Baby 26

6 2 0
                                    

Sarah sibuk memperbetulkan tudung. Beg sandang yang berisi baju dan peralatan miliknya dipeluk erat. “Kita akan tiba di stesen Seladang Kiri setengah jam lagi. Selepas itu kita akan menaiki keretapi laju terus ke Bandar Bintang.”

Nailofar yang sudah menukar imej, melihat jadual perjalanan keretapi di laman web menggunakan I-Ran. Dia mengenakan sehelai abaya berwarna hitam dan shayla bercorak sepadan.

“Sarah perlu tinggalkan tempat itu dengan segera!” Arahan daripada ayahnya dipatuhi tanpa banyak soal.

Sarah menggesa Nailofar untuk pergi dari hotel tempat mereka menginap. Belum jauh mereka bergerak, bunyi tembakan kedengaran daripada hotel tersebut.

Nailofar terus memandu sehingga ke stesen kapsul Bandar Ciku 4. Di situ, dia menukar pakaian kepada abaya dan shayla seperti yang dikenakannya sekarang. Kereta dibiarkan di tempat parkir dan mereka mengambil kapsul ke Seladang Kiri.

“Kenapa kita ke Seladang Kiri terlebih dahulu?” Soal Sarah.

“Terdapat beberapa stesen kapsul yang boleh digunakan untuk mengambil keretapi laju ke Bandar Bintang. Walaubagaimanapun, stesen Seladang Kiri lebih besar dan ramai orang. Kita akan selamat di kalangan orang ramai.” Sarah mengangguk. Dia ingin membuka mulut lagi dan Nailofar segera merenung tajam. “Jangan sebut apa-apa berkenaan pakaian saya.”

"Baik." Sarah tertawa kecil.

“Di stesen Seladang Kiri, kita akan menaiki koc yang berbeza. Saya mungkin tidak akan turun di Bandar Bintang." Nailofar mengeluarkan sepasang pakaian dari dalam beg Lalu diserahkan kepada Sarah.

"Tukar baju Sarah. Mungkin mereka mempunyai visual kita daripada CAI hotel, serta rekod nombor pendaftaran kereta. Lebih baik kita berpecah. Hubungi ayah Sarah, supaya dapat mengambil Sarah di stesen. Sekiranya terdapat sebarang perkara yang dicurigai, segera laporkan kepada pihak polis.”

“Oh, sebab itu kakak menukar imej kakak?”

Pakaian tadi segera disarung oleh Sarah di sebelah luar. "Perubahan imej saya tidak seketara kakak."

"Diam!"

Tidak lama kemudian, mereka tiba di Stesen Seladang Kecil. “Kita akan berpisah di sini. Berhati-hati dalam perjalanan,” Pesan Nailofar sebelum menghilang di kalangan orang ramai.

Sarah mengeluarkan jaket corak kartun daripada begnya, lalu disarungkan di luar baju. Cermin mata berbingkai tebal yang disimpan di dalam saku beg turut dikeluarkan. Cermin mata itu biasa digunakan ketika menghadap skrin komputer, untuk mengurangkan kadar radiasi serta silau. Dia hanya bersikap biasa dan enggan menarik perhatian orang.

Pengumuman bahawa keretapi laju yang ditunggu akan tiba, menyebabkan Sarah cepat-cepat menanti di tepi landasan. Jarang sekali Sarah menaiki kenderaan awam seperti kapsul dan keretapi. Namun begitu, penerangan yang diberi oleh Nailofar cukup untuk dia memahami bagaimana hendak menggunakan perkhidmatan itu.

Apabila keretapi tiba, semua penumpang beratur di bahagian tepi pintu untuk memberi laluan kepada penumpang lain untuk keluar. Sarah turut beratur, apabila dia terasa dirinya ditarik keluar daripada barisan dan dilempar ke lantai. “Aduh!!” jerit Sarah apabila punggungnya terhentak ke lantai. “Hei, kenapa tarik orang lain?!”

“Kau sangka kau dapat lari, hah budak kecil?!” Jerkah seorang lelaki berkulit sawo matang.

“Walaupun kau menyamar, kami tetap dapat mengecam kau!” Marah seorang yang lebih pendek.

Sarah mengerutkan dahi. “Saya cuma nak balik tuisyen. Kalian tersalah orang agaknya?” Sarah bingkas bangun sambil menepuk-nepuk baju. “Maafkan saya, saya perlu menaiki keretapi itu.” Sarah cuba meloloskan diri, tetapi berjaya ditarik dan dilempar semula ke lantai. “Aduh!!”

