|| 19 ||

78 12 0
                                    

"Helena? Inikah gadis yang kita cari tu?" Soal Raeya sambil memandang Taikuri dan Ny silih berganti. Dia mengerutkan dahi kerana wajah gadis yang dicari mereka itu seperti pernah dilihat.

Melaine berpeluk tubuh dengan senyuman senget. Wajah Ny yang resah itu dilihat dengan penuh terhibur.

"Ya, awak cari saya?" Tanya gadis yang baru tiba itu dengan agak ragu-ragu. Mengapa pula dia disebut-sebut ini?

Kawasan pergunungan itu sepi tiada jawapan. Hanya bunyi burung dan serangga di situ sahaja yang dapat didengari mengisi kesepian.

Pakaian yang dipakainya pada hari itu dikemaskan oleh Raeya. Gadis berambut merah itu didekatinya dengan perlahan-lahan. Mindanya sudah mula ligat memikirkan apa yang bakal diperkatakan.

"Melaine." Ny bersuara dalam bisikan yang separa menjerit. Suaranya ditahan agar tidak didengari Raeya yang sedang berjalan melepasinya.

Melaine hanya memandang gadis itu dengan senyuman yang masih tidak lekang dari bibirnya. Kening sebelah dijongketkan bagai mahu memprovok gadis itu. Taikuri di sebelahnya pula sekadar memandang pelik lalu memerhatikan semula Raeya yang menjauhi mereka.

"Datuk saya sebenarnya suruh saya cari awak untuk bertanyakan sesuatu. Katanya awak berada di Kota Aveast dan Cik Catrain kata awak sekarang ini bergerak ke Kota Feasouther. Jadi, bolehkah kami ikut awak gerak ke sana?" Ujar Raeya agak malu-malu. Walaupun begitu, dia berdiri tegak bagi menunjukkan kegagahan.

"Oh, boleh sahaja. Kejap, saya ambil barang saya." Helena bersuara dengan senyuman manis. Raeya yang melihat sudah memerah wajahnya pula.

Mendengarkan itu, pantas sahaja Ny mengambil barang-barang yang terasa perlu itu. "Ah, tak apa Helena. Saya boleh bawakan. Lagi pun awak yang minta saya ambilkan jika saya akan gerak ke sini." Tuturnya.

"Alright, terima kasih Ny!" Balas Helena dengan lambaian tangan mesra. Ny membalasnya dengan agak teragak-agak.

Setelah berkenalan mesra, bertukar-tukar soalan dan bercerita sepanjang perjalanan mereka bergerak turun dari kawasan pergunungan itu, akhirnya mereka tiba di bawah yang mana mengembalikan mereka ke jalan utama. Baiklah, Kota Feasouther menjadi tujuan terakhir mereka kini.

Perjalanan mereka agak kekok tanpa perbualan tatkala munculnya ahli baharu dalam ekspedisi mereka itu. Namun, suasana di situ berasa agak suram apabila Ny berwajah masam dan Melaine pula seperti sedang menyembunyikan sesuatu. 

Nasib baik Helena yang mengetuai perjalanan mereka memancarkan aura kegembiraan dan ketenangan. Dia tidak bersuara, namun hanya bersenandung perlahan demi menikmati perjalanannya. Raeya dan Taikuri pula turut mengamati pemandangan dengan penuh asyik.

Namun begitu, tenang mereka itu tidak lama apabila bunyi ladam kuda dari kejauhan mula mengganggu ketenteraman mereka. Pada asalnya, mereka berada di pertengahan jalan tetapi kini harus bergerak ke tepi bagi memberikan laluan.

"Kenapa... Kereta kuda tu jalan perlahan sangat?" Soal Raeya yang tertoleh-toleh sedikit ke belakang. Jika sudah diberikan laluan, haruslah mereka bergerak pantas agar dapat menyenangkan orang lain, bukan?

"Dia ikut kita." Balas Melaine yang mana mengejutkan mereka kerana nadanya sangatlah serius. "Tapi biar je. Buat-buat tak tahu." Sambungnya lagi sedikit dingin. Ini merupakan satu isyarat buat rakan-rakannya untuk tidak menoleh ke belakang.

Anggukan kecil dapat mereka lihat diberikan oleh Helena yang langsung tidak memandang mereka. Seperti tahu-tahu sahaja apa yang bakal berlaku.

Suasana sunyi, hanya ditemani dengan derapan tapak kaki mereka dan bunyi ladam kuda yang membawa sebuah gerabak tertutup di belakangnya. Janggal benar keadaan mereka di situ pada ketika ini.

Pelepah EmasWhere stories live. Discover now