Part 78

1.2K 26 0
                                    

Awal pagi lagi Johan sudah keluar. Menunaikan kehendak isterinya yang mengidamkan ayam belanda. Tidak sukar mencari kerana setahunya di pasar raya ada dijual. Sejam kemudian, dia membawa pulang seekor ayam belanda bersaiz agak besar. Cukup untuk mereka sekeluarga.

Bukan main ceria lagi Lyn setelah melihat apa yang diidamkan sudah menjelma depan mata.

"Sayang abang!" ucap Lyn dengan senyum mekar. Berkobar-kobar mahu memerap bahan. Kalau boleh, mahu makan sekarang juga!

3 jam kemudian, ayam belanda itu siap dimasak. Anak-anak turut teruja mahu mencuba sesuatu yang lain daripada kebiasaan mereka.

"Bagi mummy rasa dulu," ucap Johan.

Lyn mengambil bahagian paha untuk dirinya. Bahagian daging diberikan kepada anak-anaknya. Johan lebih suka bahagian kepak.

Tetapi baru separuh paha ayam itu dimakannya, bakinya dipindahkan ke pinggan suaminya.

"Kenapa, sayang?"

Lyn menggeleng. Terus bangun sambil menekup mulut. Nak muntah. Segera dia berlari ke arah tangga untuk naik ke tingkat atas.

Johan memandang tanpa berkelip.

"Semalam dia yang nak sangat," rungutnya seorang diri. "Sedap juga rasanya," ujar Johan terus menyambung makan.

"Ya, tapi aneh sedikit rasanya berbanding ayam," komen Bibik Sutinah.

"Liatlah bik," adu Dina sambil mencebik.

"Ya, bibik juga rasa begitu."

"Habiskan ayam tu," tegur Johan kepada anak-anaknya.

"Tak naklah, daddy. Tak sedap. Dina nak ayam."

"Ni pun ayam juga. Mahal ni daddy beli. Membazir nanti," balas Johan.

"Tapi bukan ayam biasa. Ayam ni tak boleh makanlah. Dina tak nak," rungut Dina.

Seketika kemudian Lyn muncul semula. Johan memandang lama isterinya itu.

"Yang, marilah makan."

"Tak naklah. Tekak ni loya," jawab Lyn. Baru sedikit ditelannya, sudah keluar semula. Sekarang memandang ayam itu pun dia sudah kembang tekak. Semalam dia merenung ayam di TV itu sambil memasang impian; kalau dapat hari ini, dia seorang nak ratah seekor itu. Orang lain jangan harap nak merasa!

"Semua tak nak. Siapa nak makan ni?"

"Abanglah."

"Daddy!"

Dua jawapan itu keluar serenata daripada mulut isteri dan anak-anaknya. Johan tersandar memandang semua manusia itu.

"Ya, bapak sajalah yang makan. Aku pun tak mahu." Bibik Sutinah terus bangun, tanda dia sudah tidak lalu.

Johan terkebil-kebil memandang ayam belanda itu. Masih banyak. Jenuhlah dia hendak menghabiskan. Tergaru-garu dia sambil menghela nafas. Sudahlah terbang duitnya 120 ringgit demi ayam itu. Anak-anak dan isterinya tidak mahu pula.

Sudahnya lelaki itu menyambung makan. Menghabiskan apa yang mampu.

Curangla Lagi Where stories live. Discover now