|| 9 ||

146 20 1
                                    

Nicholas menggilap segala senjata yang terletak di bahagian paparan. Segera dia tersenyum puas apabila pantulan cahaya menyinari setiap satu senjata tersebut. Cahaya matahari yang menerobos masuk melalui tingkap menandakan bahawa satu hari bekerja sudah muncul buatnya.

Sewaktu dia memusingkan tanda 'tutup kepada 'buka' di pintu bengkelnya, mindanya menerawang ke memori yang berlaku dua hari lepas di bengkelnya. Tibanya sahabat lama mereka sewaktu Asher hadir melawat, menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Hampir sepanjang Asher dan Aleida menjaga Raeya, sahabatnya itu tidak pernah menunjukkan diri. Apabila Raeya sudah bijak menguruskan diri sendiri dan berpelajaran tinggi, muncul pula tanpa dipinta.

Bukan tidak dipinta sebenarnya, tidak dibenarkan oleh Asher sama sekali.

Seorang ibu dilarang daripada berjumpa dengan anaknya sendiri? Itu sangat menyedihkan.

Namun bagi sahabat mereka yang seorang itu, dia tidak kisah. Jiwanya sungguh kental menghadapi cabaran demi menyediakan kehidupan yang selesa buat Raeya dalam masa akan datang. Hadir atau pergi, itu pilihannya.

"Haih, pagi-pagi dah serabut." Keluh Nicholas sendiri. Dia meraup mukanya sebelum melangkah keluar dan mengambil udara segar.

"Hai datuk Nik! Apa khabar?" Tegur seseorang dari bahagian atas.

Nicholas yang sedang enak memejamkan mata segera mendongak ke atas. Seorang jejaka bersayap putih menghalang pandangannya daripada melihat langit.

"Khabar baik..." Balas Nicholas acuh tak acuh kemudian mengerutkan dahinya. "Eh, turun! Apa duduk atas bumbung bengkel orang!" Marahnya pula.

Zalchria segera melompat turun dengan penuh gaya. Tanpa disedari Nicholas, Urshia mengekori dari belakang bersama beg yang dibawa.

"Kenapa pakaian kamu dan beg yang kamu bawa itu seperti mahu mengembara? Ada apa-apa yang datuk boleh offer untuk pengembaraan kamu?" Tanya Nicholas seperti seorang usahawan sejati.

Tersenyum Zalchria apabila terlihat gaya lelaki tua itu. Si Nicholas ini, ingat diakah?

"Datuk, kenal saya tak?" Soal Zalchria dalam nada mengusik.

Nicholas tersenyum kecil apabila dipersoalkan begitu. Benar, dia sudah tua. Tetapi kanak-kanak yang sentiasa diceritakan dan ditunjukkan oleh pembuat masalah itu tidak akan dilupakannya.

"Mestilah ingat! Kamu Zalchria, jejaka bersayap putih yang diceritakan oleh Raeya kepada datuk. Datuk ada simpan tau gambar kelas dia dari kecil. Setiap seorang dia kenalkan pada datuk." Balas Nicholas, bangga.

Zalchria tertawa kecil. Dia agak terhibur apabila lelaki tua itu mengaitkan Raeya dengan ceritanya. Raeya ini, sungguh menghargai orang di sekelilingnya, ya?

Lagi pun, Zalchria pernah bertemu dengan Nicholas sewaktu dia, Raeya dan Urshia masih bersekolah menengah rendah. Al-kisahnya, mereka terserempak di bahagian hadapan bengkel milik Nicholas lalu diajak untuk masuk ke dalam. Dari situlah dia kenal mereka yang rapat dengan Raeya.

"Kamu pasti Urshia." Teguran Nicholas terhadap Urshia membuatkan jejaka yang dipanggil itu sedikit terkejut. "Raut wajah kamu tidak ubah dengan gambar budak lelaki yang berwajah masam di dalam gambar Raeya itu." Sambungnya lagi.

Urshia meneguk liur, resah. Jika dikenali begini, membuatkan dia sedikit gusar kerana dia tidak mempunyai ramai sahabat. Namun begitu, dia sedikit lega apabila bertemu dengan seseorang yang mengenalinya.

"Ya datuk, dia Urshia." Zalchria menjawab sopan bagi pihak Urshia. "Masa saya kata saya nak jumpa datuk, dia takut sangat. Tak biasa jumpa orang, memang macam tu. Lagi-lagi sayap dia warna hitam, risau betul jika dikecam." Tuturnya lagi sebelum menarik tangan Urshia yang acap kali cuba untuk menyembunyikan wajahnya di sebalik hoodie.

Pelepah EmasWhere stories live. Discover now