WILDAN | 61

1.9K 136 6
                                    

Masih imbas kembali :)






   Belakang tapak kanan yang gatal digigit nyamuk digosok perlahan. Dari tadi hampir setiap permukaan kulitnya yang terdedah menjadi sasaran kumpulan nyamuk yang berngeng-ngeng di sekelilingnya.

   Habis gatal dan pedih kulitnya namun itu tidak menghalang Adam daripada meneruskan intipannya.

   Sudah hampir setengah jam dia bertinggung di sebalik kotak yang sebesar peti sejuk itu untuk mengintip kumpulan lelaki yang menculik Alisa tadi.

   Mereka sekarang berada di sebuah pelabuhan kecil yang nampak seperti baru membangun. Kehadiran lampu mentol yang disangkut pada dawai dan bumbung-bumbung kayu bot membantunya melihat keadaan sekeliling.

   Jeti sederhana besar mengunjur ke laut. Di kiri dan kanannya berderet bot dan perahu pelbagai saiz beralun-alun bergerak mengikut pergerakan ombak malam. Ada juga beberapa kapal nelayan yang saiznya lebih besar daripada saiz motorboat yang berada di situ.

   Salah satu daripada kapal itu ialah kapal kumpulan penculik yang menculik Alisa. Tadi Adam melihat salah seorang daripada mereka menaiki kapal tersebut sebelum turun kembali beberapa minit yang lepas.

   "Let's go."

   Adam menajamkan pandangan matanya.

   Jelas pada penglihatannya tiga lelaki tersebut yang mula bergerak untuk menaiki bot. Salah seorang daripada mereka memikul Alisa yang tidak sedarkan diri di atas bahu seperti memikul guni. Adam mengetap bibir menahan amarah yang meruap. Jelas pada matanya tangan lelaki itu yang merayap pada kaki gadis itu sebelum dimarahi lelaki di sebelahnya.

   Tangan kanan digenggam kuat membentuk satu kepalan erat. Meluap-luap nafsu untuk menghancurkan muka lelaki gatal itu. Miang! Pencabul!

   Nafas ditarik dalam sebelum dihembus perlahan-lahan. Mencari semula kewarasan diri yang semakin hilang.

   Huh.

   Intipannya diteruskan. Kali ini Adam bergerak perlahan-lahan mendekati timbunan kotak kayu. Badannya yang tinggi dibongkokkan supaya tidak disedari oleh lelaki-lelaki itu. Sampai sahaja, sekali lagi kumpulan itu diintai. Masih berjalan sambil berbual dengan gembira tanpa menyedari keadaan sekeliling.

   Bagus!

   Kiri dan kanan dipandang. Terus matanya tertancap pada satu lagi timbunan kotak yang lebih kurang sama dengan tempatnya bersembunyi sekarang.

   Kepalanya dijengah, mengintai keadaan sekeliling. Pada kiri dan kanan jeti yang selebar hampir dua puluh meter itu, terdapat beberapa timbunan kotak yang sama seperti timbunan-timbunan tadi. Setiap timbunan itu disusun dengan kemas setinggi hampir empat atau lima kaki.

   Ada tiga timbunan di sebelah kanan dan empat buah timbunan di sebelah kiri termasuk tempat Adam bersembunyi sekarang. Setiap satunya disusun berselang seli kiri dan kanan.

   Adam menarik senyuman senget.

   Now we have a pattern here.

   Kanan. Kakinya berlari laju ke sebuah timbunan kotak di sebelah kanan. Sampai, belakangnya disandar pada kotak itu. Kepala dijengul keluar. Selamat.

   Kali ini Adam berlari ke kiri pula. Entah di mana silapnya, kakinya tiba-tiba tersadung tali pukat yang tersadai di situ menyebabkan tubuhnya terjatuh ke tanah.

   Buk!

   Pantas Adam bergolek ke belakang kotak. Nafas yang tidak teratur distabilkan semula.

WILDAN ✓Where stories live. Discover now