“Hei... hei... jangan buat budak perempuan itu begitu.” Orang ramai yang berada di stesen mulai campur tangan.

“Budak, kau tidak apa-apa? Kau kenalkah mereka ini?” Seorang wanita datang membantu Sarah untuk bangun.

Sarah menggeleng dan air mata bergenangan. “Saya tidak kenal pun mereka. Saya cuma mahu pulang ke rumah, tetapi mereka menyebabkan saya tertinggal keretapi.” Sarah mulai menangis teresak-esak.

“Eh, kau berdua patut minta maaf kerana membuatkan budak ini menangis!” Marah wanita itu.

Penumpang lain yang berada di platform juga menggesa kedua mereka meminta maaf kepada Sarah. “Jangan menangis lagi. Adik boleh menunggu keretapi yang seterusnya untuk pulang ke rumah.” Wanita itu memujuk Sarah yang masih menangis. “Kau berdua, cepat minta maaf!”

“Bagaimana Ben? Kita benar-benar tersalah oranglah!” Lelaki yang lebih rendah itu bertanya kepada si sawo matang.

Lelaki yang dipanggil Ben itu mengerutkan dahinya. Beberapa kali dia memeriksa I-Ran untuk memastikan bahawa gadis itu serupa seperti foto yang diterima. Berita pertempuran polis dengan anggota yang lain di Villa Biru Kundang telah sampai ke telinga mereka. Mereka kemudiannya menerima arahan untuk menjejaki penggodam yang menceroboh CAI villa.

Arahan itu membawa mereka ke sebuah hotel di tengah bandar Ciku 4. Mereka berhasil mengugut pengurus di situ untuk memberikan rekod penghuni di bilik yang dimaksudkan beserta dengan visual daripada CAI hotel. Kereta yang direkodkan dalam sistem hotel, ditemui berhampiran stesen kapsul bandar Ciku 4.

Setelah melihat jadual perjalanan kapsul, Ben menduga bahawa mereka akan menemui sasaran mereka di stesen Seladang Kecil. Ketika tiba di stesen itu, dia mengecam seorang gadis yang mempunyai wajah seakan foto yang diterima daripada CAI hotel, sedang beratur untuk memasuki koc keretapi. Tanpa berlengah, dia segera menarik gadis itu dan melemparnya ke lantai.

“Ben, kita benar-benar tersalah orang!” gesa rakannya. “Lebih baik kita pergi dari sini dengan segera!”

Orang ramai terus memandang ke arah keduanya dengan perasaan benci dan meluat. Tidak lama kemudian, keretapi laju tiba sekali lagi. “Biarkan mereka. Ah, orang zaman sekarang memang sudah hilang budi bahasa. Budak kecil pun mahu dibulinya. Adik boleh naiki keretapi ini untuk pulang ke rumah,” pujuk wanita tadi.

"Terima kasih."

Ben dan rakannya hanya memerhatikan gadis kecil itu melangkah masuk ke dalam keretapi. Dia dapat melihat gadis itu mengeluarkan I-Ran, menangkap foto mereka berdua dan tersengih lebar sehingga ke telinga. Namun begitu, belum sempat Ben  berbuat apa-apa, pintu koc telah pun tertutup. Gadis itu terus melambai tangan seakan mengejek-ejek.

"Celaka!"

+++

“Ayah!” Jerit Sarah keriangan sebaik sahaja ternampak kelibat ayahnya, Dato’ Asyraff.

“Sarah tidak apa-apa?” Dato' Asyraff segera membelek anak bongsunya itu. "Cedera tak? Luka tak?"

"Sarah sihat dan kuat! Ayah sangat kacak tanpa rambut di kepala.” Dato’ Asyraff dan pemandunya tertawa kecil.

“Baiklah, kita akan pulang ke apartmen Bandar Bintang dan Sarah boleh berehat sepuasnya di sana.” 

"Ok, ayah." Sarah memeluk ayahnya erat-erat. "Sarah rindukan ayah dan emak. Macam-macam terjadi kepada keluarga kita." Gadis itu menangis tersedu-sedan.

Dato' Asyraff mengusap perlahan kepala Sarah, "Ayah tahu."


Virus L-2Where stories live. Discover now