Part 76

1.3K 33 1
                                    

Hanya beberapa hari Johan ditempatkan di wad, seterusnya dia dibenarkan pulang untuk sesi pemulihan di rumah. Sehari setelah dibenarkan keluar dari wad, mereka harus ke mahkamah pula.

Jam 9 pagi mereka sudah berada di perkarangan mahkamah. Agak ramai berada di situ. Mereka sudah melihat kehadiran truk polis membawa pesalah-pesalah yang akan dituduh di mahkamah pagi itu.

Sebelum masuk ke bilik perbicaraan, mereka berdua terserempak dengan sepasang suami isteri. Sang suami lagaknya seperti dato' dengan berbaju batik, manakala isterinya pula dengan barang kemas penuh terkalung di leher.

Lyn mengerutkan kening saat membalas pandangan wanita tua itu. Tidak mengenali siapakah gerangan orangnya.

"Johan!" sergah wanita itu kepada Johan yang sedang menarik pintu.

Johan segera menoleh. Dia pula mengerutkan kening.

"Siapa?" Tanya Johan sedikit terkejut mendengarkan namanya meniti di bibir wanita itu.

"Aku ni mak Syiha!"

Riak wajah Lyn berubah sedikit. Johan mengangkat kening. Pertama kali bertemu dengan wanita itu.

"Ada apa, mak cik?" tanya Johan biasa.

"Jantan jenis apa kau ni? Dah kau berjanji bulan dan bintang pada anak aku, sekarang nak sumbat dia dalam penjara pulak! Jantan tak bertanggungjawab! Kau tinggalkan dia macam tu aja. Sebab tu dia jadi macam ni!" sergah wanita itu.

Tersirap darah Lyn mendengar bicara wanita itu.

"Seriously?" celah Lyn lantas ketawa kecil.

"Kau siapa?"

"Ni suami saya, mak cik."

Wanita itu memandang Lyn dari atas ke bawah. Macam tidak puas hati. Kemudian dia kembali memandang Johan.

"Kalau kau dah tak suka dia sekalipun, sekurang-kurangnya janganlah sumbat dia dalam penjara. Takkanlah kau dah tak sayangkan dia langsung?" ucap Mak Cik Seha agak lantang.

"Macam ni punya orang pun ada," ucap Lyn tatkala suaminya hanya berdiam.

"Tiba-tiba aja. Abang tak kenal pun diaorang tu siapa," rungut Johan perlahan. Tiba-tiba pula dia kena marah.

Ruangan itu tidak ramai. Hanya mendengar pertuduhan dan pengakuan bersalah daripada Syiha sebelum hukuman diberikan oleh hakim. Hakim yang mengadili perbicaraan itu seorang wanita.

"Kamu tiada hak untuk mencederakan mangsa. Apatah lagi disebabkan rasa tidak puas hati kerana hubungan cinta yang tergendala. Dalam setiap apa pun kita mesti rasional. Sebagai wanita islam kamu sepatutnya sedar, soal jodoh itu ketentuan Allah. Putus cinta, beribu manusia di luar sana merasa putus cinta. Tetapi tidak menjadikan perbuatan seperti ini rasional. Masakan setiap kali kamu kecewa akan sesuatu, kamu akan bertindak nekad walaupun perbuatan itu jelas menyalahi undang-undang; memberi mudarat kepada orang lain. Keterangan pendakwa raya berserta dengan bukti jelas, kamu memang berniat untuk mencederakan isteri mangsa. Membuktikan yang kejadian itu bukan satu kebetulan sebaliknya kamu sudah merancang untuk membalas dendam apabila ada kesempatan. Malahan kamu juga didapati suka mendekati mangsa apabila berpeluang, menunjukkan kamu tidak cuba untuk menghindarkan diri daripada dia agar rasa cemburu dan marah itu reda."

"Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama 60 hari dengan hukuman tambahan, kamu mesti berkelakuan baik selama 2 tahun. Saya juga memerintahkan 
kamu supaya tidak mendekati mangsa dan juga mana-mana ahli keluarga mangsa demi keselamatan mereka. Sekiranya kamu ingkar, hukuman penjara 60 hari akan ditambah kepada 18 bulan. Ada apa-apa yang kamu nak katakan?"

"Saya cuma nak minta maaf kepada Abang Johan dan Puan Azyln atas apa yang berlaku."

"Silakan."

Syiha berpaling ke arah galeri awam, memandang ke arah sepasang suami isteri itu. Sedar yang sudah banyak kerosakan yang dibuatnya kepada pasangan suami isteri itu selama ini.

