Ready For It

352 44 5
                                    

BAB 35


Hadha memandang Shahran yang kini sedang duduk dengan tenang di sebelahnya. Tiada siapa yang tahu apa yang ada di dalam fikiran lelaki itu saat ini. Mereka langsung tidak bersuara. Berbual atau berbalas walaupun sepatah kata. Apa yang bakal berlaku nanti lebih merunsingkan daripada keadaan itu.

Hadha mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Mengeluh dan merungut di dalam hati. Kenapa dia? Kenapa dia yang terpilih untuk menjadi salah seorang yang harus berada di situ. Kenapa?

Ada banyak lagi orang di dalam dunia ini. Kenapa dia yang terpilih? Dia hanya seorang gadis biasa. Yang ingin hidup normal. Mempunyai kehidupan yang sederhana. Tapi ini yang berada dalam hidupnya.

"Awak mengeluh terlalu banyak, Hadha."

Gadis itu tersentak balik ke dunia nyata. Dengan pantas dia memandang Shahran yang sudah sedia memandangnya.

"Awak asyik mendengus." Shahran merenung gadis itu. "Saya boleh dengar dengan jelas."

"Maaf." Gumam Hadha masih dengan dengusan. Dia langsung tidak perasan dia mengucapkan apa yang difikirkannya.

"Rasa menyesal bersetuju dengan benda ni?"

Hadha mengangkat bahunya Tidak tahu hendak menjawab apa. "Hanya mengeluh kenapa jalan hidup saya ke sini."

Shahran tergelak kecil. "Tak ada siapa sangka. Nak cakap hidup kita adalah paling teruk pun tak boleh juga." Dia menarik nafas panjang. "Kalau tengok Rizal, rasanya dia boleh ceritakan lebih banyak perkara buruk daripada ni. Jadi, kita betul-betul tak boleh nak merungut sangat."

Hadha berdiam diri tidak membantah. Apa yang lelaki itu katakan memang benar. Setiap kali dia memandang wajah doktor muda itu, dia dapat merasakan banyak benda yang tersirat disebaliknya. Perkara-perkara yang tiada siapa dapat jangka. Yang tiada siapapun dapat bayangkan.

"Kadang saya rasa nak hidup normal."

Shahran tersengih mendengar perkara itu. "Kita semua nak. Walaupun ada sesetengah orang bermimpi nak ada kuasa macam ni."

"Mereka tak tahu betapa teruknya terperangkap dalam situasi ni." Hadha mendengus perlahan. "Awak rasa kita akan selamat ke?"

Shahran menarik nafas panjang. "Saya tak tahu. Saya harap lah. Tapi tak ada jaminan untuk benda ni."

Hadha mengangguk. Dia tahu perkara itu adalah benar. Tiada jaminan. Walaupun harapan setinggi gunung, tapi jaminannya tetap senipis kertas. Mungkin lebih tipis dari itu.

Tiada apa yang boleh dilakukan kerana ini adalah pertarungan pertama mereka. Tanpa apa-apa bantuan dan pertolongan. Hanya mereka. Ingin mengeluh juga tidak berguna. Ini jalan hidup mereka.

Minit-minit seterusnya dipenuhi dengan mereka yang hanya berdiam diri. Masing-masing tenggelam dengan dunia sendiri. Masih berdebat dengan diri. Masih cuba merungut mengenai jalan hidup yang tidak boleh dipatah balik itu. Akan tetapi, semuanya sudah terlambat untuk dikesalkan.

BOOM!

Bunyi letupan itu mengejutkan mereka berdua. Segala khayalan, rungutan dan keluhan yang bermain di minda segera hilang dan kini ketakutan serta kerisauan mula menyelubungi. Mereka membetulkan kedudukan dengan segera.

BOOM!

Letupan bergema lagi. Bagi orang lain, mereka akan mencari tahu apa yang terjadi. Tapi bagi mereka, itu adalah isyarat. Isyarat untuk mereka bergerak dan bertindak. Itulah rancangan mereka. Yang sudah dirancang bersama selama beberapa malam mereka tidak tidur.

Humanoids ✔Where stories live. Discover now