WILDAN | 26

1.9K 130 6
                                    

[Attention: Any incidents/situation stated in this chapter is from author's imagination only. Do not relate with real places and stories.]

   Sesungguhnya Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuannya.

   Selepas hampir separuh hari berjalan dari tapak perkhemahan mereka semalam, Alisa dan lelaki bertopeng itu akhirnya berjaya keluar dari hutan itu. Benar sangkaan lelaki itu. Denai yang mereka gunakan sememangnya laluan yang menghubungkan jeti kayu itu dan perkampungan yang mereka temui kini.

   หมู่บ้านริมป่า

   Itu yang ditulis pada pintu gerbang yang mereka temui sebaik sahaja keluar dari kawasan hutan.

   Entah apa yang ditulis, Alisa langsung tidak faham. Lelaki di sebelahnya dipandang.

   "Apa yang dia tulis tu?" Tanyanya.

   "Aku pun tak faham," jawab lelaki itu. Dia tidak tahu membaca tulisan Thai. Bahasa itu hanya dipelajari sedikit sebelum datang ke Thailand. Itu pun hanya asas sahaja.

   Kepala diangkat kembali memandang pintu gerbang di hadapan mereka. Jauh dari pintu itu, mereka dapat melihat banyak rumah kampung yang dibina secara bersebelahan. Laluan tengah dibiarkan kosong, mungkin untuk memudahkan laluan pengangkutan. Rumah yang dibina pula tidak daif, namun tidaklah pula terlalu mewah. Hanya dibina dengan berasaskan kayu dan batu. Ada yang tidak dicat pun.

   "Jom," ajak lelaki itu.

   "Pergi mana?" Tanya Alisa.

   "Pergi kampung tu. Nak minta bantuan," jawab lelaki itu. Dia sudah mula berjalan sebelum diikuti oleh Alisa dari belakang.

   Mereka berjalan menyusuri rumah-rumah yang berada di kiri dan kanan mereka. Orang-orang kampung yang memandang aneh tidak dihiraukan. Mulanya Alisa rasa segan kerana diperhatikan namun pantas rasa segan itu dibuang. Mereka bukannya buat benda yang memalukan, mereka hanya datang untuk mencari bantuan. Sudahnya, Alisa hanya menghadiahkan senyuman dan anggukan kepada orang sekeliling.

   "Assalamualaikum," Sekonyong-konyong ada satu suara memberi salam datang dari belakang mereka.

   Mereka serentak berpaling ke belakang. Pandangan mata disapa oleh seorang lelaki tua berjanggut yang memakai serban. Salam dijawab perlahan.

   Lelaki tua itu tersenyum sebelum menyatakan sesuatu kepada mereka dalam bahasa Thai. Alisa dan lelaki bertopeng itu terdiam. Tidak faham.

   Mungkin menyedari kedua-dua orang asing itu tidak memahami apa yang dipertuturkan, lelaki tua itu akhirnya mengisyaratkan mereka berdua agar mengikutinya.

   Alisa dan lelaki bertopeng itu saling berpandangan sebelum mengikuti langkah lelaki tua itu. Mereka berjalan sehingga ke hujung kampung tersebut. Terdapat sebuah rumah kayu yang lebih besar daripada rumah-rumah lain di sekelilingnya.

   Namun apa yang lebih menarik perhatian ialah terdapat sebuah masjid bersaiz sederhana yang diperbuat daripada kayu di sebelah rumah tersebut.

   "Mungkin ini perkampungan Islam," bisik lelaki bertopeng apabila menyedari Alisa yang tidak berkedip memandang binaan tersebut.

   Alisa pula hanya mengangguk. Mereka kemudiannya dijemput naik ke rumah kayu tersebut.

   Seorang wanita muda muncul dari dalam rumah sebelum mempersilakan mereka untuk masuk ke dalam. Lelaki tua itu pula terus menghilangkan diri di sebalik sebuah pintu di sebelah kanan rumah.

   Alisa dan lelaki bertopeng itu mengambil tempat di atas kerusi rotan di dalam ruang yang dikira sebagai ruang tamu. Seluruh bahagian dalam rumah itu diperhati. Ada ayat-ayat Al-Quran yang terukir pada dinding. Ada juga bingkai gambar yang diperbuat daripada kayu dan diletakkan gambar lelaki tua tadi.

   Alisa mendekatkan diri kepada lelaki bertopeng yang duduk di kerusi sebelah.

   "Apa yang kita buat dekat sini?" Bisik Alisa. Hampir sepuluh minit mereka menunggu namun lelaki tua itu belum muncul.

