Part 18

1.3K 24 1
                                    

Beberapa hari Lyn ligat semacam. Bukan dirinya jika hanya melayan duka nestapa. Sesuatu perlu dilakukan supaya tidak menjadi semakin parah. Lyn memberi surat perletakan jawatan tanpa diketahui Johan. Syukurlah kontrak kerja yang baharu belum ditandatanganinya. Percaya atau tidak, soal kecurangan Johan tidak pernah ditanyakan kepada lelaki itu. Dia berlagak macam tiada apa-apa berlaku.

Seterusnya Lyn ke bank untuk menguruskan sesuatu. Kemudian dia pulang ke rumah melayan anak-anaknya. Bibir tersenyum gembira melihat keletah anak-anak, tapi hatinya membara oleh dendam dan sakit. Sungguh dia wanita yang tidak ingin terus disakiti. Tidak ingin lemah. Dia mahu bangkit untuk dirinya sendiri!

Pagi itu Johan merasakan kepelikan apabila melihat Lyn tidak pergi bekerja seperti kebiasaannya. Selalunya Lyn akan keluar terlebih dahulu sebelumnya. Namun tidak pada hari ini. Jam sudah hampir ke angka 7.30 namun isterinya masih bersenang-lenang di rumah. Malah uniform kerja tidak dikenakan di tubuh itu.

"Tak kerja ke hari ni?" tanya Johan sambil memandang Lyn yang sedang mengelek anak mereka di tepi katil. Anak itu disusukannya.

"Lambat sikit." Hambar sahaja jawapan Lyn tanpa membalas pandangan suaminya itu.

"Kenapa?" soal Johan mahu tahu. Sepasang matanya merenung paras sang isteri daripada cermin di hadapannya. Lyn kelihatan seperti remaja awal 20-an dengan potongan rambut baharu separas bahu seperti itu. Manis sekali di matanya. Buat seketika, Johan berasa kesal kerana mempersiakan kesetiaan isterinya itu.

Lyn hanya diam enggan mengulas semula jawapannya itu. Wajah Aril dipandangnya penuh asyik. Namun dalam hati, dia menyumpah-nyumpah kebaikan palsu suaminya itu.

'Kau tunggulah! Aku ajar kau cukup-cukup nanti. Kau dengan betina tu sama-sama akan dapat bahagiannya! Seronok makan duit aku? Kaki penipu punya jantan!' hatinya mengutuk sendirian. Sakit hatinya kian membusuk di dalam.

"Ada hal apa hari ni?" soal Johan sambil mendekati sang isteri di tepi katil. Lalu dia duduk bersebelahan dengan suri hidupnya itu.

"Ada meeting kat KL. Itu yang lambat sikit," ujar Lyn tanpa memandang suaminya itu. Kalau selalunya dia dikelentong suaminya, kali ini biar terjuling mata Johan dikelentong olehnya pula. Lihat sahaja suprise yang bakal dibuatnya nanti.

"Hmm... kalau macam tu abang pergi dulu ya? Ada meeting pagi ni. Dengarnya GM baru nak masuk hari ni, tapi tak tahu siapa. Ingatkan kak long nak calonkan abang jadi GM. Tapi takde pun," ucap Johan mesra lalu pipi sang isteri dikucup dengan rasa sayang yang menggebu.

Namun seketika kemudian dia memandang lagi wajah sang isteri. Haruman di tubuh isterinya mendebarkan perasaannya saat ini. Terasa malas pula dia mahu meninggalkan Lyn di situ.

"Apa?" Lyn kehairanan memandang Johan yang masih memandangnya.

"Wangi betul sayang pagi ni." Johan mengusik manja wanita itu.

"Selama ni Lyn busuk ke pagi-pagi?"

"Selama ni tak sempat nak bau, Lyn dah pergi kerja. Hari ni ada kat rumah, baru sempat abang nak cium," usik Johan dengan sengih miangnya. Sekali lagi dia mendekatkan diri untuk mencium pipi wanita itu.

"Abang rasa macam tak mahu pergi keja aja hari ni," giatnya nakal.

"Dahlah! Pergilah kerja cepat! Nanti lambat pulak. Takut nanti ada pulak yang tertunggu-tunggu kat pejabat tu," perli Lyn lantas menolak tubuh lelaki itu. Dia tidak ingin kemesraan yang sedikit itu memusnahkan apa yang sudah dirangkanya.

Johan sekadar mengangguk akur. Dia tersenyum sambil bingkas bangun dari katil itu.

Curangla Lagi Where stories live. Discover now