"Syiha minta maaf, abang. Syiha tak berniat nak buat abang sampai jadi macam ni. Puan Azlyn, saya minta maaf kerana ganggu suami puan selama ni. Saya benar-benar kesal dengan perbuatan saya. Saya janji tak akan ganggu puan sekeluarga lagi," ujar Syiha agak lirih.

Lyn hanya diam. Namun entah kenapa terbit rasa simpatinya kepada gadis itu. Lyn memandang suaminya. Johan juga membisu tanpa berkata apa-apa. Lelaki itu mengajaknya pergi setelah mahkamah selesai bersidang.

Johan tidak langsung memandang ke arah orang tua Syiha yang masih berada di galeri awam. Namun ketika di luar mahkamah, namanya dipanggil oleh ibu Syiha sekali lagi. Lyn dan Johan tidak jadi masuk ke dalam kereta.

"Senanglah hati kau, kan? Buat anak aku jadi macam tu."

Johan tiba-tiba menutup semula pintu keretanya sebelum mendekati wanita itu.

"Saya tak ambil balik rantai emas mak cik ni pun dah cukup bagus."

Berubah sedikit riak wajah wanita tua itu.

"Ini harta aku. Takde kena-mengena dengan kau!"

"Seha, sudahlah tu. Jangan dilayan orang sombong. Mentang-mentanglah kaya," sampuk bapa Syiha pula.

"Saya tak puas hati. Sepatutnya dia yang minta maaf pada anak kita sebab dia kecewakan Syiha. Kau....perempuan tamak! Tengok gaya kau ni pun aku dah tahu, kau jenis perempuan sombong!" Wanita tua itu menuding ke arah Lyn pula.

"Jangan dekat dengan isteri saya!" tegas Johan dengan pandangan menyinga.

"Kau beri harapan pada dia. Lepas tu kau tinggalkan dia macam tu aja. Tak adil untuk dia," jawab wanita tua itu.

"Adil ke untuk saya bila dia hanya dekati saya kerana hendakkan duit?"

"Kau jangan nak menuduh yang bukan-bukanlah, Johan!"

"Saya biarkan dia masuk penjara kerana dia cuba cederakan isteri saya. Isteri saya sedang mengandung, mak cik! Saya tak akan penjarakan dia kalau benar dia hanya mahu balas dendam pada saya. Saya tak akan marah dia sebab saya tahu, saya yang bersalah pada dia. Tapi selama ni, dia berniat buruk pada isteri saya! Kalau apa-apa terjadi pada anak saya, saya tak akan lepaskan dia. Lyn tak pernah sentuh dia selama ni, mak cik???" meninggi suara Johan kepada wanita itu.

"Abang.... sudahlah...." Lyn segera menyampuk. Malas mahu memanjangkan cerita itu lagi. Segera dia mendekati suaminya. Lengan Johan ditariknya agar menjauhi ibu Syiha.

Johan mendengus tidak puas hati. Riak wajahnya mencuka setelah masuk ke dalam kereta.  Tidak puas hati dengan tuduhan yang dilemparkan oleh orang tua itu. Lyn yang sedang memandu menoleh sekilas ke arah suaminya. Johan memandang ke luar dengan riak ketat.

"Abang," tegur Lyn sambil meletakkan jemarinya di paha Johan.

Johan menoleh kepada sang isteri.

"Janganlah fikir apa yang dia cakap."

"Abang tak sangka emak dia akan cakap macam tu pada kita," balas Johan sambil menggeleng. Sekarang dia tahu daripada siapa menurun perangai mata duitan Syiha selama ini.

"Tak boleh dipakai pun kata-kata dia. Biarkanlah," jawab Lyn biasa. Dia tidak terkesan sedikit pun dengan apa yang diucapkan ibu bapa Syiha

"Abang terkejut. Tak kenal pun, tiba-tiba dia marah abang." Johan menggelengkan kepala usai bicaranya.

"Abang tak pernah jumpa mak bapak dia selama ni?"

"Tak pernah."

Lyn terdiam. Sangkanya soal hendak berkahwin itu sudah sampai ke peringkat bertemu orang tua Syiha. Rupanya tidak. Lyn kembali memandang ke hadapan sambil berfikir sendiri.

Syukurlah.... setelah lebih setahun lalu dia mendengar suaminya ada hubungan cinta dengan perempuan lain, hari ini Johan masih berada di sisi sebagai suaminya. Dan kesedaran Johan itu hadir sendiri, bukan satu paksaan. Itu yang utama baginya.

Curangla Lagi Where stories live. Discover now