   "Aku tak tahu. Kita tunggu je dulu," balas lelaki bertopeng itu. Matanya memandang sekeliling sebagai langkah berjaga-jaga. Walaupun kawasan ini kelihatan selamat, namun mereka tidak boleh terlalu leka. Mereka tidak biasa di kawasan ini, apatah lagi bahasa yang digunakan juga langsung tidak difahami. Bahasa Thai yang digunakan tidak kedengaran seperti bahasa Thai yang biasa didengari. Namun lebih kedengaran seperti dialek tertentu.

   Wanita muda tadi datang membawa dulang yang berisi cawan dan teko berisi teh. Dia kemudiannya menuangkan air untuk mereka sebelum bangun dan mengundur diri. Alisa tidak pasti sama ada dia salah melihat atau perasaannya sahaja tangan wanita itu menggeletar semasa menuang air.

   Alisa ingin mencapai cawan yang berisi teh panas itu namun lelaki bertopeng itu lebih pantas menahan.

   "Kenapa? Saya dahaga ni," protes Alisa. Sekali lagi cawan itu cuba dicapai namun sekali lagi lelaki itu menahan.

   "Apa masalah awak ni?" Alisa sudah mula menyinga. Minum air pun salah ke?

   "Jangan minum. Kita tak tahu apa yang dia letak dalam tu," tegah lelaki bertopeng itu. Dia rasa tidak sedap hati. Seperti ada yang tidak kena.

   "Kenapa pula? Takkanlah diorang ni jahat? Awak pun dengar pak cik tu bagi salam tadi kan?" Alisa mengerutkan keningnya.

   "Aku tak pekak lagi tak dengar dia bagi salam tadi. Tapi setakat bagi salam, that doesn't prove they are nice people," balas lelaki itu, mengingatkan. Zaman sekarang, walaupun yang bertudung labuh pun ada yang sebenarnya bukan orang yang baik-baik.

   Alisa terdiam. Ada benar kata-kata lelaki itu. Tetapi adilkah kalau menilai seseorang itu hanya dari pandangan sendiri? Tanpa mengenali seseorang itu dengan lebih mendalam?

   Dia mahu menjawab namun bunyi tapak kaki memijak lantai kayu dari luar rumah membantutkan niatnya. Mereka berpaling ke arah muka pintu. Kelihatan seorang lelaki yang mungkin berumur lebih kurang tiga puluh tahun masuk ke dalam rumah.

   Lelaki tua yang mengajak mereka tadi keluar dari pintu yang dimasukinya tadi sebelum bersalaman dengan lelaki itu.

   Kedua-duanya berjalan ke arah tempat Alisa dan lelaki bertopeng duduk.

   "Assalamualaikum," ucap lelaki itu.

   "Waalaikumussalam," jawab Alisa. Lelaki bertopeng di sebelahnya pula diam tidak menjawab. Matanya memandang tajam lelaki itu. Nampak mencurigakan.

   "My name is Akbar. What's your name?" Tanya lelaki itu kepada Alisa. Matanya memandang tidak lepas akan gadis di hadapannya itu.

   "A.." Baru sahaja Alisa mahu menjawab, lelaki bertopeng itu lekas mencantas. "Maryam. Her name is Maryam," katanya. Pandangan matanya bertemu dengan pandangan mata Akbar. Walaupun mata Akbar kelihatan tenang, namun dia dapat melihat ketidakpuasan hati di sebalik pandangan tenang itu.

   Akbar tersenyum. Mata dikerling ke arah lelaki tua di sebelahnya. Sesudah itu, lelaki bertopeng itu pula dipandangnya.

   "And your name is?"

   "Fateh," jawab lelaki bertopeng itu. Tangan yang dihulurkan oleh Akbar disambut. Dapat dirasai ketegangan di situ.

   Alisa berpaling. Fateh? Itukah nama lelaki bertopeng itu? Kepalanya ditunduk semula. Fateh. Bibirnya tersenyum. Sekarang dia sudah tahu nama sebenar penyelamatnya itu. Walaupun dia tidak pasti mengapa Fateh menipu mengenai namanya, namun lelaki itu pasti mempunyai sebab yang tersendiri.

   Akbar kemudiannya bercakap-cakap dengan lelaki tua itu. Fateh memandang tajam kedua-duanya tanpa terlepas walau satu saat.

   Seketika kemudian Akbar berpaling ke arah mereka berdua semula.

   "This is Imam Malek. Our leader in this village," katanya sambil menunjuk ke arah lelaki tua di sebelahnya.

   Lelaki tua itu pula hanya mengangguk sambil tersenyum.

WILDAN ✓Where stories live. Discover now