|| 29 ||

57 6 2
                                    

"Sharaxa?" Melaine bangkit dari perbaringannya di atas rumput. 

Sharaxa yang sedari tadi merehatkan kepalanya ke di sisi Melaine tiba-tiba bangkit dan terlihat berwaspada terhadap sesuatu. Matanya dipicingkan, irisnya mengecil seperti kucing manakala hidungnya melepaskan kepulan-kepulan asap. Tidak kurang juga dengan telinganya yang bergerak-gerak mencari sesuatu.

Melaine bergerak ke sisi Sharaxa dan meletakkan tangannya pada leher naga itu. Matanya turut bergerak-gerak bagi mencari apa yang sedang Sharaxa cari.

Tidak lama kemudian, satu lembaga dapat dilihat berterbangan di sebalik awanan yang memenuhi langit Aves Dale. Bunyi-bunyi asing memenuhi perkampungan tersebut.

Kemudian, lembaga tersebut berpecah. Ia bukan satu, malah tiga.

Dentuman dan ngauman kuat dapat didengari dari langit. Melaine membulatkan mata. Hanya dia sahaja yang memahami bahasa yang dibicarakan oleh naga-naga tersebut.

Sharaxa menurunkan kepalanya, mengarahkan Melaine untuk naik ke belakangnya. Melaine menurut dengan bersemangat sebelum berdiri dengan gagah di belakang Sharaxa. Kepalanya mendongak ke langit, menantikan tiga ekor naga itu untuk mendarat ke tanah dengan wajah yang penuh serius.

Seekor demi seekor naga mendarat di hadapan Sharaxa dan Melaine. Naga yang paling besar di situ, berwarna biru gelap, lekas melangkah ke hadapan dan mengaum.

Pada mulanya, Melaine sekadar mengerutkan dahi dan mendengar bebelan naga tersebut. Lama-kelamaan, wajahnya berubah dan diakhiri dengan riak terkejut.

"Biar betul, Jaja? Tiada cara untuk mereka masuk ke sini."

Satu ngauman daripada naga biru.

"Ish, macam tak percaya je." Tutur Melaine sambil menggeleng pada Jaja si naga biru. "Tanya Zurtis kejap. Zurtis, betul apa Jaja cakap?" Soalnya pula pada seekor naga betina berwarna kuning.

Zurtis mengangguk sahaja sambil mendengus-dengus di situ.

"Wirawati? Betul semuanya? Tiada dusta?" Melaine menyoal naga yang terakhir, Wirawati, yakni naga betina berwarna ungu.

Wirawati mengaum dan mendengus. Kepalanya tergeleng-geleng dan sayapnya dikibar-kibarkan kuat.

"Baiklah, Mel percaya cakap kamu bertiga." Balas Melaine pasti. Dia memandang Sharaxa yang sedang memerhatikannya. "Sharaxa, apa kata kamu?"

Sharaxa membalas pertanyaannya dengan ngauman naga. Melaine terangguk-angguk faham sambil mengusap dagunya dengan pemikiran yang penuh teliti.

"Okey, jom kita pergi bagitahu kawan-kawan kita."


☆:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::☆


Di tengah-tengah kawasan perkampungan Aves Dale itu, terdapatnya sebuah rumah kayu yang besar dan tinggi. Batu-batuan merah menjadi penghias, termasuklah tumbuhan-tumbuhan yang mengelilingi rumah tersebut.

Arabella merupakan seorang Dendromancer, pengguna teras tumbuhan, yang amat sukakan tanaman. Dialah yang menghiasi rumah tersebut dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bunga yang pelbagai.

Rumah itulah yang menjadi persinggahannya bersama Ryia sewaktu mereka muda-muda dahulu setiap kali mereka hadir ke Aves Dale. Di sini, sudah banyak kenangan yang tercipta antara mereka berdua.

Menaungi Aves Dale, mendengar cerita dan rayuan penduduk, serta memelihara keharmonian di sini. Mereka harus melindungi tempat ini, kerana inilah satu-satunya tempat yang menerima kaum bersayap perak dan emas. Bukan itu sahaja, naga-naga yang hampir pupus turut dibawa ke sini demi pemeliharaan.

Arabella menghela nafas kecil, merehatkan tubuhnya pada selusur beranda rumah kayu tersebut. Dia memerhatikan anak-anak bawah jagaannya yang pelbagai ragam di laman rumah.

Ny sedang duduk di atas pondok yang tidak jauh dari sebatang pokok mangganis, mengusap belakang seekor kucing yang manja di atas ribanya. Zalchria pula sibuk mengejar ayam yang berkeliaran lari di sekitar laman manakala Urshia pula sekadar mencangkung di atas tanah dan memerhatikan rakannya itu dengan wajah bosan.

