|| 18 ||

94 12 0
                                    

"Aku dah cakap masa dekat tavern hari itu kan, kau hutang penjelasan dengan aku. Jadi bila nak bayar hutang?" Soal Urshia dalam perjalanan mereka pada hari itu. Mereka kini sedang bergerak ke Kota Feasouther dalam kelajuan yang sukar dijangka.

Setelah perbualan Zalchria dengan wanita pelayan di kedai makan Kota Aveast hari itu, rakan yang mengheretnya ke luar universiti itu menjadi semakin diam dan bertambah serius. Jika dilihat, kerutan sering terserlah di dahinya kini berbanding senyuman yang sering diukir bagi menenangkan dan meyakinkan Urshia agar mengikutinya.

The Protector? Zalchria ketua unit keselamatan dan penyiasatan? Apakah semua itu? Langsung tiada penjelasan lagi yang diberi oleh Zalchria buat Urshia. Apa yang istimewa sangat si Raeya dan Taikuri itu sehingga disebut oleh orang luar?

Fikir Urshia, Zalchria sengaja sahaja ingin mengekori dua sahabat mereka itu. Nampaknya, ada sebab di sebaliknya. 

Senyuman nipis Zalchria hadiahkan buat Urshia yang berjalan di sebelahnya. Rakannya itu sudahlah dibawa ke sana dan ke sini, selepas itu dipulaunya pula sehari. Dia menarik nafas dalam kemudian menghelanya perlahan. Emosi tidak akan menyelesaikan masalah.

"Nantilah Urshia, tunggu kita berjaya jumpa mana-mana kereta kuda dahulu baru saya ceritakan nanti. Penat nanti jika mahu bercerita sambil berjalan." Balas Zalchria dengan lembut. Belakang tengkuknya diusap tanda tidak selesa dengan soalan yang ditanya.

Mendengarkan jawapan itu, Urshia sekadar melakukan rolleyes kerana dia tahu, Zalchria masih belum bersedia untuk menjawab persoalannya yang bakal diberikan bertubi-tubi nanti. Tetapi dia sabar kerana dia faham akan kemelut masalah yang menjerut rakannya itu sekarang ini.

"Kau ni pun, aku tahulah aku punya sayap warna hitam dan kau warna putih tapi kita tak ada beza sangat pun. Aku manusia juga, kau pun sama. Nak tanggung berat bahu kau tu, aku boleh bantu. Jangan buat seorang-seorang." Tutur Urshia secara tiba-tiba.

Zalchria yang terkejut akan kata-kata itu segera menoleh. Jelas kerutan di dahinya menunjukkan bahawa dia tidak faham. "Maksud awak?"

"Maksudnya, kalau kau perlukan pertolongan aku, bagitahu sajalah. Aku tak ada masalah pun nak tolong kau." Jawab Urshia tanpa memandang Zalchria. 

"Oh, terima kasih."

"Tak perlu terima kasihlah. Lagipun, aku ni dahlah banyak assignment lepastu kau bawa aku ke hulu ke hilir, aku pun dah tak tahu kerja aku jalan macam mana. Kalau aku tak lepas semester ni, aku humban kau masuk semak belakang universiti tu." Sambut Urshia yang sudah berpeluk tubuh. Matanya mencerlung ke hadapan seperti tidak mahu menunjukkan amarahnya pada Zalchria.

Zalchria tertawa kecil kemudian mengangguk faham. Sudah pun bersayap hitam, pasti ada saja kerenah yang dapat dikenalpasti di situ.

"Yalah, kalau awak ada masalah pun saya boleh tolong juga. Macam yang pernah saya kata, saya ajak awak bersama saya sebab awak memang baik."

"Ish, diamlah."

☆:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::☆

Tiupan angin lembut memasuki sebuah bilik rumah tumpangan sehingga mengibarkan kain langsir yang berada di sisi tingkap. Arabella yang sedang mengintai setiap manusia dari biliknya itu bersenandung perlahan apabila angin itu menyapa wajah bersihnya.

Dari rumah tumpangannya itu, seluruh Kota Flighwest dapat dilihat dengan jelas dari tingkat yang didudukinya itu. Manusia berjalan merata bukan sahaja di tanah rata malah ada juga yang berada di udara. Remaja bergurau senda, dewasa pula berbual mesra. Di kota ini, kanak-kanak jarang dilihat kerana kesibukannya bakal membahayakan mereka.

Derapan ladam kuda dan tayar kayu juga didengarinya dengan penuh asyik. Sudah lama tidak dia nikmati suasana yang riuh dan bising kerana tempat tinggalnya itu hanyalah dihiasi bunyi alam semula jadi dan damai. Adalah sekali dua bunyi kuat milik makhluk di tempatnya yang mana mengejutkan kesemua penduduk di situ.

