|| 11 ||

125 24 0
                                    

Matahari yang kian menunjukkan diri terik menyinari seluruh Kota Aveast. Namun, bahagian sisi kedai yang Raeya tuju langsung tidak mengena sinar bahangnya. Redup, memudahkan seseorang untuk melakukan perbuatan terkutuk.

"Siapa kau?" Tanya salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut. Senjata yang dipegangnya direhatkan ke bahu manakala wajah polos Raeya pula dipandangnya dengan jongketan kening.

Tangan kanan Raeya yang terletak di belakang sudah mencapai pisau lipat yang disangkut pada tali pinggang yang terdapat dalam jaket bajunya. Lelaki yang menyoal itu dipandang sebelum senyuman senget terbit di wajahnya. "Aku Raeya." Jawabnya.

"Eh, bangganya muka." Tegur lelaki itu sedikit menyampah. Kini, kesemua ahli kumpulan itu memusatkan perhatian mereka pada Raeya yang berdiri penuh sempoi di hadapan mereka.

"Expect aku buat muka apa? Dah tanya, aku jawab." Balas Raeya, tidak gentar. Dia tahu bahawa dirinya tidak boleh terbang buat masa ini namun, jangan main-main dengan kelincahannya.

Apabila bahang matahari sudah terasa, tekanan pun turut memainkan peranan dalam memanaskan lagi pertarungan yang bakal berlangsung itu. Demi menyelamatkan orang yang tidak bersalah, Raeya akan melakukan apa sahaja.

"Apa yang kau nak dengan orang tu?" Soal Raeya lalu bermain dengan pisau lipatnya yang sedari tadi disorokkan. Matanya bergerak ke atas dan ke bawah mengikut pergerakan pisau lipatnya yang dicampakkan ke udara lalu jatuh mengikut tarikan graviti ke atas tangannya semula.

Salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut memandang ke arah belakang. Insan yang berkelubung itu dipandangnya jelik.

"Budak ni? Dia ada informasi yang penting tapi tidak tahu apa-apa. Jika kami bertemu dengan orang yang salah, kami telah diarahkan oleh ketua kami untuk membunuh orang itu." Beritahunya. Sang kecil berkelubung itu ditarik kasar agar berdiri di hadapan mereka.

Tanpa membuang masa, Raeya segera menarik insan bersusuk kecil itu supaya berdiri di belakangnya sebagai pelindung. Terkejut dengan tindakan Raeya, seluruh ahli kumpulan tersebut sudah mula menaikkan senjata terhadap Raeya.

"Aduhai, orang dewasa memang tak berhati perut ya?" Gumam Raeya sambil menggelengkan kepalanya. Api pada pisau lipatnya sudah dinyalakan.

"Bagi balik budak tu!" Jerit mereka semua lalu bergerak laju ke arah Raeya. Nampaknya, senjata mereka hanya kosong, tidak dipergagahkan dengan teras alchemy mereka. Hah, jika begini mudahnya untuk dikalahkan.

Disebabkan Raeya masih belum berlesen untuk berlawan secara sah, dia hanya menggores tanah agar api marak menghadirkan kepulan asap yang dapat menyembunyikan mereka daripada pandangan kumpulan tersebut. Segera dia menarik tangan susuk kecil berkelubung tersebut agar melarikan diri bersamanya.

Suara-suara yang menjerit semakin jelas ke pendengaran bermakna sekumpulan lelaki tersebut bakal berjaya mendekati mereka. Melihatkan itu, Raeya menjadi sedikit cemas.

"-Ang..."

Raeya menoleh ke arah susuk kecil itu. Pelik dia apabila suara yang dikeluarkan halus dan perlahan.

"Apa dia?" Soalnya bagi mendapatkan penjelasan.

"Terbang!" Bisik susuk kecil itu dengan agak kuat.

Namun, itu bukan satu pilihan buat Raeya. Sekiranya ahli kumpulan itu melihat sayapnya, dia bakal diburu seperti insan yang mempunyai informasi ini!

Memandangkan insan berkelubung itu mempunyai susuk yang kecil, Raeya lantas mendukungnya tanpa segan silu. Apa lagi, menjerit kecil insan tersebut akibat terkejut.

"Err... Aku tak boleh terbang buat masa ni. Sayap aku... Cedera hari tu!" Dalih Raeya tanpa memandang wajah insan yang dikendongnya itu. Matanya lurus memandang hadapan, fokus dalam pelariannya sahaja.