Arabella berpaling ke arah lain, mencari-cari kelibat anaknya bersama Taikuri.

Di sudut laman itu, Taikuri dapat dilihat sedang bercekak pinggang di bawah sebatang pokok asharambutan. Matanya menjeling ke atas, melihat Raeya yang sedang duduk di atas sebatang dahan dan menggoyang-goyangkan kakinya dengan gembira. Mereka seperti sedang berbual perkara hangat.

Senyuman kecil terbit di bibir Arabella. Matanya tidak lekang daripada memandang Raeya. Wajah anaknya kini tirus dan tegap, tidak lagi meninggalkan sebarang rupa kebudak-budakan. Anaknya kini remaja yang mendewasa dan lama-lama jika dilihat, ada iras Ryia di situ. Kacak, seperti papanya.

Ayam berkokok-kokok akibat dikejar Zalchria yang ligat berlari. Senyuman Arabella melebar kepada sengihan. Apabila terlihat Urshia yang sudah pun jatuh terduduk di atas tanah akibat dilanggar ayam, menyebabkan dia tertawa sendiri di situ. Ny yang turut menonton juga tergelak sama.

Hmm, pasti seronok seandainya suasana aman seperti ini sepanjang masa.

Sedang enak Arabella menongkat dagu pada selusur, dia tiba-tiba seperti tersedar akan sesuatu. Dia segera mengangkat kepala bagi melihat sekeliling. Eh, mana Melaine?

Oh ya, tadi dia cakap nak pergi main dengn naga.

"Puan Bell!" Suara Melaine kedengaran dari jauh.

Ha, baru cakap. Panjang umur budak tu.

Arabella lekas turun dari beranda rumah dan mendekati laman rumahnya. Matanya memicing melihat Melaine yang termengah-mengah berlari. Dia memandang ke atas pula bagi melihat empat lembaga yang mengekori dari langit. 

"Apa yang dah jadi ni?" Gumam Arabella, tangannya memegang batang pokok mangganis di sebelahnya. Jantungnya mula berdegup kencang dan fikirannya dipenuhi pelbagai kemungkinan.

Melaine tergopoh-gopoh mencari tapak untuk berhenti di hadapan Arabella. Selepas itu, tanah mula bergegar apabila naga-naga yang mengekori mula mendarat seekor demi seekor. Sharaxa mendarat terlebih dahulu sebelum diekori Jaja, Wirawati dan Zurtis.

"Jaja? Bukan ke kamu keluar untuk cari naga lain? Kenapa ni?" Tanya Arabella hairan. Kemudian, dia menoleh pada Melaine. "Melaine? Apa jadi?"

Memahami keletihan Melaine, Sharaxa menurunkan kepalanya untuk Melaine bersandar. Selepas itu, barulah Melaine membuka mulut dan menceritakan apa yang didapati daripada Jaja. 

Arabella mengerutkan dahinya. Dia sudah menggaru kepala kerana risau. "Setahu saya... Tempat ini sudah dipagar Lord Ryia. Macam mana pula boleh mereka jumpa?"

Zurtis mengaum-ngaum seperti menjawab persoalan Arabella meskipun wanita tersebut tidak dapat memahaminya. Melaine mengangguk-angguk letih sebagai refleks.

"Mereka berjaya tangkap Datuk Nicholas dan dapatkan pelepah emas Raeya. Dengan itu, mereka berjaya cari cara untuk buka portal kita! Mereka traced Raeya!" Jelas Melaine dengan bersungguh-sungguh. Tangannya bergerak-gerak menunjukkan keseriusan keadaan itu.

Nafas ditarik kuat, Arabella memegang dadanya yang kini sesak. Dia berpaling lekas ke belakang dan pandangannya dijamu dengan sekumpulan remaja yang sudah pun berkumpul di belakangnya. Setiap remaja di situ memandangnya dengan mata yang membulat.

"Hah..." Arabella menghela nafas perlahan bagi menenangkan diri. Dadanya diusap-usap. 

"Saya nak kamu semua beritahu penduduk Aves Dale untuk bersedia dengan teras dan senjata masing-masing. Kemungkinan besar... The Hunters akan ceroboh tempat kita." Arah wanita tersebut dengan serius.

Remaja-remaja di situ mengangguk faham sebelum masing-masing mula berlari dan terbang ke arah yang berlainan. Hanya Ny sahaja yang berlari sebelum dia disauk oleh Melaine untuk menunggang Sharaxa.

Arabella memandang ke langit sekilas sebelum mara ke arah rumahnya semula. Dia ada perkara yang perlu diselesaikan.

Pelepah EmasWhere stories live. Discover now