"Hah..." Arabella mengeluh kecil kemudian merehatkan kepalanya di bibir tingkap. Matanya redup melihat seluruh kota itu dengan minda yang sarat dengan nostalgia.

"Kalau dia ada dekat sini lagi, mesti kita jadi keluarga bahagia kan Raeya?" Tuturnya perlahan. 

Sedang dia tekun melihat keadaan kota itu, beberapa pegawai darat dan udara yang berlegar-legar di situ telah menarik minatnya. Dia mengerutkan dahi akibat kekeliruan yang bertandang di fikiran.

Jarang sekali pegawai akan berkumpul ramai di satu tempat melainkan ada perkara yang mustahak dan berat. Ada kes kecuriankah? Atau mereka sedang mencari dan menyiasat sesuatu?

Bip! Bip!

Arabella segera menoleh ke belakang. Alat komunikasi yang diletakkan di atas meja solek terus sahaja dipandangnya. Ia berbunyi dan bergetar, menandakan ada sesuatu yang mustahak memerlukannya. Hal ini demikian kerana, di Noctu Aviary, mereka mementingkan surat-menyurat dan alat komunikasi amatlah jarang digunakan.

Membahayakan dunia, kata mereka. Terlalu maju akan membawa kemudaratan, fikir manusia.

Perkara itu benar juga kerana alat komunikasi mampu mengganggu privasi manusia jika digodam tanpa disedari sesiapa. Lebih selamat jika menggunakan surat untuk berbual jarak jauh.

Dia segera bangkit dari duduk dan berlari ke arah terletaknya alat komunikasi itu. Butang terima ditekan maka terserlahlah wajah dua orang manusia yang sedang menunggu untuk panggilan video mereka diterima.

"Asher dan Aleida? Kenapa?" Soal Arabella, bingung sekali.

"Maaf kak Bell, saya tak ada masa nak hantar surat tapi saya rasa kak Bell kena pergi dari Flightwest secepat mungkin." Asher lantas bersuara setelah Arabella mengutarakan soalannya.

Arabella sudah berasa tidak sedap hati. Kerutan di dahinya jelas kelihatan. "Tapi kak tak ada kena-mengena dengan kes Raeya. Kak datang sini atas tujuan melawat." Tuturnya, menjustifikasikan asbab dia berada di kota ini.

Gelengan kecil Aleida berikan sebagai balasan. "Kami tahu tu, kak Bell. Tapi masalahnya Nik pun dah tutup bengkel, takut dipersoal. Kalau benar mereka mencari apa-apa kaitan dengan pelepah emas itu, saya rasa lebih baik kak Bell tinggalkan Flightwest atau berada di rumah tumpangan itu tanpa keluar." Sarannya, lembut.

"Jadi pegawai-pegawai yang kak nampak tu ada kena-mengena dengan pelepah emas yang dijumpai di universiti Raeya itu? Habislah." Ujar Arabella yang sudah pun berdiri. Alat komunikasi itu dibawa bersamanya ke tingkap untuk mengintai ke bawah.

"Ya, itu betul. Tapi yang saya risau adalah jika ada di antara ahli The Hunter yang berjaya menyelinap dan menyamar menjadi pegawai supaya boleh mengorek maklumat keberadaan mereka." Lekas Asher bersuara. Matanya fokus melihat skrin agar dapat melihat apa yang Arabella lihatkan juga.

Arabella segera mengangguk faham. "Raeya dan mereka yang lain sedang bergerak ke Feasouther kan? Nanti kak cuba cari jalan keluar dan ke sana." Katanya.

"The Protector akan sentiasa bersama kak Bell." Ujar Aleida dengan bersemangat sebelum talian ditutup oleh Arabella sendiri. Wanita itu segera menjauhi tingkap apabila merasakan sesuatu sedang melihatnya dari bawah.

Di antara keramaian kota Flightwest itu pula, seorang pegawai sedang mengerutkan dahi sambil mendongak ke arah sebuah rumah tumpangan yang agak tinggi. Topinya ditolak sedikit ke atas agar dapat melihat dengan lebih jelas. Dia seperti terlihat sesuatu, namun hilang pula selepas itu.

"Hoi, cepat sikit. Nanti tertinggal." Tegur salah seorang rakan sekerjanya. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan dan mengejar rakannya itu dari belakang.

Arabella menghela nafas lega setelah kelibat pegawai itu tidak dilihat lagi dari intaiannya. Tingkap ditutup pantas, barang yang ada dikemas lekas.

Niatnya untuk membiarkan Raeya berdikari kini tergendala begitu sahaja.

Pelepah EmasWhere stories live. Discover now