WILDAN | 66

2.4K 161 12
                                    

   Siang sudah pun berlalu lalu digantikan dengan malam. Malam itu, langit gelap dipenuhi dengan bintang. Alisa duduk berseorangan di atas kerusi malas di balkoni biliknya sambil merenung langit dengan perasaan takjub. Ma shaa Allah, cantiknya.

   Malam ini, rakan-rakannya yang lain semua sudah pulang. Annisa dan Laila bermalam di sebuah hotel berdekatan memandangkan hanya dua hari sahaja lagi sebelum majlis berlangsung. Jadinya, mereka akan berada di kampung Alisa sehingga habis majlis. Puas Alisa memujuk supaya bermalam sahaja di rumahnya, namun ditolak kerana sudah membayar bayaran semalaman di hotel. Malam esok barulah mereka akan bermalam di rumahnya. Sarah pula pulang ke rumahnya yang terletak di dalam kampung yang sama. Tidak sampai lima minit pun sudah sampai.

   Dia sengaja berkurung di dalam bilik kerana bahagian bawah riuh dengan persiapan akad nikahnya yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Alisa memerlukan sedikit masa untuk berseorangan setelah berbulan-bulan sibuk menguruskan segalanya.

   Perasaan dia? Entah, Alisa sendiri tak tahu. Gembira, teruja, bahagia, sedih, takut dan risau semuanya bergabung. Bahagia kerana akan bersama dengan orang yang diharapkan selama ini. Wildan. Empat tahun Alisa menunggu dan mencari. Tatkala dia hampir berputus asa, barulah Wildan datang kembali. Syukur, Allah mudahkan jodoh mereka.

   Namun sedikit demi sedikit, Alisa juga berasa bimbang dan takut. Takut tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baik. Takut akan perjalanan hidup mereka nanti.

   Kata orang, cabaran selepas berumah tangga ini lebih berat berbanding sebelum berkahwin. Masalah curang, masalah kewangan, anak... semuanya menakutkan. Tapi Alisa yakin, jika mereka saling mempercayai dan berusaha untuk hubungan mereka , setiap ujian yang melanda akan dapat mereka hadapi dengan tenang.

   Bismillah, semoga semuanya baik-baik sahaja.

   Zztt! Zztt!

   Poket seluar yang tiba-tiba terasa bergegar mengejutkan lamunan Alisa. Tangan diseluk lalu telefon yang sedang bergetar itu ditarik keluar. Terlupa yang dia ada mutekan telefonnya tadi.

   Sarah calling...

   "Hello?" Tegur Alisa setelah menjawab panggilan.

   "Lisa..."

   Terus tegak badan Alisa yang sedang bersandar pada kerusi malas. Terkejut mendengar suara Sarah menangis.

   "Weh, kenapa ni? Kenapa kau nangis?" Risau. Tangisan Sarah bukan semakin mereda, namun semakin kuat.

   "Sarah, jawablah. Kenapa kau nangis ni?" Alisa terus mendesak. Siapalah yang berani-berani buat kawannya menangis ini?

   Sarah masih belum menjawab. Hanya terus menangis dan menangis. Dia sudah tak tahan, kali ini dia mahu melepaskan semuanya. Selama ini dia memendam, tidak mahu sesiapa pun risau akan dirinya. Namun kali ini dia terasa mahu lepaskan apa yang dia rasa.

   Alisa senyap. Dia membiarkan Sarah melepaskan apa yang telah dipendam selama ini. Mungkin Sarah hanya perlukan seseorang untuk mendengar, bukan untuk menasihati.

   Badannya disandar kembali ke kerusi. Hati rasa disiat mendengar tangisan pilu rakan baiknya. Sarah yang sentiasa tenang, hari ini menangis sesungguh hati. Walaupun Sarah tiada di depan, namun Alisa dapat membayangkan Sarah sedang menangis berseorangan di dalam biliknya. Sarah memang begitu. Tidak mahu orang lain merisaukannya.

   "Aku... Aku..." Tersekat-sekat suara Sarah di talian. Bukan kerana talian telekomunikasi yang perlahan, namun kerana suaranya yang sedang menahan esak tangisan.

WILDAN ✓Where stories live. Discover now