Bab 4

55 4 0
                                    

Sebaik sahaja orang ramai pulang, Syafii mulai mengemas pinggan-mangkuk yang telah digunakan. Sisa-sisa makanan dimasukkan ke dalam tong sampah khas untuk bahan organik. Terdapat beberapa buah tong sampah yang siap dilabel khas untuk jenis sampah yang berbeza terletak bersebelahan dengan tong organik tadi. Bagi mengurangkan jumlah sampah yang terhasil, setiap penduduk diwajibkan untuk mengasingkan ia kepada beberapa kategori supaya mudah diguna semula atau diuraikan. Malahan jadual mengutip sampah juga dibahagikan mengikut jenis sampah yang dikutip.

Syafii sibuk mencuci pinggan di sinki apabila Luqman Hakim menjenguk. "Kak Fifi, mengapa tak gunakan mesin pencuci pinggan? Kakak letak sahaja di rak mesin dan Fly akan uruskan semuanya! Malahan ia lebih higenik dan menjimatkan air." 

"Jangan membazir elektrik!" Balas Syafii.

"Kak, tujuan ayah pasang Fly adalah untuk uruskan hal-hal sebegini. Jika tidak digunakan, barulah boleh dikatakan membazir. Kakak tinggalkan semua ini dan boleh tumpukan pada tesis Master kakak."

Syafii menggeleng, pura-pura tidak dengar bebelan Luqman.

"Ah, macamlah abang tak tahu?" Sarah yang terdengar perbualan mereka datang mencelah. Tudung ungu berbunga kecil yang dikenakannya masih belum ditanggalkan. Sarah memegang bekas berisi kitab kecil surah Yasin yang dipinjam daripada masjid.

Entah kenapa, meskipun banyak peralatan moden telah dicipta untuk mempermudahkan pembacaan, orang ramai lebih gemar memegang kitab tradisional yang dibuat daripada kertas yang dijilid. Kebanyakkan masjid dan surau masih menyimpan kitab tradisional dan setiap kali ahli kariah ingin meminjam kitab surah Yasin, sedikit deposit diperlukan, kerana harga kertas yang melambung tinggi.

"Apa yang abang tak tahu?" Soal Luqman kembali.

Sarah tersenyum nakal. Tidak semena-mena, sebuah robot kecil penyedut vakum meluru ke kaki Syafii. Serta-merta Syafii menjerit ketakutan dan cuba melarikan diri. Jerit Syafii, "Hentikan! Hentikan!"

Usik Sarah, "Kenapa kakak tidak suruh sahaja Fly untuk hentikannya? Fly juga telah diprogramkan supaya menerima suara kakak sebagai kunci arahan."

Syafii hanya menggeleng. Dia memanjat kerusi sambil memerhatikan robot kecil itu berpusing-pusing di kaki kerusi.

"Sarah, jangan usik Kak Fifi lagi. Kak Fifi ada technophobia kronik. Nanti kakak demam terkejut pula." Luqman mendongak ke arah lelangit dan menyambung, "Fly, hentikan Saucer dan simpan Saucer ke tempat asal."

"Baik." Fly yang merupakan AIDA rumah mereka segera menurut arahan. Robot kecil bernama Saucer itu diarahkan kembali ke tempat simpanan. Sarah yang masih tertawa membantu Syafii turun daripada kerusi.

"Aduh!" Jerit Sarah apabila Syafii mencubit pipinya.

Selesai semua kerja-kerja mengemas, Sarah bertanya, "Kak, berapa lama tempoh emak dan ayah kita ke Mekah?"

Syafii yang baru sahaja duduk membaca majalah, menunjukkan isyarat tiga dengan jari.

"Tiga minggu?"

Syafii mengangguk, "Lebih kurang."

"Selama mereka di sana, adakah kakak akan tinggal di rumah kami?" Sarah masih tidak putus-putus bertanya.

"Maaf sayang, kakak tidak akan tinggal di sini. Ada banyak kerja yang perlu diselesaikan di kampus. Kakak perlu berjumpa profesor berulang-kali berkenaan tesis kakak. Jika ada masa terluang, barulah kakak datang menjenguk kalian berdua."

Sarah menggaru kepala yang tidak gatal. "Jadi, siapa yang akan memasak?"

"Suruhlah Fly kesayangan kamu." Giliran Syafii pula tersenyum sinis.

Virus L-2Where stories live. Discover now