WILDAN | 54

1.8K 162 36
                                    

   Masuk saja ke dalam kereta, Alisa terus menyandarkan tubuh ke belakang tempat duduk. Matanya dipejam.

   Hari kerja yang sangat memenatkan. Ramai pula pesakit yang datang ke klinik hari ini. Bukan tidak biasa melayan ramai pesakit namun hari ini penatnya terasa berganda-ganda kerana semalam dia tidur lewat.

   Rasanya hampir pukul tiga baru dia dapat melelapkan mata. Berbual dengan Sarah sampai pukul dua belas kemudian mengelamun di atas katil tanpa sedar hari sudah menginjak pagi.

   Doa menaiki kenderaan dibaca perlahan sebelum handbreak ditolak. Dengan lafaz suci basmalah kereta diundur dari kotak parking sebelum dipandu ke jalan besar.

   Sepanjang memandu, tak habis-habis mulutnya menguap menahan kantuk. Satu badan terasa letih dan tak bermaya. Semalam tidur lewat, hari ini pula overworked. Memang berbisa satu badan dibuatnya.

   Terkelip-kelip matanya menahan daripada tertutup. Akhirnya, dia tak dapat menahan lagi. Sebelum dia terlanggar pokok atau kereta orang lain, lebih baik dia berhenti di tepi jalan dahulu.

   Sebaik sahaja berhenti, kepala Alisa jatuhkan ke atas stereng untuk seketika. Niatnya mahu tidur sekejap untuk lima minit. Aircond ditutup dan tingkap dibuka sedikit sahaja untuk memudahkan pengaliran udara.

   Hampir tiga minit terlelap barulah dia tersedar. Angkat sahaja kepala, barulah dia tersedar di mana dia berada. Kiri dan kanan dipandang. Kosong dan sunyi. Tidak ada walau satu pun kenderaan yang lalu lalang.

   Segera enjin dihidupkan kembali untuk menyambubg pemanduan. Keadaan yang sunyi dan semakin gelap menakutkan Alisa.

   Baru sahaja keretanya mahu bergerak, sebuah motosikal berhenti di hadapan keretanya. Alisa tergamam.

   Seorang lelaki yang membonceng di belakang motosikal itu turun lalu menghunuskan sesuatu ke arah kereta Alisa sambil berjalan laju mendekati kenderaan itu.

   P-Parang?

   Alisa menelan liur. Cepat-cepat dia mahu mengundur namun lelaki itu lebih cepat berhenti di sebelah keretanya.

   Tok! Tok!

   "Keluar!"

   Alisa cemas. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan sekarang.

   "Aku cakap keluar! Buka pintu ni!" Pemegang pintu lelaki itu tarik berkali-kali sebelum cermin diketuk lagi.

   Tok! Tok!

   Alisa geleng. Dia takut. Tangan ingin mencapai telefon bimbit di dalam beg tangan. Namun disebabkan oleh tangannya yang menggeletar teruk, telefon itu jatuh ke bawah tempat duduknya. Alisa rasa mahu menangis. Ya Allah, selamatkanlah aku.

   "Baik kau keluar sebelum aku pecahkan cermin ni! Keluar!" Lelaki di luar itu semakin agresif. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan, takut ada kenderaan yang datang.

   Parang di tangan ditunjukkan dengan riak muka yang bengis.

   Alisa tiada pilihan. Perlahan-lahan pintu dibuka sebelum dia keluar dengan takut-takut.

   Lelaki itu segera menolak Alisa ke tepi sebelum memasuki keretanya. Beg tangan Alisa yang berada di tempat kaki tempat duduk penumpang hadapan cuba dicapai dari tempat duduk pemandu.

   Alisa terjelepok jatuh ke atas jalan tar. Tangannya tergeser menyebabkan calar yang pedih pada tapak tangannya. Alisa mendesis kesakitan.

   Dia segera bangun sebelum baju lelaki itu ditarik ke belakang. Tangan yang naik mahu menumbuk berhenti di tengah jalan.

WILDAN ✓Where stories live. Discover now