||24||

39 9 1
                                    

Di hujung Kota Feasouther, terlihatnya satu cahaya terang yang semakin lama semakin malap. Lama-kelamaan, cahaya tersebut menghilang dan memaparkan enam orang remaja bersama seorang insan yang berkelubung.

"Kenapa kita kena berkelakuan mencurigakan kalau boleh mengaku tidak bersalah? Keluar dengan kau orang ni memang membawa padahlah." Bebel Urshia tatkala dia sedar bahawa mereka kini sedang berada di tempat lain. Suasana asing itu diamatinya.

Mereka bertujuh berada di hujung Kota Feasouther yang mana menempatkan bukit-bukau dan batu-batuan yang mengelilingi kota tersebut. Jika dikira-kira, mereka kini berada di jalan mati dan tidak selamat.

"Mereka sudah cam kita." Balas Zalchria. "Mereka itu bukan sahaja pegawai biasa, ada daripada mereka adalah The Hunters. Mereka ternampak aku dan Ny sebagai The Protectors jadi kita semua telah menjadi target mereka." Sambungnya.

"Dan kalian berdua ada bersama kami, lebih ketat rondaan yang bakal dilakukan mereka nanti." Ujar Zalchria lagi sambil memandang Raeya dan insan berkelubung itu bersilih ganti. 

Raeya segera menoleh ke arah insan tersebut. Dahinya berkerut-kerut seperti sedang memikirkan sesuatu yang serius. Siapakah insan tersebut sehingga menyebabkan mereka semua dikejar? Jika dirinya, dia tahu bahawa sayap emasnya itu yang dikejar-kejar oleh mereka. Tetapi insan tersebut...

Secebis warna hijau terang dapat dilihat disebalik kegelapan kelubung yang melindungi wajah insan tersebut. Mata Raeya membulat, dia kenal akan warna itu. Sejak kecil, mata itulah yang sering melihatnya dengan penuh kasih sayang.

Raeya melihat insan tersebut atas bawah, menganalisis susuk tubuh dan ketinggiannya. Meskipun berkelubung, dia kenal akan gaya insan tersebut walau sudah lama mereka tidak bersua muka.

"Mama?" 

Insan tersebut tersentak. Pergerakan tubuhnya mengesahkan sangsi Raeya. Sahabat-sahabatnya yang lain sekadar memerhati dan menantikan apa yang akan berlaku seterusnya.

"Ya, sayang?" Balas insan tersebut sambil menarik hudnya ke belakang. Terserlahlah kehijauan mata Arabella yang merenung Raeya. Kedut pada matanya kelihatan apabila dia menguntum senyuman.

Raeya tergamam. Selama dia tinggal dengan makcik dan pakciknya di Flightwest, dia sering tidak dapat berjumpa dengan mamanya. Sejak bapanya meninggalkan mereka pada waktu dia berusia sangat kecil, mamanya tidak lagi dapat menjaganya sepenuhnya.

Dan kini, di hadapannya itu adalah wanita yang melahirkannya meski tidak mengajarnya tentang dunia sepertimana makcik dan pakciknya. 

"Weh, mama kau!" Taikuri bersuara serentak dengan Raeya yang berlari ke arah Arabella tanpa segan silu. 

Wanita itu dipeluk Raeya erat. Semua yang melihat sekadar melopong dengan kejadian yang berlaku di hadapan mereka itu. Zalchria pula sempat tersenyum nipis.

"Rae," sebut Arabella dengan lembut sekali. Dia membalas pelukan tersebut penuh erat. Anaknya yang sudah lama dia tidak bertemu kini sudah berada di dalam dakapannya meski pada waktu yang tidak sesuai.

Rambut Raeya diusap penuh kasih sayang sebelum dahi jejaka itu dikucup lembut oleh mamanya. Raeya sekadar mengetatkan pelukan, kepalanya disembunyikan di sebalik lekuk leher Arabella. Tinggi Raeya kini sudah melebihi Arabella. Oleh itu, jejaka itu perlu menunduk demi memeluk mamanya.

Mereka yang lain sekadar berdiri di sisi, memerhatikan segala drama yang berlaku di hadapan mereka. Taikuri tersenyum bangga sambil mencekak pinggang, Melaine di sebelahnya sudah mengusap-usap mata, Ny sekadar memandang kosong, Urshia hanya mengerutkan dahi manakala Zalchria pula tersenyum nipis seraya menggeleng-gelengkan kepala.

Pelepah EmasKde žijí příběhy. Začni objevovat