni. Fikirkan anak-anak. Kasihan anak-anak kalau mummy dan daddy mereka bermasalah." Lembut sahaja suara Adrean saat itu, cuba untuk menasihati adiknya.

Curangla Lagi حيث تعيش القصص. اكتشف الآن