Kenduri

2.8K 229 34
                                    

Tariq garu kepala yang tak gatal.

"Kenapa? Tak suka ke?"

Laju dia menggeleng. Tangan juga turut digawang kiri dan kanan.

"Bukan, mak. Bukan tak suka. Saya, err... saya segan. Menyusahkan mak abah sekeluarga. Lagipun, mm...."

Dia diam sejenak. Nafas ditarik panjang.

"Teja tu bekas tunang arwah. Saya bimbang... you know... orang-orang kata apa pula."

Ayah Haji dan Mak Yam berpandangan.

"Kalau nak diikutkan apa orang kata, memang tak buat apa-apa la kita, Muhammad. Niat mak dan abah ni baik. Nak doakan semoga majlis kamu berjalan lancar," jawab Mak Yam.

Tariq mengangguk. Entah kenapa, dia bimbang akan mulut orang kampung.

Ayah Haji dan Mak Yam tu sampai hati buatkan kenduri meraikan Teja kahwin dengan orang lain... Kan bekas tunang arwah....

Dia menunduk. Jujur, dia terharu apabila ibu bapa angkatnya ini menzahirkan niat mahu menganjurkan kenduri untuk mendoakan kelancaran majlis perkahwinan dia dan Teja.

"Saya okey je, mak, abah. Kalau mak abah nak buat, saya ikut je. Mak Biah cakap apa-apa?"

"Biah berbesar hati je..." laju balas Mak Yam.

Tariq senyum.

"Kita buat kenduri sikit ya? InshaaAllah, tak ada aral, seminggu sebelum majlis kamu. Muhammad balik ya?" Ujar Mak Yam lagi.

Tariq angguk. "InshaaAllah..."

"Jangan bimbang. Mak buat kecik-kecik je. Orang masjid dan saudara mara dekat..."

Dia angguk lagi sambil tergelak kecil.

"Ya, mak. Terima kasih."

"Ajak keluarga Muhammad sekali."

Tariq garu dahi pula.

"Hmm, saya rasa tak sesuai. Ini majlis keagamaan. Mama dan Ben bukan Islam. Saya ajak Andy je lah kalau dia free."

"Oh, ya tak ya. Eloklah. Ajak Andy sekeluarga."

"Ramai ke saudara mak abah nak jemput?"

"Alah, tak ramai mana.. Adik-beradik, sepupu sepapat."

Tariq terus tertawa. "Macam ramai bunyinya tu, mak!"

Mak Yam turut tertawa.

"Eh, bang aji! Jangan lupa jemput keluarga Sungai Besar. Si Dani anak beranak sekali." Mak Yam mengingatkan suaminya akan keluarga sepupu Ayah Haji Rusydi.

Ayah Haji angguk. "Ya, nanti abang jemput."

"Tak payah percayalah tak ramai mak kamu tu, Muhammad. 4 khemah juga tu kang!"

Bulat mata Tariq. Mak aih....

"Alah, tak payah bimbang. Kamu diam-diam je tak payah buat apa. Mak upah catering je."

"Kemaruk nak berkenduri mak kamu ni. Memang hobi dia kenduri-kendara." Ayah Haji mengusik lagi mengundang ketawa Tariq.

"Amboi abang aji, kita mogok masak nanti!"

Ayah Haji turut tertawa.

"Terima kasih, mak, abah. Sudi raikan saya. Walaupun... saya ni..."

Ayah Haji lantas menepuk bahu anak angkatnya itu.

"Kamu dan Teja pun berhak bahagia. Yang dah tak ada, kita doakan dia bahagia di sana. Ya?"

Tariq menunduk sambil menarik nafas panjang. Menahan sebak. Beberapa ketika baru dia angkat wajah. "Aamin..."

The Untold Stories (Vol 2)Where stories live. Discover now