Bab 18

26 2 0
                                    

Sebaik sahaja Syafii mengambil tempat di sofa coklat muda di tepi dinding, Adam Dennis berkata, "Mohon maaf, kerana kami juga tidak mengetahui di manakah Pakcik Amir berada. Dia berjaya meloloskan diri daripada pengawasan kami." Air kosong dituang ke gelas dan disuakan kepada Syafii dan Luqman Hakim.

Soal Syafii, "Siapakah Pakcik Amir kepada kamu?"

Adam Dennis memandang Tengku Zahiruddin, lantas tersenyum simpul. "Pakcik Amir merupakan adik bongsu bapa saya dan juga bapa Zahiruddin."

Tengku Zahiruddin yang masih duduk di katil, tergelak kecil melihat Syafii dan Luqman Hakim kebingungan. Mereka sedang berbual berkenaan strategi mengesan Tengku Amir dan Mel, apabila Sarah dan Luqman Hakim yang berkerusi roda muncul di pintu wad Tengku Zahiruddin.

"Bapa saya, bapa Tengku Zahiruddin dan Tengku Amir merupakan saudara kandung. Namun begitu, bapa saya telah meninggal dunia dua puluh tahun lalu."

Mulut Syafii membentuk huruf 'o'. Ujarnya, "Saya tidak menyangka kalian berdua adalah sepupu."

"Saya lebih banyak mengikut paras rupa ibu berbanding ayah. Baiklah, cukup berkenaan hal saya. Kembali kepada persoalan utama. Mengapa kalian mencari Pakcik Amir?" Adam Dennis lebih banyak bercakap, manakala Tengku Zahiruddin hanya menjadi pendengar.

"Sarah telah menghilangkan diri. Ada yang melihat Sarah mengikuti orang ini." Luqman Hakim menunjukkan I-Ran kepada Adam Dennis. Adam Dennis kemudiannya memberikan I-Ran itu kepada Tengku Zahiruddin.

"Mengapa agaknya Sarah ingin mengikuti Pakcik Amir?" Tengku Zahiruddin akhirnya bersuara.

"Sebelum itu, lebih baik saya ceritakan apa yang telah berlaku pada malam itu." Luqman Hakim bercerita kronologi peristiwa. Tengku Zahiruddin dan Adam Dennis mendengar dengan teliti. Wad tersebut merupakan wad individu dan hanya diduduki oleh Tengku Zahiruddin sahaja. Mereka tidak perlu bimbang ada orang mendengar perkara yang dibincangkan.

"Apabila melihat abang Zahiruddin tersungkur ke lantai dengan darah keluar membuak-buak, kami tahu kami tidak mempunyai peluang untuk menang. Ketika itu, saya teringat berkenaan Virus L-2 ciptaan emak."

"Virus L-2?" Nama itu benar-benar mengejutkan Adam Dennis dan Tengku Zahiruddin.

"Oleh sebab Sarah sangat gemar memanipulasi sistem AIDA rumah kami, emak telah mencipta sebuah program ringkas bernama Virus L-2. Virus L-2 ini akan diaktifkan apabila berlakunya pencerobohan sistem. Namun begitu, android itu berjaya menguasai sepenuhnya sistem Fly sebelum sempat Virus L diaktifkan. Kami terpaksa mengaktifkan Virus L secara manual. Tugasan itu saya serahkan kepada Sarah, sementara saya cuba untuk melengah-lengahkan android."

Mata dua orang bersepupu itu terbuka luas. Tengku Zahiruddin tidak sedarkan diri semasa Virus L-2 diaktifkan. Oleh sebab itu, mereka tidak mengetahui butiran lanjut berkenaan kejadian pada malam tersebut. "Jadi, adakah Virus L-2 yang menghentikan Puteri?" Adam Dennis kelihatan teruja apabila mendengar perkhabaran itu.

Luqman Hakim mengiyakan soalan Adam Dennis. "Pakcik Amir tahu tentang hal ini. Oleh sebab itu, Kak Syafii berpendapat bahawa Pakcik Amir telah mencari Sarah untuk mendapatkan Virus L-2. Apakah tawaran Pakcik Amir sehingga Sarah bersetuju adalah di luar pengetahuan saya."

"Adakah Luqman mempunyai kod asal Virus L-2? Barangkali kita juga memerlukannya apabila terpaksa berhadapan dengan Puteri kelak," ujar Adam Dennis tanpa menyebut berkenaan Moonlight. "Kita tak tahu sama ada mereka akan menyerang lagi. Ia sebagai langkah berjaga-jaga."

"Saya ada kod asal Virus L-2. Walaubagaimanapun, ia memerlukan sedikit modifikasi. Virus L-2 perlu bertindak lebih pantas kerana pengaktifan secara manual hanya akan memberi kelebihan kepada android itu. Dibimbangi, belum sempat Virus L-2 diaktifkan, kita telah terbunuh terlebih dahulu." Luqman Hakim menggaru-garu dagu. "Pihak polis juga telah menerima kod asal Virus L-2. Barangkali mereka juga telah mula mengubahsuai Virus L-2."

Virus L-2Where stories live. Discover now