Tali pinggang yang terikat pada bahunya segera dilihat. Beberapa botol kecil yang terdapat bahan kimia di dalamnya terletak cantik pada poket-poket yang ada pada tali pinggang tersebut.

"Kau." Panggil Raeya pada insan yang dikendong memandangkan dia masih belum sempat untuk bertanya berkenaan namanya.

Apabila panggilannya seperti didengari, dia berkata lagi. "Ambil botol yang ada dekat bahu aku ni, campak pada mereka. Aku sayang botol-botol tu tapi tak apa. Ambil dua yang berlainan warna, campak serentak. Chemical yang bersatu akan mencipta asap yang lebih banyak dan beracun."

Insan bersusuk kecil itu mengangguk faham. Tangannya mengambil dua botol yang mengandungi bahan tidak diketahui namun setiap daripadanya diselang-selikan dengan dua warna yang berbeza. Daripada situlah dia tahu bahawa dua bahan itu harus disatukan untuk mencipta sesuatu.

Matanya fokus mencari jarak yang bagus. Sebaik sahaja Raeya menambahkan kelajuan dalam pelarian mereka, dia pantas mencampak kedua-dua botol kecil seperti yang diarahkan. Serta-merta kepulan asap memenuhi pandangan sekumpulan lelaki itu.

Jeritan-jeritan ahli kumpulan tersebut semakin berkurang buat halwa telinga mereka. Kali ini, langkah Raeya sudah pun mendekati orang ramai. Insan berkelubung itu menghela nafas lega kerana botol yang dicampaknya itu jatuh tepat pada masanya. Tidak adalah mencederakan mereka yang tidak bersalah.

"Awak boleh letak saya sekarang." Arah insan tersebut sedikit keras apabila orang sekeliling mula memandang.

Bagai dipanah kesedaran, Raeya lantas meletakkan insan itu ke bawah. "Oh, maafkan aku." Pintanya, sedikit kekok. "Nama kau?"

Tiada niat untuk menjawab, susuk kecil itu segera berpaling dan melarikan diri. Hud yang menutupi kepalanya ditiup angin akibat lariannya. Tanpa dipinta, rambut panjangnya yang kemerahan itu menarik perhatian Raeya yang memandang.

"Perempuan? Yang aku dukung tadi tu perempuan?! Patutlah ringan!" Gumam Raeya pada dirinya sendiri dalam nada tidak percaya. Bahunya diraba-raba bagi mengira botol kecil yang tinggal dalam masa yang sama.

Pap! Kedua bahunya ditepuk dari belakang. Melatah Raeya di situ.

"Kau pergi mana?! Puas aku cari tahu tak?!" Marah Taikuri tanpa mengisahkan orang sekeliling. Suaranya yang ditinggikan itu menggerunkan Raeya.

"Kau yang tinggalkan aku dulu tau! Rugi kau tak dapat selamatkan seorang 'damsel in distress'." Ujar Raeya kemudian tertawa sendiri sambil menutup mulutnya. Pandangan matanya jelas sedang mengejek Taikuri.

Taikuri sekadar menjulingkan matanya ke atas tanda menyampah. "Hek eleh, aku sudah ada girlfriend tahu? Perempuan mana kau selamatkan tu?" Soalnya dalam nada jengkel.

Mata Raeya perlahan-lahan melirik ke arah jalan yang sudah pun dipenuhi rakyat Kota Aveast. Kelibat gadis itu tidak lagi kelihatan.

"Entah, tak kenal." Balasnya bersahaja dengan kedua tangan yang direhatkan ke belakang kepala. "Dahlah Taikuri, aku nak balik. Malas aku nak layan kau. Dahlah tinggalkan aku." Rajuknya pula lalu berjalan laju. Sahabat di belakang ditinggalkan tanpa simpati.

Membulat mata Taikuri memandang Raeya. Terkedek-kedek dia mengejar dalam keramaian itu. "Kau ni Raeya, suka betul ikut kepala sendiri."

Meskipun Raeya dapat menangkap apa yang diperkatakan Taikuri, dia terus sahaja berjalan ke hadapan sambil menjelirkan lidah sebagai tanda mengejek. Dalam diam, hatinya memegang hasrat agar dipertemukan dengan gadis berambut merah itu lagi.

Pelepah EmasWhere stories live. Discover now