I Know Him First

436 46 24
                                    

BAB 21


Asyraf berjalan keluar dari bangunan kampus itu. Dia meraba-raba kocek seluarnya untuk mengeluarkan kunci kereta bagaimanapun terhenti apabila terpandang sesuatu. Atau lebih tepat lagi seseorang. Seseorang yang benar-benar dikenalinya. Tetapi kini, dia tidak pasti mengenai perkara itu.

Anas dengan baju kemeja jenama Denim berwarna biru gelap yang mana lengannya dilipat hingga ke paras siku sedang berpeluk tubuh bersandar pada kereta Vios miliknya. Mengenali lelaki itu, Asyraf tahu kereta itu hanya salah satu daripada beberapa jenis kereta yang dimilikinya.

Apa yang menarik perhatian Asyraf, Anas kini bersandar memandang tepat ke arahnya. Baru dia perasan kedudukan kereta mereka terletak selang satu tapak yang tiada kereta diletakkan. Asyraf membuka mulutnya ingin bertanya bagaimanapun tiada apa yang keluar. Berdiri di situ bersama 'bekas' kawan baiknya itu benar-benar kekok dan asing. Dia tidak pasti apa yang boleh mereka bualkan. Wajah Anas terlalu serius sukar untuk dibaca apa tujuannya.

Tiba-tiba sahaja lelaki itu tersengih bosan. "Takkan nampak saya lidah dah beku?? Ucap hai pun tak boleh?"

Asyraf turut tersengih menyindir sama seperti lelaki itu. "Memikirkan majoriti kita berjumpa bukan dalam keadaan yang boleh saya ucap hai... Jadi rasanya lebih elok saya tutup mulut."

Anas tidak membalas sebaliknya merenung lelaki itu agak bengang sebelum memandang sekeliling tanpa tujuan.

"Jadi..."

Pandangan lelaki itu kembali kepada Asyraf yang sepertinya sudah menghentikan apa yang dia lakukan sebentar tadi.

"Apa yang boleh saya bantu?"

Anas tergelak menyindir. "Awak rasa saya datang sini nak minta bantuan ke? Fikir lah sikit."

Asyraf mendengus kuat. "Awak fikir baru semalam ke saya kenal awak tu??"

Anas tidak membalas.

"Awak tak akan datang pada kami kalau awak tak nak sesuatu." Asyraf kini berpeluk tubuh sama dengan posisi lelaki itu.

Anas menggerutu secara senyap. "Apa yang berlaku dengan Shahran kebelakangan ni?"

Asyraf tidak segera menjawab sebaliknya merenung lelaki itu sedalam-dalamnya. "Kenapa awak rasa ada sesuatu yang tak kena?"

"Awak ingat baru kelmarin ke saya kenal kamu?" balas Anas selamba sambil mengangkat keningnya.

Asyraf tidak membalas.

"Banyak sangat benda yang tak kena dengan dia." Anas bersuara selamba. "Apa dah jadi?? Mikha yang dia kejar daripada dulu dia dah tak peduli lagi. Jadi beritahu saya. Apa hal??"

"Memang tak ada apa-apa yang tak kena." Asyraf mendengus perlahan.

"Habis tu kenapa Mikha mengadu dengan saya?" Anas mengangkat keningnya masih berpeluk tubuh.

"Sebab tu ke awak nak tanya perkara ni?"

Anas menderam kuat. "Jawab je lah!"

Asyraf hampir menggenggam buku limanya cuba menahan segala emosi yang sedang bergelut dalam dirinya.

"Apa kaitan dengan Adrian pula?"

Asyraf kembali memandang lelaki itu. Kini segalanya semakin hampir pada rahsia Shahran. "Bukan urusan awak."

"Kenapa budak tu berminat sangat dengan Shahran??" Tanpa disedari, Anas sudah melangkah beberapa tapak ke hadapan. "Sampai dengan saya pun dia tanya benda pelik-pelik."

Humanoids ✔Where stories live. Discover now