Part 17

1.3K 26 0
                                    

Beberapa minit sebelum maghrib menjelma, Lyn tiba di rumah. Di rumah, Dani dan Dina kelihatan begitu senang sekali menonton TV yang membingitkan. Lyn jadi rimas melihat keadaan itu, sudahlah dia sedang keletihan. Kini dia melihat anak-anaknya itu seronok sekali menghadap TV. Satu kepantangan yang amat besar bagi dirinya melihat itu semua!

"Perlahankan TV tu," arahnya.

Namun dua anaknya itu hanya buat bodoh sahaja bagaikan tidak mendengar arahannya itu.

"Hei!!! Pekak ke? Tak boleh dengar perlahan-lahan?" Hilang sabar dengan keadaan itu, nada suara Lyn ikut meninggi melawan suara TV.

Dua anak itu menoleh memandang sang ibu yang mula menyinga. Lyn dengan pantas merebut alat kawalan jauh daripada tangan Dani dan ditekannya alat kawalan jauh itu dengan kasar sebelum dihumbannya ke dinding sehingga berkecai alat kawalan jauh itu.

Terkejut besar Dani dan Dina melihat kegarangan Lyn saat ini. Menggigil seketika tubuh kedua-duanya tatkala menadah pandangan buntang ke arah keberangan sang ibu yang selama ini sering memanjakan mereka.

"Is this the time to watch TV?" Lyn menengking dua anak perempuannya itu.

"No!" jawab Dani dan Dina serentak dalam ketakutan melihat amukkan sang ibu.

"Then, what are you doing here? Pukul 6.30, mummy kata pergi mengaji, sekarang dah nak pukul 7! Lepas maghrib nanti Bibik ada kerja lain nak buat, dah tak sempat nak mengaji. Dani dengan Dina ni nak kena ya? Semuanya nak kena cakap banyak kali. Kalau mummy mati sehari dua ni, bolehlah buat apa yang you all suka. Mummy dah tiada lagi nak larang itu ini! Anak dengan bapak sama aja! Tak habis-habis nak menaikkan darah aku!" lantang Lyn mula melepaskan kemarahannya.

Dua kanak-kanak itu berlaku dengan pantas untuk menunaikan perintah sang ibu. Bimbang jika bertangguh lagi cubitan berbisa sang ibu pula yang menjadi makanan mereka waktu maghrib begini.

Lyn menghela nafas keras melihat semak yang dibuat oleh dua anak perempuannya itu di rumah tamu. Dikutipnya satu per satu patung Barbie yang tertiarap di atas karpet bersama dengan beraneka jenis permainan lain. Sedang dia sibuk mengemas ruang tamu itu, Johan pulang. Lyn hanya memandang sekilas sahaja kepulangan lelaki itu.

"Kenapa ni, sayang?" soal Johan apabila ternampak alat kawalan jauh ASTRO itu sudah berkecai di tepi dinding. Tidak sedap hatinya melihat wajah mencuka isterinya itu.

"Awalnya balik? Tiada kerja dah ke kat pejabat tu? Atau hari ni tiba-tiba aja kat pejabat tu semuanya siap?" dalam nada sindiran Lyn bertanya.

Johan terkebil-kebil seketika.

"Kenapa marah-marah ni?" soalnya lembut.

"Hati I sakit. Anak-anak you bukan main sedap lagi tengok TV entah dari pukul berapa. Sepatutnya diaorang mula mengaji dengan Bibik pukul 6.30 tadi. Tapi diaorang tengok TV pula. Balik ke rumah, I ingat nak rehatkan otak I yang tengah berserabut ni. Tapi balik-balik rumah bersepah macam tongkang pecah," ujar Lyn sedikit keras. Apabila hati mula meradang, panggilan mesranya buat suami juga sudah menghilang entah ke mana.

Johan tergelak menyindir pula.

"Bila mummy dengan daddy tiada kat rumah, memanglah anak-anak akan buat apa yang diaorang suka. Kalau dah tahu macam tu, baliklah awal sikit lain kali." Kali ini Johan pula yang melontarkan sindiran itu kepada isterinya. Matanya mengerling sang isteri yang masih belum melepaskan uniform kerjanya.

"Oh! I kena duduk rumah sebab I ni mummy diaorang. Habis tu yang daddy diaorang bolehlah balik lambat ikut suka setiap hari? I sorang aja yang ada tanggungjawab educate anak-anak? Tugas you educate siapa? Perempuan-perempuan muda kat pejabat you tu?" Semakin meledak kemarahan itu apabila dia pula yang disindir semula oleh Johan.

Bagaikan disengat tebuan, wajah Johan berubah merah serta-merta.

"Jangan nak mempertikaikan apa pulak tanggungjawab I, Lyn. Tanggungjawab I yang paling jelas di sini ialah mencari rezeki untuk anak-anak dan isteri, dan I pun tak suka bila I balik dalam keadaan penat, isteri I membentak-bentak I macam ni. Make it clear to yourself!" Johan dengan hati yang panas membalas semula serangan isterinya itu.

"Selama ni, I ni tak pernah jadi mummy pada diaorang ke? Habis tu, selama ni siapa yang bersengkang mata menjaga diaorang siang dan malam? You?" bentak Lyn semula. Kepada suaminya itu dihamburkan ketidakpuasan hatinya.

'Aku siang malam bersengkang mata jaga anak. Kau tahu sedap aja buat anak! Balik-balik, aku yang kau salahkan!' hati Lyn membentak panas.

"Tanya diri you, anak-anak selalunya bersama you atau dengan orang gaji? Jangan pelik kalau anak lebih mendengar cakap orang gaji daripada cakap you! Esok jangan terkejut kalau Bibik tu yang diaorang panggil mummy, you pulak yang dipanggil Bibik!" tempelak Johan selamba.

Spontan Lyn mencapai salah satu permainan anaknya di dalam bakul berhampiran dengannya lalu dilemparkan kepada suaminya itu. Hampir sahaja mengenai wajah Johan. Namun lelaki itu sempat mengelak.

"That's enough, Lyn!" tengking Johan.

"Fine! Lelaki yang tega lukai hati aku, tak akan aku biarkan, Johan. Tak akan aku biarkan!" Lyn ketawa kecil sebelum dia berlalu ke tangga.

Johan terpaku memandang gelagat isterinya. Apa maksud Lyn? Mulalah dia kalut. Lekas-lekas dia berlalu ke tangga juga. Apa jadi sekalipun dia harus memujuk segera!

Curangla Lagi Kde žijí příběhy. Začni objevovat