Ramadhan kareem #3

2.6K 226 30
                                    


Bantal ditepuk tiga kali sebelum Jep berbaring di sisi sang isteri yang sudah pun berbaring sambil memandang telefon.

"Dah, dah tu, yang! Esok kan awak kena bangun awal. Nak masak sahur," ujarnya sambil cuba merampas telefon yang dipegang isteri.

Ternyata isterinya lebih cekap lalu dia alihkan tangan yang sedang memegang telefon.

"Sekejap... Sikit lagi ni. Dah nak habis dah," balas Tal.

"Tulis Wattpad lagi la tu," perlinya.

"Ya. Short update je sempena nak puasa," jawab Tal.

Jep menggeleng.

"Yang, tahun ni pertama kali kita puasa sebagai suami isteri. Excited tak?"

Mendengar soalan itu, jari-jemari Tal berhenti bekerja. Dia lantas meletakkan telefon bimbit ke atas perut. Tarik nafas panjang.

"Oh ya kan? Orang baru teringat kita first time puasa sama-sama."

"Ei, yayang ni! Baru teringat? Tak excited la tu!"

Tal ketawa. "Alololo. Sorry. Excited la. Cuma tu lah. Ada benda lain yang memudarkan rasa excited tu."

Jep mencebik. "Apa? Wattpad? Mentang-mentang ramai followers sekarang. Action la. Tak ingat abang dah. Fine, fine..."

"Bukanlah! Lah, merajuk pulak orang tua ni. Geli aku. Tekup dengan bantal ni nak?"

"Dahlah tak ingat kita. Sampai hati pulak nak tekup kita dengan bantal. Fine la. Yayang memang tak sayang abang. Hantar abang balik rumah mak abang!"

Pecah ketawa Tal. "Bongok ah mamat ni! Ei, aku siku jugak malam-malam ni kang!"

Jep turut tertawa kecil.

Tal raih jemari suaminya itu. Bermain-main dengan jari-jemari panjang itu.

"Tahun ni, first time kami puasa dan raya tak cukup ahli." Perlahan sahaja suara Tal meluahkan.Jep terkesima sejenak.

Allah! Aku lupa.

"Tahun ni, patutnya bang ngah raya bawa isteri. Rupa-rupanya, jangan kata isteri, dengan dia-dia sekali tak ada," sambung Tal lagi. Suara mula bergetar sebak.

Jep mengeluh perlahan. Lalu dia mengiring dan menarik isterinya itu dalam dakapan.

"Kita doakan Abang Thor, okey? InshaaAllah, dia orang baik. Ramai orang sayang dia. Allah pun mesti sayang dia. Dia di tempat yang baik-baik hendaknya," pujuk Jep.

Air mata Tal mulai jatuh deras. Terhinggut-hinggut bahu menangis.

"Syhh...."

"Mak dan abah mesti lagi sedih kan?"

Tak mampu Jep jawab soalan yang diutarakan si isteri dengan kata-kata. Namun jauh di sudut hati, dia pasti ibu dan abah mertuanya pasti insan yang paling terasa akan ketiadaan anak seorang yang dikasihi sepenuh hati di waktu-waktu istimewa begini.

"Selalunya, malam pertama Ramadhan macam ni, bang ngah sibuklah buat list. Dia nak lauk apa untuk berbuka sepanjang Ramadhan. Tahun lepas, dia request orang masakkan nasi arab kambing. Tapi orang tak sempat nak buat untuk dia. Busy dengan study kat kampus. Dia cakap, dia tuntut Ramadhan tahun ni. Tapi dia dah tak ada..."

Jep berdecit. Terasa wajah panas dek linangan air mata.

Sumpah, pedih hatinya mendengar kisah itu.

"Sabar, yang..."

Jep berikan ruang dan masa si isteri melepaskan rasa di hati. Dia faham dan mengerti. Kehilangan ahli keluarga yang dikasihi secara tiba-tiba bukan sesuatu yang mudah diterima semua orang.

Redha dan terima, mungkin.

Move on? Tak mudah.

Ada masanya, masih terikat dengan kenangan-kenangan dengan arwah. Baik yang manis, mahupun yang pedih.

Lagipun, dah agak lama isterinya ini tak menangis dek terkenangkan arwah abang tengahnya itu.

"Sorry, abang. Ciwek (trans : manja, cengeng) kan? Asyik nak menangis je!" Setelah beberapa ketika, Tal bersuara.

"Biarlah ciwek. Ada can abang peluk konon-konon pujuk gini..."

"Bengong!"

Jep ketawa.

"Dah? Lepas dah perasaan terbuku di hati tu?" soal Jep sambil mengusap kepala Tal lembut.

Tal lantas bangkit dari baring dan mencapai tuala kecil untuk mengelap muka yang dah lencun.

"Dah. Boleh sambung tulis Wattpad balik dah."

Jep terus tertawa. "Aik? Macam tu pun boleh?"

Tal duduk semula di atas katil dan mencapai telefon bimbit semula.

"Yang, abang sebenarnya ada benda nak bincang ni."

Buat kali kedua, telefon bimbit itu disisihkan. Dia menoleh memandang Jep semula.

"Bincang apa? Macam serius."

Jep angguk. "Memang serius. Kita kena bincang betul-betul ni!"

Berkerut dahi Tal mendengar jawapan serius si dia. Lalu dia alihkan badan menghadap Jep yang masih berbaring santai.

"Apa dia?"

Jep terus ikut duduk. "Abang nak tanya, yayang. Tahun ni..."

Diam.

"Tahun ni...?" Tal cuba mendapatkan sambungan soalan yang tergantung.

"Tahun ni kan..."

"A..haa.. Tahun ni...?"

"Tahun ni, kita raya mana dulu? Kampung awak ke, kampung abang?"

Tal terkebil-kebil memandang Jep yang berwajah serius.

"Kau seriuslah, Jep? Sekarang kau pilih, nak siku aku ke, nak lutut aku dulu?"

"Kah Kah Kah!" Pecah ketawa Jep.

"Ei, goblok la dia ni! Rumah mak kau sebelah rumah aku je, ngok... Raya mana-mana dulu pun sama je. Adoiiiiii!"

"OI! OI! Apa yang suka sangat laki bini tu! Tidur! Tidur! Esok nak sahur!" Suara Mak Yam daripada luar bilik kedengaran.

Jep terus baring dan menekup muka. Ketawa masih berdekah.

Bapak lawak tengok muka Tal terkebil-kebil gitu...

"Abang.." panggil Tal.

"Ala, abang main-main je. Saje usik awak. Janganlah marah." Disangkakan Tal nak teruskan bebelan dek diusik manja malam-malam hari ni.

"Selamat berpuasa, abang. Semoga amalan kita diterima Allah dan direzekikan lailatul qadar."

Terus serius wajah Jep. Dia kembali duduk. Senyum manis buat si isteri.

"Selamat berpuasa jugak, yayang. Aamin, aamin. Semoga kita sama-sama dapat beramal soleh."

Mata bertentangan sejenak dan mereka tertawa kecil. Entah kenapa.

"Dah, tak payah Wattpad. Tidur. Esok nak bangun awal."

"Sikit..."

"Tak payah! Degil.."

Tal sengih. "Baiklah, suamiku. Yang menurut perintah."

Jep gelak lagi. Lalu sama-sama berbaring semula.

Tal tarik nafas panjang.

Ramadhan pertama tanpa bang ngah dalam hidup. Juga Ramadhan pertama adanya Jep sebagai suami..

Terima kasih, Allah...

The Untold Stories (Vol 2)Where stories live. Discover now